Hasrat jadi guru berkubur – Sinar Harian


Hasrat jadi guru berkubur
M FEISAL NORAWI
18 Ogos 2013
  • Hasrat jadi guru berkuburNurashikin (dua, kanan) bersama Nurul Samahah menyampaikan sumbangan kepada Nursyahira sambil ditemani Jamaliah di rumahnya di Taman Bukit Cermin, Mentakab.
< 1 / 1 >

TEMERLOH – Hasrat seorang remaja untuk menjadi guru berkubur selepas disahkan menghidap masalah paru-paru kronik hingga menyebabkan dia hanya mampu terlantar di rumah sejak lebih empat tahun lalu.

Malah lebih menyayat hati, remaja terbabit, Nursyahira Syure, 17, terpaksa bergantung pada tangki oksigen setiap hari untuk meneruskan hidup.

Ibunya, Jamaliah Ismail, 51, berkata, sebelum menerima tangki oksigen dipinjamkan kebajikan Hospital Sultan Ahmad Shah (Hoshas) beberapa tahun lalu, dia terpaksa membayar RM150 sehari untuk kos tangki oksigen.

“Nasib baik Hoshas meminjamkan tangki oksigen elektrik kepada kami yang lebih jimat berbanding tangki oksigen lama,” katanya ketika lawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Temerloh, Nurashikin Sulaiman dan AJK Puteri Bahagian, Nurul Samahah Saiduddin di rumahnya di Taman Bukit Cermin, Mentakab, di sini.

Anak ketiga pasangan Syure Abdullah, 51 dan Jamaliah Ismail, 51, itu terpaksa mengheret tangki oksigen tersebut ke mana-mana sahaja termasuk bilik air dan ruang tamu, malah kesulitan itu terpaksa ditanggung sepanjang hayatnya.

Menceritakan kesengsaraan ditanggung anak ketiganya itu, Jamaliah berkata, semuanya bermula kira-kira lima tahun lalu semasa Nursyahira sedang sibuk mengulang kaji pelajaran untuk menghadapi UPSR.

Menurutnya, pada awalnya Nursyahira mengalami kudis teruk pada mulut, namun setelah puas berubat dan dimasukkan ke hospital, dia kembali pulih.

Bagaimanapun katanya, sebaik ingin memulakan pengajian di tingkatan satu, Nursyahira mula mengalami masalah kesihatan yang teruk.

“Dia hanya sempat bersekolah selama dua minggu di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Cermin sebelum pengsan dan dihantar pulang gurunya. Selepas itu, keadaan kesihatan Nursyahira semakin teruk dan hanya mampu terlantar di rumah.

“Pendapatan suami hanya RM700 sebulan sebagai pekerja am kilang papan, namun saya sekeluarga menghabiskan RM600 sebulan untuk menampung kos perubatan Nursyahira. Macam mana susah, kami terpaksa tanggung. Tapi kami lega dapat bantuan bulanan RM300 daripada JKM,” katanya.

Jamaliah berkata, mereka yang ingin membantu boleh terus menyalurkan sumbangan melalui akaun CIMB 06120000551202.

Sementara itu, Nurashikin pula berharap orang ramai dapat membantu adik Nurasyahira melalui akaun bank terbabit atau terus ke rumahnya di Taman Bukit Cermin.

Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS – Sinar Harian


Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Mac 2013
Cadang bina lima sekolah dalam Bandar KotaSAS
Tiong Lai meninjau pelan pembangunan Bandar KotaSAS termasuk tapak SRJK (C) Panching yang diserahkan kepada pemegang amanah sekolah itu, semalam.

KUANTAN – Lima buah sekolah dirancang akan dibina dalam kawasan Bandar Kota Sultan Ahmad Shah (KotaSAS), Indera Mahkota,  di sini, bagi menampung populasi penduduk yang dijangka mencecah 45,000 orang pada masa akan datang.

Berdasarkan perancangan itu, tapak seluas 21.6 hektar diperuntukkan bagi tujuan tersebut membabitkan dua sekolah menengah dan tiga sekolah rendah termasuk Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) di bawah kelulusan dan peruntukan Kementerian Pelajaran (KPM).

Bagi merealisasikan cadangan itu, tapak seluas 3.2 hektar diserahkan untuk  pembinaan sebuah SJKC baru di KotaSAS bagi menggantikan SRJK (C)  Panching yang  kini mengalami masalah kekurangan pelajar saban tahun.

Penyerahan disempurnakan dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Pemegang Amanah SRJK (C) Panching diwakili Datuk Ti Lian Ker dan KotaSAS Sdn Bhd  melalui Pengarah Eksekutifnya, Tengku Datuk Zubir Tengku Datuk Ubaidillah disaksikan Pengerusi MCA Pahang, Datuk Seri Liow Tiong Lai, semalam.

Tiong Lai berkata, penyerahan tapak sekolah itu penting bukan sahaja kepada masyarakat Cina, tetapi turut membuka peluang kepada semua penduduk Bandar KotaSAS dan kawasan sekitar menghantar anak-anak mereka menerima pendidikan di situ, kelak.

“Paling penting, dengan adanya sekolah baru yang lebih selesa, operasi SRJK (C)  Panching yang kini menghadapi masalah kekurangan pelajar dapat dipindahkan ke sini.

“Barisan pemegang amanah akan berusaha mendapatkan kelulusan dan peruntukan daripada KPM bagi pembinaan sekolah baru itu, selain kelulusan pemindahan SRJK (C) Panching ke Bandar KotaSAS ini,” katanya pada sidang media, semalam.

Tiong Lai berkata, pihaknya menjangkakan peruntukan itu akan diluluskan KPM melalui peruntukan pelan pusingan keempat di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), tahun depan.

“Kita minta kelulusan bagi tujuan ini dipercepatkan dan  proses pembinaannya dijangka bermula tahun depan secara berperingkat mengikut keperluan semasa bergantung kepada populasi penduduk KotaSAS dan kawasan sekitar,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Tiong Lai juga akan mempertimbangkan kelulusan pembinaan  sebuah klinik dalam kawasan Bandar KotaSAS bagi kemudahan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk pada masa akan datang.

Pelajar Maut, Dua Parah Nahas Motosikal Dan Lori – Bernama


Pelajar Maut, Dua Parah Nahas Motosikal Dan Lori

KUANTAN: Seorang remaja maut maut manakala dua lagi cedera parah dalam nahas membabitkan motosikal dan sebuah lori di Km 17 Jalan Baru Bentong-Raub, Sabtu.

Menurut Ketua Polis Daerah Bentong Supt Aziz Salleh, mangsa yang terbunuh ialah penunggang motosikal Mohamad Zaidi Ahmad, 17, manakala pemboncengnya Mohd Hafifi Jamaludin, 17, dan pemandu lori M. Murugiah, 61, cedera parah.

“Penunggang motosikal itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital, kedua-dua mangsa yang parah itu pula kini dirawat di Hospital Bentong,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurut Aziz, ketika kejadian 6.44 pagi itu, motosikal terbabit bertembung dengan lori berkenaan selepas memotong sebuah kenderaan lain.

“Mangsa yang juga pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Teknik Sultan Ahmad Shah di sini mati akibat cedera parah di kepala,” katanya.

Pemandu lori berkenaan pula cedera parah apabila lorinya terbabas selepas melanggar motosikal itu. – BERNAMA

Sekolah agama tetap terima peruntukan bentuk modal insan – Sinar Harian


Sekolah agama tetap terima peruntukan bentuk modal insan
NURUL ZAILA MOHD TAHIR
6 Julai 2012

Tengku Mahkota ( kiri) menyampaikan anugerah kepada salah seorang pelajar cemerlang.
KUANTAN – Dalam usaha membentuk modal insan cemerlang, kerajaan negeri sentiasa meletakkan bidang pendidikan sebagai keutamaan dan tidak ketinggalan perhatian terhadap sekolah agama.

Bagi memastikan perkembangan sekolah-sekolah agama di seluruh Pahang bergerak seiring dengan sekolah lain, jumlah peruntukan yang besar turut disalurkan.

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, sekolah agama di Pahang menerima peruntukan RM53.5 juta setahun.

Menurutnya, pelbagai pendekatan baru yang dijalankan juga memberi perubahan kepada sekolah-sekolah agama, sekali gus menarik minat masyarakat untuk menghantar anak-anak ke sekolah berkenaan.

“Daripada jumlah peruntukan yang diberikan ia disalurkan kepada 18 buah sekolah agama di seluruh negeri.

“Sehingga kini, sistem yang diguna pakai di sekolah agama juga mengalami banyak perubahan termasuk kokurikulum kebangsaan dan kurikulum agama Islam.

“Dwi kokurikulum yang digunakan menarik minat masyarakat sehinggakan jumlah permohonan melebihi kapasiti disediakan,” titah baginda.

Baginda bertitah sempena majlis pengurniaan anugerah kecemerlangan pendidikan Sekolah Menengah Agama Kerajaan Pahang kali ke-11 bertempat di Dewan Jubli Perak, di sini, semalam.

Dalam perkembangan yang sama, Tengku Mahkota bertitah, menerusi program transformasi pendidikan yang telah dirangka ia turut meliputi sekolah agama.

“Sekolah agama tidak lagi dikategorikan sebagai sekolah swasta yang sebelumnya menyebabkan saluran bantuan sukar diberikan.

“Perubahan dan peningkatan harus berterusan dan sekarang masih terdapat banyak ruang kosong untuk diisi dengan pelbagai program di sekolah-sekolah agama.

“Beberapa perkara juga harus diberi penekanan termasuk aspek kemudahan, keperluan sumber manusia contohnya menyediakan guru terlatih seperti yang dilakukan kerajaan di sekolah biasa iaitu seratus peratus tenaga pengajar berkelulusan ijazah.

“Sekolah agama juga harus mempertahankan jati diri sebagai institusi berpandukan modal insan berpengetahuan tinggi, berakhlak mulia bagi memastikan potensi lepasan sekolah agama digembleng secara optima,” titah baginda.

Lebih 100 pelajar dari seluruh sekolah agama Pahang menerima anugerah kecemerlangan dalam pelbagai kategori sempena majlis itu.