Pemanah 12 tahun raih emas bagi acara 70m Recurve – Bernama


Pemanah 12 tahun raih emas bagi acara 70m Recurve

12 Julai 2012

Sukma 2012
KUANTAN – Pemanah cilik dari Terengganu, Nuramalia Haneesha Mazlan melakar kejutan dengan meraih pingat emas dalam acara 70 meter Recurve individu wanita pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) Pahang ke-15 di sini hari ini.

Hanya berbekalkan latihan selama enam bulan, Nuramalia Haneesa nyata menyerlah apabila mengalahkan pemanah dari Melaka dan Johor dengan pungutan 299 mata.

“Ketika di ‘first end’ (pusingan), saya tidak begitu yakin, tetapi saya dapat membuat panahan terbaik ketika di’last end’.

“Jumlah mata panahan saya di ‘last end’ banyak membantu memberi kejayaan. Kejohanan Sukma kali ini merupakan penampilan pertama dan gembira dapat sumbang satu pingat emas kepada Terengganu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu, Nuratiqah Azizi dari Melaka dan Nurhuda Azida Zolkifli dari Johor, masing-masing di tempat kedua dan ketiga berkongsi jumlah mata yang sama sebanyak 296.

Bagaimanapun, Nuratiqah mempunyai kelebihan lapan mata berbanding Nurhuda dua mata di bulatan panahan ’10s’ pada kejohanan itu.

Nuramalia Haneesa berkata beliau mula berjinak-jinak dalam sukan memanah seawal usia sembilan tahun dan bercita-cita mahu menjadi seorang atlet pemanah negara seperti Cheng Chu Sian.

“Sasaran saya lepas ini dapat tersenarai dalam skuad kebangsaan dan mewakili negara dalam temasya yang lebih mencabar di masa akan datang,” katanya. – Bernama

Arwah tak sabar guna penutup mata baru – Metro


Arwah tak sabar guna penutup mata baru

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: “Arwah memang tidak sabar keluar menjalani latihan memanah di sekolah petang semalam (kelmarin) kerana mahu mencuba penutup mata khas yang baru dibelinya bagi sukan itu,” kata Suhila Anuar, 37, ibu kepada Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, murid Sekolah Kebangsaan Mazuin, di sini yang maut dipanah petir petang kelmarin.

Dalam kejadian jam 5.30 petang itu, mangsa bersama tujuh murid lain dan seorang guru, baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.
Suhila yang ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Kuala Dal, di sini, semalam berkata, beberapa hari sebelum kejadian, arwah memaklumkan kepadanya untuk membeli penutup mata berkenaan bagi memudahkannya menjalani latihan memanah di sekolah.

 

Dia berkata, arwah sanggup membantu ibu saudaranya berniaga di kedai dengan upah RM2 sehari bagi mengumpul wang membeli peralatan berharga RM10 itu. “Dia tidak mahu menyusahkan keluarga dan sukar meminta wang daripada kami jika tiada keperluan penting. “Arwah tidak pandai bermain sukan lain, jadi dia berhajat mewakili sekolah dalam acara memanah,” katanya.
Bapa arwah, Mohamad Tajul Ariffin Shahruddin, 40, berkata anaknya mempunyai minat yang mendalam dalam sukan memanah, malah dia sering memberi galakan kepada arwah.
“Setiap kali latihan, arwah bersiap lebih awal untuk menjalani latihan memanah di sekolah. Saya dimaklumkan guru sekolah arwah latihan semalam (kelmarin) untuk memilih peserta mewakili sekolah,” katanya.

 

 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Superintendan Abdul Gaffar Muhammad berkata, tiga murid dan guru sekolah yang cedera itu dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk menerima rawatan lanjut sebelum tiga daripada mereka dibenarkan keluar dari hospital kira-kira jam 10 malam kelmarin.
Katanya, seorang lagi mangsa yang juga guru lelaki masih dirawat di hospital sama kerana masih lemah.

 

“Laporan bedah siasat hospital mendapati, arwah maut disebabkan kecederaan parah terkena panahan petir,” katanya.

Kasut berasap! – Metro


Kasut berasap!

Oleh Mohd Husni Mohd Noor dan Mohamad Hairi Azmi Tham
mhusni@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA KANGSAR: “Sebaik dentuman kuat, kedua-dua kaki saya kebas, manakala kasut pula berasap,” kata Muhammad Izaha Jamaluddin, 10, seorang daripada tiga murid Sekolah Kebangsaan Mazuin (SKM), di sini, yang cedera dipanah petir dalam kejadian petang kelmarin.

Muhammad Izaha yang turut melecur di kaki kanannya berkata, sejurus dentuman kuat itu, dia terus rebah.
Menurutnya, dia meraung kesakitan sebelum seorang guru meluru ke arahnya dan menanggalkan kasut dipakainya.

 

“Dalam keadaan terbaring itu, saya sempat melihat arwah kaku dan tersandar pada sebatang pokok, manakala beberapa murid lain meraung kesakitan.
“Sebelum dentuman petir itu berlaku, saya melihat arwah berjalan menuju ke sebatang pokok bagi mengemaskan peralatan memanah,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarganya di Kampung Fakri, di sini, semalam.
Dalam kejadian menyayat hati itu, rakan mangsa, Muhammad Syafiq Mohamad Tajul Ariffin, 11, maut dipanah petir, manakala seorang guru dan tiga murid lain cedera ringan.

 

 

Kejadian jam 5.30 petang itu berlaku ketika lapan murid dan guru terbabit baru selesai menjalani latihan memanah di padang sekolah berkenaan.
Insiden tidak dijangka itu turut mencederakan seorang guru, Azizul Rahman Ismail, 31, yang juga jurulatih memanah sekolah serta tiga murid dikenali sebagai Anuar Azlin, 12, Nor Arifah Fatimah, 12 dan Muhammad Izaha Jamaluddin, 10.

 

Keempat-empat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar (HKK) untuk mendapatkan rawatan, namun tiga murid dibenarkan keluar malam kelmarin manakala, Azizul Rahman masih dirawat di hospital sama. Muhammad Izaha berkata, dia tidak menyangka kejadian itu meragut nyawa rakannya itu kerana sebelum ini, dia sangat rapat dengan arwah kerana Syafiq tidak lokek mengajarnya cara memanah dengan betul.
Ketika ditanya sama ada dia mahu meneruskan minatnya dalam sukan memanah, Muhammad Izaha berkata, dia memerlukan masa untuk memulihkan emosinya.
Menurutnya, dia masih trauma dengan kejadian itu yang menyebabkan kaki kanannya melecur selain kedua-dua telinganya masih berdengung.
Sementara itu, Azizul Rahman ketika ditemui di HKK semalam berkata, dia yang berada paling hampir dengan arwah turut rebah sebaik petir itu mengenai tanah.
“Sebaik tersedar daripada pengsan, saya terkejut apabila mendapati arwah terbaring di atas padang berdekatan sebatang pokok manakala beberapa murid lain menjerit kesakitan.
“Sejurus kejadian, seorang guru yang berada berdekatan segera memberikan bantuan pemulihan pernafasan (CPR) selain turut memeriksa nadi arwah. Bagaimanapun, Syafiq disahkan sudah meninggal dunia dan dibawa ke hospital,” katanya.
Dia yang juga guru Matematik berkata, ketika kejadian cuaca agak mendung menyebabkan dia bersama murid lain mengemaskan peralatan memanah dan bersiap sedia untuk pulang.