Tuisyen Percuma Edunation Secara Online Beri Manfaat Kepada Pelajar – Bernama


Tuisyen Percuma Edunation Secara Online Beri Manfaat Kepada Pelajar

KUALA LUMPUR: Edunation Sdn Bhd, organisasi sukarela swasta, melancarkan revolusi pendidikan dikenali “Edunation’, untuk memberi peluang kepada pelajar Malaysia untuk akses kepada pembelajaran percuma secara online, khususnya kepada pelajar miskin dan di kawasan luar bandar.

Pengasas Edunation, Edmond Yap berkata Edunation berobjektif mengubah cara pelajar belajar, dengan mendorong mereka menentukan cara mereka belajar daripada hanya bergantung kepada apa yang diajar di sekolah.

“Berjuta-juta pelajar sedang berdepan kesukaran dalam pembelajaran di sekolah-sekolah ketika ini dan ramai yang memerlukan tuisyen untuk lulus. Malangnya banyak ibu bapa tidak mampu membayar tuisyen untuk anak mereka.

“Jadi dengan menyenaraikan semua sukatan pelajaran sekolah di Malaysia secara online, percuma untuk digunakan, kami cuba memperkasakan setiap pelajar di Malaysia, sama ada kaya atau miskin, untuk cemerlang di sekolah,” katanya pada pelancaran program itu di sini pada Isnin.

Beliau berkata program itu juga menyediakan latihan dan ujian secara online kepada pelajar untuk membolehkan mereka berlatih membuat kefahaman mengenai subjek yang diajar. “Pelajar boleh melihat, belajar dan mengulang kaji sebanyak bab yang mereka inginkan, mereka boleh berlatih membuat kefahaman mengikut kesesuaian mereka dan juga berbual dengan sesiapa sahaja di Malaysia, ibu bapa, guru, sukarelawan dan rakan pelajar untuk mencari jawapan,” kata Yap.

Program itu hasil usahasama Khan Academy dan Brickfields Asia Collage dan program itu termasuk pengajaran melalui video secara online bagi matematik, sains, ekonomi, perakaunan dan bahasa seperti Bahasa Inggeris dan Bahasa Malaysia.

Terdapat 40 tutor terbabit dalam program itu dan turut mendapat sokongan selebriti Malaysia seperti vokalis Alleycats Datuk David Arumugam dan model Amber Chia.-BERNAMA

NUTP tolak dakwaan – Utusan


NUTP tolak dakwaan

KUALA LUMPUR 15 Jan. – Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak bersetuju dengan kenyataan yang mendakwa ramai guru Sejarah tidak faham sejarah negara.

Presidennya, Hashim Adnan menegaskan, adalah tidak mungkin guru Sejarah kabur dalam memberikan penerangan tentang sejarah negara kerana perkara tersebut adalah pengkhususan yang ditekankan ketika berada di universiti.

“Kalau benar dakwaan itu, bagaimana seorang guru boleh mengajar subjek tersebut sehingga ramai pelajar mendapat keputusan cemerlang dalam mana-mana peperiksaan awam negara.

“Saya tidak tahu di mana beliau mendapat maklumat tersebut, tetapi saya yakin guru Sejarah di negara ini yang telah bertahun-tahun belajar dan mengajar subjek tersebut faham serta mahir dengan apa juga tajuk dalam sukatan pelajaran,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130116/dn_06/NUTP-tolak-dakwaan#ixzz2I7h12MPE
© Utusan Melayu (M) Bhd

Bimbang nasib murid – Metro


Bimbang nasib murid

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

ALOR SETAR: Sebahagian besar penduduk di sekitar sebuah pusat tahfiz, di sini, menyatakan kebimbangan berhubung nasib anak-anak kecil yang menuntut di sekolah berkenaan selepas Jabatan Agama Islam Kedah (Jaik) mengesahkan beroperasi tanpa lesen.

Difahamkan, terdapat kira-kira 100 murid di pusat berkenaan terdiri daripada murid tahun satu hingga enam, namun aktiviti kurikulum mereka tidak banyak diketahui umum sama ada mengikut sukatan pelajaran sedia ada atau tidak, tambahan pula pusat itu tidak berdaftar.
Penduduk berusia 54 tahun yang enggan dikenali berkata, dia serta penduduk kampung lain bimbang masa depan murid di sekolah itu kerana jika Jaik mengesahkan mereka beroperasi tanpa lesen sudah pasti sijil atau apa-apa perakuan pendidikan tidak akan dikeluarkan.

 

“Ada juga penduduk kampung yang ingin menghantar anak mereka ke pusat tahfiz itu, tetapi saya sering menasihati mereka supaya memikirkan semula hasrat mereka kerana terdapat banyak pusat pembelajaran agama seperti itu yang beroperasi dengan sah. “Saya sering juga memerhatikan kegiatan mereka dan berdasarkan pemerhatian itu, saya lihat tidak banyak aktiviti yang dilakukan dan sukatan pelajaran mereka juga tidak diketahui sama ada mengikut standard Jabatan Pelajaran Negeri atau sebaliknya,” katanya ketika ditemui, di sini, baru-baru ini.
Dia mendakwa murid pusat tahfiz berkenaan turut menjalankan aktiviti menjual barangan seperti kaset atau ayat al-Quran kepada orang ramai selepas waktu persekolahan sekitar jam 3 petang dan akan pulang kira-kira beberapa jam selepas itu.
Katanya, penduduk kampung itu sendiri tertanya-tanya sama ada kegiatan yang dijalankan pengurusan sekolah berkenaan mendapat restu daripada keluarga murid terbabit atau sebaliknya.

 

 

“Pada pendapat saya, keluarga murid itu menghantar anak mereka ke pusat tahfiz ini untuk mendalami agama sebaliknya mereka disuruh menjual barangan. Saya pernah diberitahu pihak pengurusan pusat itu melakukan aktiviti terbabit untuk mengajar muridnya berniaga, namun pada saya seperti ada yang tidak kena,” katanya.
Menurutnya, apa yang pasti, dia ada mendengar ketika mereka mengadakan perhimpunan pagi, pihak pengurusan tahfiz itu mengumumkan nama murid yang mendapat kutipan tertinggi, tetapi tidak dapat memastikan bentuk ganjaran yang diperoleh.

 

Menurutnya, ada juga kes murid sekolah itu membaling batu ke arah sebuah rumah yang terletak di belakang pusat tahfiz terbabit dan dia mendakwa pernah satu ketika murid pusat itu membaling bom petrol sehingga membabitkan campur tangan polis.
Mujur ketika itu tiada sebarang insiden tidak diingini berlaku.
Sementara itu, usaha wartawan Harian Metro mendapatkan penjelasan daripada pengetua pusat tahfiz itu tidak berhasil apabila beliau menutup telefon bimbitnya. Malah, usaha mendapatkan penjelasan daripada kakitangan pusat tahfiz itu juga gagal sebaliknya menyerahkan kepada pengetua.