SUNGAI PETANI – Seorang remaja obesiti meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan dekat Kampung Bukit Berangan, Kota Kuala Muda, kira-kira jam 7.15 malam kelmarin.
Mangsa, Mohd Lutfie Maidy, 16, meninggal dunia di lokasi kejadian setelah mengalami pendarahan di kepala akibat terhempas dari motosikalnya ketika berlanggar dengan sebuah motosikal di hadapannya yang ingin membuat pusingan U secara tiba-tiba.
Mangsa, yang juga anak tunggal merupakan pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kota Kuala Muda.
Ibunya, Rosnita Saari, 39, berkata, Mohd Lutfie sempat menyiapkan kerja sekolah, selain menyediakan baju sekolah yang siap digantung untuk kegunaan keesokan hari sebelum keluar menunggang motosikal petang kelmarin, .
“Memang dia sudah siapkan kerja sekolah dan baju sekolah sebelum keluar petang pada hari kejadian,” katanya.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani untuk dibedah siasat.
Jenazah kemudian dituntut keluarga sebelum disemadikan di Tanah Perkuburan Masjid Kota Raja, Kota Kuala Muda kira-kira jam 11 pagi semalam.
Enam tahun lalu, negara digemparkan dengan kes kanak-kanak obesiti yang ketika itu baru berusia 10 tahun dengan berat 110 kilogram.
Bagaimanapun, setelah pelbagai usaha dilakukan, berat badan Mohd Lutfie kini mencecah sehingga 120 kilogram pada usia 16 tahun.