Dua beradik masuk tahun 1 – Metro


Dua beradik masuk tahun 1

Oleh Fazurawati Che Lah
fazurawati@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SUBANG: Kehadiran dua beradik, Nor Iriyana dan Mohammad Irfan Mohammad Izran yang memulakan sesi suai kenal tahun satu di Sekolah Kebangsaan Subang Bestari di sini, semalam mencuri perhatian ibu bapa dan murid sekolah berkenaan, semalam.

Walaupun dilahirkan berbeza bulan, tetapi keakraban dua beradik itu yang lahir pada Januari dan Disember 2006 itu menyebabkan ramai ibu bapa serta guru menganggap mereka pasangan kembar.
Malah ibu bapa mereka, Mohammad Izran Zahrin, 34, dan Mazuin Irdawaty Razmisham, 32, terpaksa mengambil cuti kerana perlu menemani kedua-duanya apabila mereka tidak ditempatkan dalam satu kelas.

 

Menurut Mohamad Izran, mereka melakukan persiapan seminggu lebih awal dan semalam seawal jam 5 pagi mereka bangun bagi menyiapkan dua cahaya mata itu.
“Ini pengalaman pertama kami menguruskan persekolahan anak dan hari pertama sudah menjadi kenangan tidak dapat dilupakan apabila saya serta isteri terpaksa bangun awal menyiapkan dua anak ke sekolah.
“Biarpun pagi ini agak tidak terurus kerana perlu menyiapkan mereka dan menyediakan sarapan, saya bersyukur kerana semua berjalan lancar selepas kami sepakat mengambil cuti untuk menguruskan persekolahan mereka,” katanya yang tinggal di Taman Melati di sini.

 

 

Mazuin berkata, keadaan menjadi tidak menang tangan apabila Iriyana dan Irfan tidak ditempatkan dalam kelas yang sama menyebabkan dia dan suami terpaksa menemani mereka secara berasingan.
“Kami berdua terpaksa berulang-alik ke kelas Iriyana dan Irfan kerana perlu menguruskan beberapa dokumen mereka yang belum selesai, malah disebabkan dua orang sekali yang perlu diuruskan bermacam-macam perkara kena diselesaikan dan perlu mengambil masa.

 

“Kami bernasib baik kerana mereka tidak meragam apabila ditempatkan di kelas berasingan dan rasanya itu lebih baik kerana membantu mereka berdikari,” katanya.
Menurutnya, dia dan suami membelanjakan kira-kira RM1,500 untuk membeli peralatan tulis, yuran pendaftaran mahupun pakaian kedua-dua anak mereka itu.
“Walaupun persiapan dilakukan dua minggu lebih awal sebelum sesi suai kenal, kami tetap berkejaran juga kerana kedua-dua mereka seperti kembar dan segala keperluan menjadi dua kali ganda.
“Tetapi mereka berdua begitu gembira serta tidak sabar ke sekolah dan sering bertanya bila sesi persekolahan akan bermula. Malah pagi ini (semalam) Iriyana dan Irfan begitu senang bangun berbanding ketika tadika dulu,” katanya.
Sementara itu, guru besar sekolah berkenaan, Habibah Mohamed Mohyudin berkata, 488 murid tahun satu mendaftar di sekolah itu semalam selepas mendapat 800 permohonan sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/01