Sumbangan buku untuk PSS luar bandar – Berita Harian


Sumbangan buku untuk PSS luar bandar
Oleh Noor Azlina Zainudin
azlina@nstp.com.my
2012/03/02

NOORAINEE bergambar bersama sebahagian penyumbang awal PROSKOP; Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar di Putrajaya, kelmarin.

NOORAINEE bergambar bersama sebahagian penyumbang awal PROSKOP; Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar di Putrajaya, kelmarin.

Bantu generasi muda baca buku bermutu, pupuk amalan membaca

PUTRAJAYA: Agensi swasta, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) disaran tampil memberi sumbangan atau tajaan untuk membekalkan bahan bacaan bermutu bagi kegunaan pusat sumber sekolah (PSS) terutama di luar bandar, dalam usaha membantu kelangsungan agenda pendidikan negara.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, berkata tanggungjawab sosial seumpama itu dapat membantu generasi muda di luar bandar memperoleh kepelbagaian buku bermutu untuk dibaca kerana sumber bacaan paling mudah yang boleh diakses oleh mereka ialah di PSS.

Usaha murni ini patut mendapat sokongan penuh syarikat swasta dan agensi korporat lain. – Noorainee Abdul Rahman, isteri Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, nisbah buku dengan bilangan murid di kebanyakan sekolah luar bandar masih belum mencukupi untuk membolehkan setiap murid berpeluang meminjam buku pada kadar yang maksimum.

“Bagi memupuk amalan membaca, pelbagai pendekatan menarik dan bersesuaian perlu diambil oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Selain sentiasa diingatkan dengan kebaikan amalan ini, infrastruktur yang baik dan kepelbagaian bahan bacaan mampu menyemarakkan lagi amalan membaca dalam kalangan pelajar.

“Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Minda Kebangsaan (YMK) mewujudkan program usaha sama bagi membekalkan bahan bacaan kepada 500 PSS sekolah rendah luar bandar terpilih di seluruh negara. Usaha murni ini patut mendapat sokongan penuh syarikat swasta dan agensi korporat lain,” katanya berucap melancarkan Program Sosial Korporat Pendidikan (PROSKOP); Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sekolah Rendah Luar Bandar di Putrajaya, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud: Pengerusi Eksekutif YMK, Kamarulzaman Kamdias dan Pengarah Urusan Ana Muslim, Othman Mohamed.
PROSKOP ialah program usaha sama antara YMK, Kementerian Pelajaran dan Ana Muslim selaku pembekal bahan bacaan bagi meminta sumbangan dan keprihatinan pihak korporat dan swasta membiayai projek membekalkan bahan bacaan di sekolah rendah luar bandar.

Setiap sekolah terpilih akan menerima 2,500 set bahan bacaan tambahan bernilai RM2,000 terbitan Blue-T Communications Sdn Bhd merangkumi Ensiklopedia Kanak-Kanak Muslim, Siri Lagenda, Siri Bacaan Ana Muslim, Siri Sains Ana Muslim-Tubuh Manusia dan Siri Sains Ana Muslim-Teknologi Kitar Semula.

Setakat ini, sejumlah RM368,000 berjaya dikumpulkan bagi membiayai program bernilai kira-kira RM1 juta ini. Antara yang telah menyumbang ialah NAZA Motors, Syarikat Perumahan Negara Berhad, SME Bank, Yayasan Budimas, OnlySha Venture Enterprise dan Tetap Dinamik.

Sementara itu, Abd Ghafar berkata, nisbah murid dengan koleksi PSS pada masa kini ialah 1:15 bagi sekolah rendah dan 1:20 bagi sekolah menengah.
Beliau berkata, dengan adanya bantuan syarikat swasta, koleksi bahan bacaan di PSS dapat ditambah dari semasa ke semasa dan Kementerian Pelajaran juga sentiasa mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan jumlah ini mengikut piawaian yang ditetapkan.