Superman kantoi ketika asyik beraksi – Sinar Harian


Superman kantoi ketika asyik beraksi

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Disember 2012
Superman kantoi ketika asyik beraksi
Empat remaja yang ditahan selepas melakukan aksi ‘superman’ di Lebuhraya Besraya, awal pagi semalam.

SERDANG – Lagak superman dipertontonkan empat remaja kepada pengguna Lebuhraya Besraya dekat sini, tidak bertahan lama apabila  mereka   berjaya dicekup Cawangan Unit Khas Trafik Bukit Aman awal pagi semalam.

Difahamkan, kesemua mereka dikatakan menunggang motosikal dengan membuat aksi ’zig-zag’ dengan tangan dipemegang manakala kedua-dua kaki dibaringkan di atas tempat duduk motosikal belakang.

Kesemua yang mendakwa melakukan perlumbaan haram secara suka-suka itu juga dikatakan menunggang dengan laju sehingga menimbulkan ketakutan kepada pengguna jalanraya lain berdekatan stesen Komuter Serdang, di sini.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kesemua remaja itu akhirnya kecundang apabila berjaya diberkas ketika pemantauan dan risikan khas dibuat dalam Ops Samseng Jalanan, semalam.

Menurutnya, remaja berusia lingkungan 16 hingga 19 tahun itu dari sekitar Serdang dan Seri Kembangan termasuk seorang yang masih di bangku sekolah.

Katanya, mereka yang ditahan sebelum itu membuat aksi superman dari kilometer 1.8 hingga kilometer 2.6 sebelum diekori anggota yang melakukan risikan.

“Dengan bantuan sembilan anggota, keempat-empat remaja yang kesemuanya mempunyai lesen memandu berjaya ditahan selepas diekori.

“Kesemua mereka yang ditahan akan disiasat di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana menunggang motosikal dengan aksi bahaya, melulu dan boleh mendatangkan kecederaan kepada diri sendiri serta pengguna jalanraya lain,” katanya.

Beliau berkata, tiada sebarang pergelutan ketika remaja berkenaan ditahan dan kesemuanya dibawa ke Cawangan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang untuk tindakan selanjutnya.

Abd Razak dalam pada itu mengingatkan penunggang motosikal supaya menunggang kenderaan mereka mengikut undang-undang supaya tidak menimbulkan ketakutan kepada pengguna jalanraya lain.

Katanya, sekiranya dicekup dan  didapati bersalah tidak akan terlepas dengan tindakan undang-undang.

Gurauan melampau 13 remaja – Sinar Harian


Gurauan melampau 13 remaja

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 November 2012

BANDAR MARAN – Lagak seperti budak baik, namun tanpa disangka, 13 remaja berusia antara 15 hingga 19 tahun bertindak biadab apabila menjadikan seorang warga emas sebagai bahan gurauan dan hiburan mereka.

Mangsa berusia 80-an yang lebih dikenali sebagai Apek itu diganggu dengan usikan ‘manja’ kumpulan remaja berkenaan yang membaling plastik berisi cili kisar dan cat ketika sedang sendirian membersihkan sebuah gerai makanan, dekat sini.

Dalam kejadian jam 2 pagi itu, mangsa yang menjalankan rutin harian di gerai tersebut terkejut dengan tindakan biadab remaja terbabit sebelum membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Maran.

Bagaimanapun pada malam berikutnya, kejadian sama berulang sehingga memaksa mangsa membuat laporan polis buat kali kedua.

Difahamkan, kumpulan remaja yang menaiki kenderaan jenis Perodua Kenari dan Kancil serta beberapa motosikal itu tidak berniat mengganggu mangsa, namun seronok berbuat demikian terutama apabila mangsa memberi respons dengan kata-kata seakan merungut.

Menurut seorang remaja berkenaan, mereka hanya ingin ‘berhibur’ dan bersorak gembira selepas dapat mengenakan Apek dengan usikan sedemikian.

“Memang Apek tidak pernah buat salah dengan kami tetapi kami hanya suka-suka, malah tidak mendatangkan kecederaan pun.

“Seronok bila Apek keluar dari kedai marah-marah dan kemudian kami akan gelak ramai-ramai kerana rancangan mengenakan Apek berjaya,” katanya.

Seorang saksi pula berkata, kumpulan remaja itu turut menolak rebah motosikal mangsa yang diletakkan di luar kedai dan berlari menyelamatkan diri selepas dikejar mangsa.

Katanya, usikan biadab itu berulang beberapa kali, selain mengotorkan lantai kedai dengan tumpahan cili kisar dan cat.

“Saya hairan bagaimana ada remaja yang sedang menduduki Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) boleh terlibat dan merayau pada awal  pagi tanpa kawalan ibu bapa.

“Perbuatan mereka sangat biadab dan dikhuatiri akan berlarutan sehingga boleh mengancam keselamatan mangsa jika tiada tindakan lanjut diambil,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Maran, Asisten Superintendan Sulaiman Ab Hamid mengesahkan menerima dua laporan yang dibuat mangsa.

Menurutnya, kesemua 13 remaja terbabit mengaku bersalah melakukan perbuatan itu dengan niat mahu bergurau.

“Perkara ini dimaklumkan kepada ibu bapa mereka dan satu pertemuan diadakan bersama mangsa untuk tindakan lanjut.

“Kes selesai selepas perbincangan kedua belah pihak dan ibu bapa memberi jaminan perkara sama tidak berulang lagi,” katanya.

Sanggup cederakan diri, hantar gambar bogel – Sinar Harian


Sanggup cederakan diri, hantar gambar bogel

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 September 2012
Sanggup cederakan diri, hantar gambar bogel
Sim cuba mendapatkan maklumat daripada Caroline tentang kejadian yang menimpa dirinya.

KUANTAN – Seorang gadis sanggup mencederakan diri serta menghantar gambar bogelnya melalui Perkhidmatan Pesanan Multimedia (MMS) kononnya untuk mengubati teman lelaki yang diserang penyakit jantung.

Gadis yang hanya mahu dikenali sebagai Caroline, 16, berkata, dia mengenali lelaki itu sejak Februari tahun lalu selepas diperkenalkan oleh rakan sekolahnya.

Namun, sepanjang tempoh perkenalan dengan lelaki itu, mereka tidak pernah berjumpa, sebaliknya hanya berhubung melalui telefon.

“Lebih setahun saya berkenalan dengan lelaki itu tetapi belum pernah berjumpa. Saya hanya mengenalinya melalui gambar yang dihantarnya melalui MMS. Dalam tempoh perkenalan kami, dia memang seorang lelaki yang baik dan romantik,” katanya ketika ditemui di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Kuantan, semalam.

Katanya, sebelum ini teman lelakinya pernah meminta dia menghantar gambar bogel dan akur terhadap permintaan itu kerana rasa sayang.

“Tanpa berfikir panjang, saya memberi gambar yang diminta kerana percaya permintaan itu sekadar suka-suka, tiada niat lain,” katanya.

Caroline berkata, peristiwa hitam hidupnya bermula apabila dia dimaklumkan oleh seorang lelaki yang mengaku sebagai bapa saudara teman lelakinya bahawa kekasihnya itu terpaksa dimasukkan ke hospital kerana sakit jantung.

“Ketika itu, pakcik teman lelaki saya yang turut bergelar ‘Datuk’ meminta supaya saya MMS gambar bogel bagi mengubati teman lelaki saya.

“Selain itu, dia turut memberikan syarat lain iaitu tidak boleh tidur selama enam hari kerana jika saya tidur, teman lelaki saya itu akan mati,” katanya.

Lebih berani, bapa saudara teman lelakinya itu turut menyuruh Caroline mencederakan diri kerana boleh memberikan alasan didera oleh ibu bapa jika dia keluar dari rumah nanti.

“Dia (pakcik) kata, ada makhluk halus yang memerhatikan saya setiap masa, jadi saya kena ikut segala kemahuannya jika mahu teman lelaki selamat. Dia juga ada menghantar MMS gambar lucah teman lelaki saya selepas saya menghantar gambar saya,” katanya.

Tingkah laku pelik Caroline bagaimanapun dapat dikesan oleh ibunnya yang menyedari dia tidak tidur pada waktu malam.

Menurut ibunya yang dikenali sebagai  Mei Ling, 35, dia mendapati anaknya tidak tidur dan duduk di biliknya sambil menangis ketakutan.

“Ketika ditanya, anak saya menunjukkan telefonnya dan menceritakan apa yang berlaku.

“Bimbang dengan keselamatan anak, saya membuat dua laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan iaitu pada 18 September dan 20 September,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang berkata, mana-mana remaja yang mengalami masalah yang sama diminta tampil membuat laporan polis bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

Sehelai baju amat bermakna – Kosmo


Sehelai baju amat bermakna

 

Oleh KHADIJAH MOHAMAD NOR
khadijah.mohamadnor@kosmo.com.my

 

ANAK-ANAK yatim daripada Rumah Kasih Harmoni turut menerima sumbangan sukarelawan kempen Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata.

 

MERAIKAN Aidilfitri tanpa memakai pakaian baharu pasti mengundang rasa syahdu bagi empunya diri terutama golongan kanak-kanak. Apatah lagi jika melihat penampilan rakan sebaya begitu menawan pada pagi Syawal.

Yang berkemampuan sudah pasti tidak berdepan sebarang masalah mendapatkan tiga atau empat pasang baju raya untuk anak masing-masing. Namun, bagi anak-anak yatim atau golongan kurang berada, sehelai baju pun mungkin susah untuk diperoleh.

Menyedari hakikat itu, sekumpulan sukarelawan tampil menjalankan satu kempen yang dikenali sebagai Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata.

Mula dianjurkan sejak tahun 2010, kumpulan tersebut bertindak mengumpul baju-baju baharu untuk disumbangkan kepada golongan asnaf dan anak-anak yatim yang terpilih.

Pengerusi penyelaras program amal itu, Sophia Othman berkata, kempen tersebut sebenarnya bermula sekadar suka-suka untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan berhari raya dengan pakaian baharu.

“Pada awalnya, kami menjadikan laman sosial Facebook sebagai platform untuk membuat pengumuman tentang kempen itu di samping mengumpul koleksi baju yang diperlukan. Pasukan kami ketika itu terdiri daripada rakan-rakan Facebook sahaja.

KECERIAAN jelas terpancar pada wajah anak-anak yang menerima sumbangan baju raya baharu.

 

“Alhamdulillah, lama-kelamaan program amal yang dijalankan ini terus mendapat perhatian ramai yang memasuki tahun ketiga penganjurannya,” ujar Sophia ketika ditemui di Rumah Amal Permata Hatiku di Gombak, Selangor sewaktu menyampaikan sumbangan baju raya baru-baru ini.

Hanya kumpul baju baharu

Menariknya, kempen Sehelai Baju Buat Menyapu Si Air Mata itu tidak mengumpul wang, sebaliknya baju kurung atau baju Melayu baharu untuk diberi kepada anak-anak yatim yang tinggal di rumah atau pusat jagaan serta anak-anak fakir miskin asnaf di seluruh negara.

“Pada tahun 2010 dan 2011, pasukan kami telah berjaya mengumpul lebih daripada 7,000 pasang baju raya baharu yang kemudian diagih-agihkan kepada lebih 30 rumah anak yatim dan fakir miskin asnaf di sekitar Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Johor, Terengganu, Kelantan, Perak, Negeri Sembilan dan Pahang,” jelas Sophia sambil menambah tahun ini kempen itu dijalankan bermula dari 20 Mei hingga 10 Ogos 2012.

Golongan sasaran yang menerima bantuan tersebut terdiri daripada anak-anak yatim dan anak fakir miskin berusia antara satu hingga 18 tahun.

Penyerahan baju pula dilakukan dengan cara menghubungi Ahli Jawatankuasa Penyelaras di Facebook atau terus menghantar sendiri ke pusat pengumpulan melalui pos.

Apa yang pasti, inisiatif yang dilakukan pasukan sukarelawan Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata mengundang reaksi positif daripada penerima.

KEMPEN unik Sehelai Baju Buat Menyapu Si Airmata hanya menerima sumbangan baju baharu untuk diberikan kepada golongan yang memerlukan pada Hari Raya Aidilfitri.

 

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan dan Pendidikan Permata Hatiku Kuala Lumpur dan Selangor, Mohd. Dhiyauddin Abd. Rahman berkata, pihaknya melahirkan rasa bersyukur di atas keprihatinan kumpulan tersebut.

“Sumbangan yang dibuat mereka amat besar maknanya bagi anak-anak yang berada di bawah jagaan kami. Insya-Allah, dengan adanya baju baharu untuk mereka, Aidilfitri menjadi lebih berseri,” ungkap Mohd. Dhiyauddin sambil memberitahu terdapat 30 kanak-kanak yang kurang bernasib baik bernaung di bawah pertubuhan tersebut.

Sementara itu, seorang anak yatim, Fatin Fathhiyyah Mohd. Nor Azman, 11, turut berkongsi rasa gembira kerana mendapat baju kurung baharu bagi meraikan bulan Syawal yang mulia.

“Saya rasa seronok kerana dapat baju raya yang cantik. Terima kasih kepada pihak yang memberi. Walaupun sehelai, tetapi ia tetap berharga bagi saya,” tutur Fatin.

Untuk maklumat lanjut mengenai program itu anda boleh melayari laman Facebook/kempensehelaibajubuatmenyapusiairmata.

Pelajar menengah sanggup ponteng kerana rokok – Metro


Pelajar menengah sanggup ponteng kerana rokok

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Februari 2012
Pelajar menengah sanggup ponteng kerana rokok

KOTA BHARU- Hanya kerana ingin mendapatkan bekalan rokok, seorang pelajar di sebuah sekolah menengah di sini sanggup ponteng sekolah bagi melunaskan hajatnya itu di samping mengambil upah menggali telaga untuk tujuan terbabit.

Pelajar berkenaan ketagih rokok dan kini menghisap lima batang rokok hampir setiap hari untuk melepaskan ketagihannya.

Dia yang enggan mendedahkan identitinya itu berkata, dia mula kenal dengan rokok selepas diperkenalkan rakan-rakannya yang juga hanya mencuba untuk suka-suka.

“Saya berasal dari keluarga yang susah dan dibesarkan dalam keluarga yang ramai. Pergi sekolah pun hanya cukup makan, namun kerana ketagihan kepada rokok saya sanggup bekerja bagi mendapatkan bekalannya,” katanya ketika ditemui dalam operasi ponteng bersepadu Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kota Bharu baru-baru ini.

Menurutnya, walaupun sedar dengan kemiskinan keluarganya, namun dia terpaksa bekerja bagi mendapatkan bekalan rokok terbabit.

“Saya juga ponteng sekolah kerana mengikut rakan dan hanya ingin berseronok dan melupakan kesusahan.

“Apa pun saya masih berharap dapat berubah dan menjadi insan yang berguna pada masa hadapan dan membantu keluarga kerana saya tidak mahu lagi hidup dibelenggu kemiskinan,” katanya.