St John Ambulans SMK Sultan Abu Bakar lakar kejayaan di Hong Kong – Bernama


St John Ambulans SMK Sultan Abu Bakar lakar kejayaan di Hong Kong

 

27/09/2013 10:33am

 

KUANTAN – Pasukan kadet St John Ambulans Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, Kuantan muncul juara dalam dua

daripada empat kategori yang dipertandingkan pada program EAGLE di Hong Kong baru-baru ini.

St John Ambulans SMK Abu Bakar yang diwakili 34 pelajar dan tiga guru itu

memenangi kategori Pasukan Ambulans Dewasa dan Pasukan Perawatan Dewasa.

Penyelaras Kebitaraan Kokurikulum SMK Sultan Abu Bakar, Chong Boon Weng berkata, aktiviti di bawah ‘Program Pertukaran Belia’ itu berlangsung dari 10 hingga 17 Sept di St Tower Hong Kong.

Beliau berkata, program itu merupakan projek sekolah kluster kecemerlangan antara Malaysia dan Hong Kong.

“Tujuh pasukan dari Hong Kong menyertai program itu, manakala SMK Sultan Abu Bakar Kuantan mewakili Malaysia,” katanya kepada Bernama di sini.

Program EAGLE bertujuan melonjakkan kebitaraan kadet St John Ambulans dalam membangunkan sikap ahli-ahli ke arah kecemerlangan seperti dedikasi, kepimpinan pasukan, kerjasama dan disiplin.

“Youth Exchange Programme itu adalah aktiviti tahunan St John Ambulans

Malaysia dan ini merupakan program kali kedua selepas program sama diadakan di Singapura pada Ogos tahun lepas,” katanya. – Bernama

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0927&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_01.htm#ixzz2g5mRaw9q
Hakcipta terpelihara

Tidak mampu bayar yuran, anak terpaksa berhenti sekolah – Sinar Harian


Tidak mampu bayar yuran, anak terpaksa berhenti sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
28 Februari 2013

KUANTAN  –  Kemiskinan hidup menyebabkan anak sulung daripada lima beradik terpaksa melupakan hasrat untuk meneruskan pelajaran setelah gagal menjelaskan yuran peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sejak tahun lalu.

Ibunya, Norlaila Alias, 39, berkata biarpun yuran berkenaan hanya RM300, mereka tidak mampu untuk menjelaskannya.

Malah katanya, sewa rumah sebanyak RM260 sebulan pun tertunggak RM6,000 kerana mereka tidak mempunyai wang untuk membayarnya sejak dua tahun lalu.

“Saya tahu dia kecewa dan sedih apabila terpaksa berhenti sekolah malah dia juga malu kerana tidak dapat membayar yuran peperiksaan.

“Hati saya bagi dihiris setiap kali memikirkan masa depannya, namun apakan daya kami tak mampu, anak saya itu kini mengambil keputusan untuk bekerja bagi meringankan beban kami,” katanya.

Anak sulung keluarga ini Mohd Abu Khir Abu Bakar, 19, merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Abu Bakar, di sini.

Menurutnya, biarpun suaminya, Abu Bakar Mamat, 43, melakukan kerja kampung namun pendapatan yang diperoleh tidak mampu untuk menampung perbelanjaan mereka tujuh beranak.

“Pendapatan suami bukan sahaja tidak cukup untuk biaya lima anak yang masih bersekolah tetapi untuk bayar bil air dan elektrik juga tidak mampu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Rumbia, Beserah, di sini.

Lebih menyedihkan kata Norlaila, akibat kemiskinan, dua anak lelakinya yang bersekolah di darjah enam dan empat sering tidak ke sekolah kerana malu apabila kawan bertanya mengenai pekerjaan ayah mereka.

Namun dengan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang diterima baru-baru ini dapatlah dia menjelaskan bil tertunggak.

Remaja jadi hero pantai – Sinar Harian


Remaja jadi hero pantai

MOHD FIRDAUS YON
January 24, 2012
Arsyad

KOTA TINGGI – Seorang pelajar Tingkatan Empat nekad menggunakan kepakaran berenangnya untuk membantu seorang kanak-kanak perempuan daripada lemas di Pantai Tanjung Balau, Desaru, dekat sini, semalam.

Ketika kejadian kira-kira jam 2 petang itu, Mohd Syafiq Arsyad Zainul Abidin, 16, bersama ibu saudara, Rita Zuhaida Mohd Nazeer, 24, dan rakan ibu saudaranya, Siti Aqilah Jahari, 23, turut berjaya menyelamatkan dua lagi mangsa daripada lemas dihanyut ombak kuat.

Pelajar Maktab Sultan Abu Bakar (MSAB) itu berkata, dia pada mulanya menyangka suara jeritan minta tolong daripada kanak-kanak terbabit hanyalah sekadar gurauan berikutan terdapat sekumpulan remaja lain sedang bermandi di kedudukan berhampiran.

“Saya bersama makcik dan rakannya sedang mandi-manda bersama sebelum kedengaran suara jeritan minta tolong daripada kanak-kanak terbabit.

“Melihat tiada respons dan tindakan daripada kumpulan remaja yang mandi berhampiran kanak-kanak terbabit, saya menyangka jeritan minta tolong itu sekadar gurauan.

“Apabila melihat kanak-kanak terbabit terkapai-kapai dengan mulutnya sudah mengeluarkan buih, saya segera berenang menyelamatkannya.

“Manakala dua lelaki dewasa yang dilihat bersama kanak-kanak terbabit turut sama hampir lemas, makcik saya bersama rakannya segera mencapai mereka dan membawa ke arah darat,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Mohd Syafiq yang berasal dari Taman Bukit Kempas berkata, dia diberitahu oleh orang ramai bahawa terdapat tiga yang lain dipercayai ahli keluarga tiga individu yang diselamatkan masih belum ditemui.

“Kami hanya berjaya mengesan tiga orang sahaja, namun saya melihat orang awam yang berada di pantai ini turut sama membantu menjejaki tiga yang lain,” katanya.

Menurutnya, kehadiran dia sekeluarga ke pantai terbabit bertujuan untuk beriadah dan berkelah bagi mengisi masa terluang sempena cuti Tahun Baru Cina.

“Saya sendiri tidak menyangka perkara ini akan berlaku. Kami tiba di pantai ini sekitar jam 11 pagi. Sebaik sahaja tiba, kami menjamah sedikit hidangan sebelum mula ke pantai untuk mandi-manda.

“Ketika kejadian, saya hanya tawakal kepada ALLAH ketika cuba untuk menyelamatkan kanak-kanak terbabit. Mujurlah ilmu berenang yang dipelajari sejak berusia lima tahun memberi manfaat,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Che Mahazan Che Aik ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan kejadian terbabit dan memberitahu lima daripada enam mangsa yang hampir lemas berjaya diselamatkan orang awam.

“Seorang daripadanya berusia 17 tahun ditemui mati lemas dalam kejadian jam 2.50 petang. Mayat mangsa lelaki ini ditemui pasukan penyelamat sekitar jam 3.15 petang dan dibawa ke Hospital Kota Tinggi untuk dibedah siasat,” katanya.