Kanak-kanak maut digilis lori – Sinar Harian


Kanak-kanak maut digilis lori

M FEISAL NORAWI
17 Ogos 2012
Kanak-kanak maut digilis lori
Mayat mangsa ditutup dengan surat khabar sementara menunggu untuk dibawa ke hospital.

MENTAKAB – Seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun mati dalam keadaan menyayat hati apabila digilis sebuah lori dalam perjalanan pulang ke rumah selepas membeli mainan di sebuah kedai runcit dekat Taman Tualang Indah, di sini, malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 7.40 malam itu, mangsa Khairul Azmer Abd Rasid menunggang basikal dari rumahnya ke kedai runcit berkenaan untuk membeli mainan tidak lama selepas berbuka puasa.

Pemangku Ketua Polis Daerah, Superintendan Zundin Mahmood berkata, pada masa sama sebuah lori tiga tan dengan muatan pelbagai barangan kedai runcit dari arah stesen minyak Petronas Taman Tualang Indah dipandu Rohizat Remeli, 37, berhenti, di kedai runcit berhampiran untuk membeli rokok.

Menurutnya, pemandu lori terbabit kemudian meneruskan perjalanan sebaik selesai membeli rokok, namun dikejutkan dengan bunyi seretan pada bahagian hadapan lori dipandunya.

“Pemandu lori terus memberhentikan kenderaannya lalu melihat sebuah basikal terperosok di bawah lori dan mayat seorang kanak-kanak di bahagian belakang lori dalam keadaan tertiarap,” katanya.

Zundin berkata, mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat pecah kepala.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, mangsa keluar dari kedai selepas membeli mainan terus menunggang basikal untuk pulang ke rumah dan pada masa sama tanpa disedari, ada sebuah lori yang baru memulakan perjalanan dari arah sama.

“Pemandu lori mendakwa tidak nampak mangsa di hadapan kenderaannya kerana saiz basikal yang kecil terlindung dengan saiz lori yang besar dan tinggi.

“Akibatnya, mangsa digilis di bawah lori tersebut lalu mendapat kecederaan teruk di kepala serta mati di tempat kejadian,” katanya.

Zundin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan pemandu lori terbabit ditahan sementara waktu untuk membantu siasatan.

Guru wanita hilang kawalan rempuh Hilux – Sinar Harian


Guru wanita hilang kawalan rempuh Hilux

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2012
Keadaan-kereta-Azizah-yang-merempuh-Hilux-sehingga-masuk-ke-dalam-kedai-Petronas
Gagal-mengawal-kereta-menyebabkan-kereta-milik-seorang-guru-merempuh-sebuah-4x4-yang-diletakkan-diha

PASIR PUTEH – Akibat hilang kawalan, kereta seorang guru wanita merempuh sebuah kereta 4×4 jenis Hilux sebaik sahaja selesai mengisi minyak di Stesen Minyak Petronas Pasir Puteh Dua, di sini.

Kejadian yang berlaku jam 6 petang kelmarin itu dipercayai berlaku apabila Azizah Mat Noor, 44, memandu kereta Cherry miliknya merempuh dengan laju Hilux yang diletakkan di hadapan Petronas sehingga memasuki kedai tersebut.

Pemilik Hilux, Sufian Abdullah, 21, berkata, semasa kejadian tersebut berlaku dia baru sahaja memasuki kedai Petronas tersebut tidak sampai tiga minit sebelum dikejutkan dengan bunyi kuat.

“Semasa kejadian saya sedang berurusan di mesin wang di dalam kedai itu dan apa yang berlaku ini sangat mengejutkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dalam kejadian tersebut, kereta milik Azizah rosak teruk di bahagian hadapan akibat merempuh bahagian belakang kereta milik Sufian.

Azizah tidak mengalami sebarang kecederaan kerana semasa kejadian dia memakai tali pinggang keledar.

Sementara itu, Pengurus stesen minyak tersebut, Mohd Azli Abdullah berkata, sehingga sekarang pihaknya masih tidak dapat memberitahu berapa jumlah kerugian akibat kejadian tersebut.

“Ini kerana kami terpaksa menunggu wakil daripada pihak Petronas terlebih dahulu untuk datang menilai jumlah kerugian,” katanya.

Menurutnya, kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku di stesen minyak tersebut dan dia bersyukur kerana ia tidak melibatkan orang ramai dan pekerja.