Pelajar sekolah agama juara tinju Sukma Pahang – Bernama


Pelajar sekolah agama juara tinju Sukma Pahang

15 Julai 2012

Sukma 2012
KUANTAN – Pelajar sekolah agama, Muhamad Hazizul Hakim Md Sukor, muncul juara tinju kategori berat badan 52 kilogram lelaki pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-15 yang berlangsung di Dewan Bitara, Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin hari ini.

Muhamad Hazizul Hakim dinobat sebagai pemenang pingat emas selepas menewaskan peninju Pulau Pinang A. Jagadish dengan kiraan mata 20-15.

Pingat gangsa milik Mohd Azman Mohd Azhar dari Kelantan dan peninju Pahang Mohd Zulfadlie Ibrahim.

Muhamad Hazizul Hakim, yang merupakan pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Al-Quran Waddin, berkata beliau bersyukur dengan kejayaan itu dan ia sesuatu yang besar untuk diri sendiri selain hadiah kepada ibu bapa serta jurulatih yang banyak memberi dorongan kepadanya selama ini.

“Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Persatuan Tinju Amatur Johor yang banyak membantu saya,” kata.

Anak bongsu daripada empat beradik itu juga mengakui memilih sukan tinju kerana dapat melepaskan tekanan ketika beraksi.

Anak kelahiran Larkin itu juga berhasrat mencontohi idolanya, peninju negara Muhamad Farkhan Mohd Harun, yang disifatkan mempunyai gaya bersahaja ketika beraksi.

“Saya amat tertarik dengan gaya Muhamad Farkhan dan berharap dapat menjadi seorang peninju yang baik seperti beliau satu hari nanti,” katanya yang mula meminati sukan itu sejak berusia 13 tahun.

Muhamad Hazizul Hakim berkata ada juga rakan yang memintanya meninggalkan sukan itu namun beliau enggan berbuat demikian.

“Sukan tinju telah menjadi darah daging saya, tidak mungkin saya akan beralih darinya,” katanya. – Bernama

Pemanah 12 tahun raih emas bagi acara 70m Recurve – Bernama


Pemanah 12 tahun raih emas bagi acara 70m Recurve

12 Julai 2012

Sukma 2012
KUANTAN – Pemanah cilik dari Terengganu, Nuramalia Haneesha Mazlan melakar kejutan dengan meraih pingat emas dalam acara 70 meter Recurve individu wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang ke-15 di sini hari ini.

Hanya berbekalkan latihan selama enam bulan, Nuramalia Haneesa nyata menyerlah apabila mengalahkan pemanah dari Melaka dan Johor dengan pungutan 299 mata.

“Ketika di ‘first end’ (pusingan), saya tidak begitu yakin, tetapi saya dapat membuat panahan terbaik ketika di’last end’.

“Jumlah mata panahan saya di ‘last end’ banyak membantu memberi kejayaan. Kejohanan Sukma kali ini merupakan penampilan pertama dan gembira dapat sumbang satu pingat emas kepada Terengganu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Nuratiqah Azizi dari Melaka dan Nurhuda Azida Zolkifli dari Johor, masing-masing di tempat kedua dan ketiga berkongsi jumlah mata yang sama sebanyak 296.

Bagaimanapun, Nuratiqah mempunyai kelebihan lapan mata berbanding Nurhuda dua mata di bulatan panahan ’10s’ pada kejohanan itu.

Nuramalia Haneesa berkata beliau mula berjinak-jinak dalam sukan memanah seawal usia sembilan tahun dan bercita-cita mahu menjadi seorang atlet pemanah negara seperti Cheng Chu Sian.

“Sasaran saya lepas ini dapat tersenarai dalam skuad kebangsaan dan mewakili negara dalam temasya yang lebih mencabar di masa akan datang,” katanya. – Bernama

Boling: Siti Nurzulaika cipta kejutan – Bernama


Boling: Siti Nurzulaika cipta kejutan

13 Mac 2012

PEMAIN bukan pilihan dari Kuala Lumpur, Siti Nurzulaika Ismail mencipta kejutan apabila mengetepikan cabaran pemain pelapis negara untuk menjuarai acara individu wanita remaja pada Kejohanan Boling Antara Negeri ke-25, hari ini.

Pemain muda berusia 14 tahun itu memenangi pingat emas buat julung kali apabila mencatatkan 1,201 jatuhan pin pada kejohanan empat hari itu yang bermula di Sunway Megalanes, Bandar Sunway, dekat sini, semalam.

Dua pemain pelapis negara, Puteri Nadia Kamarul Mahadir dari Negeri Sembilan dan Siti Aishajan Hussin dari Sabah masing-masing meraih pingat perak dan gangsa dengan catatan 1,158 dan 1,138 jatuhan pin.

Siti Nurzulaika, ketika ditemui Bernama selepas majlis penyampaian hadiah berkata, beliau begitu bangga dengan pencapaian tersebut kerana hanya menjadikan kejohanan itu sebagai medan latihan menjelang Sukan Malaysia (SUKMA).

“Saya berterima kasih kepada kedua-dua jurulatih saya iaitu Steven Teng dan Dzulkarnain Sapian kerana memberi tunjuk ajar kepada saya selama ini,” kata pelajar tingkatan dua Sekolah Menengah Seri Saujana, Sri Petaling itu.

Beliau yang bermain boling sejak berusia enam tahun lagi turut meletakkan sasaran untuk mengulangi pencapaian sama pada Sukma ke-15 di Pahang pada Julai ini.

Dalam kategori individu lelaki junior, pemain pelapis negara Mohd Haziq Sahli dari Johor muncul juara selepas mencatatkan 1,292 jatuhan pin.

Pingat perak acara tersebut menjadi milik Mohd Syazwan Kamarudin dari Terengganu dengan catatan 1,238 jatuhan pin manakala pingat gangsa diraih oleh seorang lagi pemain pelapis lelaki kebangsaan dari Kuala Lumpur, Qalif Adnor Adam dengan catatan 1,222 jatuhan pin.

Juara bertahan Mohd Nazmi Mohd Mazli dari Pulau Pinang hanya mampu menduduki tangga ke-16 dengan 1,127 jatuhan pin. – Bernama