Kaji modul integriti, antirasuah di sekolah – Utusan


Kaji modul integriti, antirasuah di sekolah

KUALA LUMPUR 13 Dis. – Modul integriti dan pencegahan rasuah mungkin dimasukkan dalam tiga mata pelajaran di sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, kementerian sedang mengkaji cadangan yang dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan bagi dimasukkan dalam subjek Pendidikan Islam, Sivik dan Kemanusiaan serta Pendidikan Moral.

“Kita telah menerima cadangan SPRM dan dalam proses mengkaji. Bagaimanapun kita sentiasa bekerjasama dengan SPRM pada aspek kokurikulum melalui pameran dan ceramah di sekolah serta membawa murid-murid melawat SPRM,” katanya dalam sidang Dewan Negara hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Roslin Abdul Rahman tentang sejauh mana pendidikan pencegahan rasuah dimuatkan dalam subjek Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Sivik di sekolah rendah serta menengah bagi melahirkan warga yang bertanggungjawab, amanah, jujur dan antirasuah.

Mohd. Puad menambah, pendekatan aspek integriti dari bangku sekolah dapat membantu individu daripada terlibat dengan perbuatan korup apabila memasuki alam pekerjaan.

Menurut beliau, kementerian juga sedang berbincang dengan SPRM untuk mewujudkan pusat pencegahan rasuah di Institut Pendidikan Guru (IPG) bagi melatih bakal guru tentang nilai-nilai murni yang boleh diaplikasi apabila mengajar kelak.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Parlimen/20121214/pa_04/Kaji-modul-integriti-antirasuah-di-sekolah#ixzz2FGJaOBfB
© Utusan Melayu (M) Bhd

Ustaz dipercayai liwat pelajar ditahan – Bernama


Ustaz dipercayai liwat pelajar ditahan

2011/08/11

KUALA TERENGGANU: Seorang ustaz sebuah sekolah menengah di sini hari ini ditahan kerana dipercayai meliwat seorang pelajar berusia 13 tahun di sekolah itu.

Ustaz berkenaan yang mengajar subjek Pendidikan Islam ditahan di kediamannya di perumahan guru di Batu Rakit dekat sini kira-kira jam empat pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K Manoharan, berkata penahanan suspek berikutan laporan polis yang dibuat mangsa di Balai Polis Batu Rakit petang semalam.

“Guru berusia 42 tahun itu sudah berkahwin dan dipercayai melakukan perbuatan terkutuk itu sebanyak tiga kali bermula Mac hingga Jun lalu di kuarters perguruan sekolah berkenaan, bersebelahan asrama putera yang dihuni mangsa,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Manoharan berkata, polis masih menyiasat kes berkenaan dan tidak menolak kemungkinan ada pelajar lelaki lain turut menjadi mangsa guru tersebut.

Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah untuk menjalani pemeriksaan lanjut.

Pendaftar Kanan Mahkamah Sesyen, Rosila Nik, membenarkan guru berkenaan direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan. – BERNAMA