Sumbang mahram: Abang dipenjara 15 tahun, 3 sebatan – Bernama


Sumbang mahram: Abang dipenjara 15 tahun, 3 sebatan

28 Mac 2013

PETALING JAYA – Seorang abang dihukum penjara 15 tahun dan tiga sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melakukan sumbang mahram terhadap adik kandung perempuannya yang berusia 15 tahun ketika itu, tujuh tahun lepas.

Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz menjatuhkan hukuman tersebut terhadap lelaki yang berusia 24 tahun itu, setelah dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan melakukan sumbang mahram dan memerintahkan hukuman bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 19 Mac lepas.

Lelaki tersebut yang bekerja di sebuah pasar raya, didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah rumah di sini, antara Oktober 2006 hingga November tahun sama, dan didakwa mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mengikut fakta kes, pada waktu kejadian, mangsa telah dirogol oleh tertuduh dan hasil hubungan sumbang mahram tersebut, adiknya telah mengandung dan melahirkan seorang bayi lelaki.

Hasil pemeriksaan oleh Jabatan Kimia mendapati tertuduh adalah bapa kandung kepada bayi yang dilahirkan mangsa.

Terdahulu tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan kerana dia menanggung keluarga.

Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal kerana tertuduh sebagai abang sepatutnya bertanggungjawab melindungi dan menjaga darah dagingnya sendiri tetapi telah mengambil kesempatan.

Zhafran berkata ini bukan kesalahan pertama tertuduh kerana sebelum ini pernah melakukan kesalahan sama pada mangsa sehingga melahirkan anak tetapi telah meninggal dunia dan ini menunjukkan tertuduh tidak insaf. – Bernama

Juruteknik didakwa sumbang mahram dengan adik – Utusan


Juruteknik didakwa sumbang mahram dengan adik

KUALA LUMPUR 21 Nov. – Seorang juruteknik yang dipercayai melakukan sumbang mahram dengan adik kandungnya selama 12 tahun iaitu sejak mangsa berusia lapan tahun, hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan merogol remaja tersebut, dua bulan lalu.

Lelaki berusia 28 tahun itu didakwa melakukan perbuatan itu terhadap adik perempuannya yang kini berusia 20 tahun di rumah keluarga mereka di Kampung Baru, Setapak Jaya di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari, 17 September lalu.

Tertuduh yang telah mendirikan rumah tangga setahun lalu dan difahamkan masih tinggal serumah dengan mangsa, kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid.

Isteri dan ahli keluarga tertuduh hanya dilihat memasuki mahkamah selepas tamat prosiding.

Langgan akhbar digital Utusan Malaysia anda hari ini… Mudah dan murah

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Mahkamah/20121122/ma_03/Juruteknik-didakwa-sumbang-mahram-dengan-adik#ixzz2Curp9Z00
© Utusan Melayu (M) Bhd

Hukuman rogol perlu budi bicara – Utusan


Hukuman rogol perlu budi bicara

Oleh RAJA SYAHRIR ABU BAKAR
syahrir.bakar@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 16 Okt. – Bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi menegaskan, keputusan hukuman ke atas kesalahan rogol statutori atau mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah 16 tahun perlu dikekalkan kepada budi bicara mahkamah dan hakim yang mengadili kes itu.

Beliau tidak bersetuju dengan gesaan beberapa pihak yang mahukan kerajaan meminda undang-undang menetapkan hukuman penjara mandatori ke atas pesalah yang mengadakan hubungan seks dengan gadis bawah umur.

Ini kerana katanya, dalam kebanyakan kes, kesalahan tidak hanya terletak kepada lelaki tetapi gadis bawah umur itu sendiri yang bersetuju untuk mengadakan hubungan seks terlarang.

Dalam sesetengah kes lain pula, kata beliau, ada juga gadis bawah umur yang melakukan sumbang mahram dengan mengajak adik lelakinya mengadakan hubungan seks dan dua keadaan tersebut membuktikan tiada hukuman tetap yang boleh dilaksanakan ke atas kes rogol statutori.

“Jika lelaki tua yang melakukan hubungan seks dengan gadis bawah umur, saya amat setuju dikenakan hukuman tertinggi iaitu penjara dan sebatan, tiada persoalan di situ.

“Tetapi jika kes hubungan seks terlarang melibatkan seorang remaja lelaki 15 tahun dengan remaja perempuan 15 tahun, adakah anda mengatakan remaja perempuan itu langsung tidak bersalah, saya rasa kedua-duanya bersalah.

“Jadi adakah adil jika hanya remaja lelaki itu dikenakan hukuman penjara lima atau 10 tahun sementara remaja perempuan itu pula bebas? Oleh itu saya fikir hukuman perlu dilihat dari semua sudut pada setiap kes dan tidak boleh ada hukuman tetap,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Suruhanjaya Khas Mengkaji Transformasi Perkhidmatan Awam (SKMTPA) berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan sesi dialog dengan masyarakat di sini hari ini.

Tun Zaki diminta mengulas kebenaran yang diberikan kerajaan kepada Jabatan Peguam Negara untuk meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan bagi mengekalkan hukuman penjara mandatori ke atas pesalah yang melakukan seks dengan gadis bawah umur.

Perkara itu diumumkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pada sidang Dewan rakyat semalam.

Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) baru-baru ini menggesa kerajaan menetapkan hukuman lebih berat kepada pesalah yang melakukan seks dengan gadis bawah umur 16 tahun atau rogol statutori agar golongan itu tidak dieksploitasi secara seksual.

Usaha itu berikutan keputusan Mahkamah Rayuan Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen membebaskan pemain boling negara, Noor Afizal Azizan dengan perintah bon berkelakuan baik dan ikat jamin kerana ‘merogol’ gadis bawah umur.

Fakta menunjukkan Noor Afizal ketika berumur 19 tahun mengadakan hubungan seks dengan gadis berusia 13 tahun empat bulan semasa mereka bermalam di sebuah hotel di Air Keroh, Melaka pada 5 Jun 2009.

Perkara itu disedari oleh ayah gadis tersebut selepas membaca diari anaknya pada 19 Julai 2010 dan membuat laporan polis lapan hari selepas itu.

Zaki berkata, jika beliau yang mengadili kes Noor Afizal, beliau mungkin akan mengenakan hukuman sama ke atas pemain boling tersebut.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121017/dn_12/Hukuman-rogol-perlu-budi-bicara#ixzz29Wn9iAQ0
© Utusan Melayu (M) Bhd

Sumbang mahram: Pengutip kelapa sawit dipenjara, sebat – Utusan


Sumbang mahram: Pengutip kelapa sawit dipenjara, sebat

Oleh NORLIZAH ABAS

PUTRAJAYA 5 Sept. – Seorang pengutip kelapa sawit terpaksa meringkuk dalam penjara selama 15 tahun dan dikenakan sebatan 12 kali atas dua kesalahan sumbang mahram dengan anak perempuannya yang ketika kejadian berusia 12 tahun.

Demikian keputusan sebulat suara panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini diketuai oleh Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus ketika menolak rayuan akhir lelaki itu terhadap sabitan manakala rayuan terhadap hukuman dibenarkan.

Beliau yang bersidang bersama Datuk Alizatul Khair Osman Khairuddin dan Datuk Lim Yee Lan mengurangkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 24 kali yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Tinggi yang mengekalkannya.

Panel itu menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun dan sebatan enam kali bagi setiap tuduhan. Hukuman diperintah berjalan serentak.

Pada 6 November 2009, Mahkamah Sesyen Melaka menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan 12 kali bagi setiap tuduhan yang diperintahkan berjalan serentak. Mahkamah Tinggi pula mengekalkannya pada 14 Januari tahun lalu.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, V. Shoba manakala lelaki berusia 47 tahun itu diwakili oleh peguam V. Aravindhakshan. – UTUSAN