102 sekolah di daerah Manjung, Perak ditutup hari ini – Bernama


102 sekolah di daerah Manjung, Perak ditutup hari ini

 

 

IPOH 25 Jun – Kesemua sekolah menengah dan rendah di daerah Manjung diarahkan ditutup mulai sesi petang hari ini berikutan Indeks Pencemaran Udara (IPU) merekodkan bacaan 322 iaitu tahap berbahaya di Seri Manjung pada pukul 9 pagi..

Pegawai Pelajaran Daerah Manjung Muhd Suod Mat Thani berkata penutupan itu melibatkan 21 buah sekolah menengah dan 81 sekolah rendah dengan hampir 40,000 orang murid.

“Kami telah mendapat kebenaran dari Jabatan Pelajaran Negeri dan telah memaklumkan kepada semua pengetua serta guru besar sekolah di sini. Murid sesi pagi dibenarkan pulang awal memandang mereka telah hadir ke sekolah pagi ini,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Beliau berkata sesi persekolahan pada hari ini dan esok perlu digantikan pada tarikh yang ditentukan kemudian.

Mengikut laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, kawasan lain yang merekodkan kualiti udara yang semakin buruk pada pukul 9 pagi ialah Jalan Tasek, Ipoh dengan bacaan 144, Kampung Air Putih, Taiping (149), Jalan Pegoh, Ipoh (188) dan Tanjung Malim (175). – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130625/dn_25/102-sekolah-di-daerah-Manjung-Perak-ditutup-hari-ini#ixzz2XDplYQIv
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jerebu: Ibu bapa dibenarkan tak hantar anak ke sekolah – Bernama


Jerebu: Ibu bapa dibenarkan tak hantar anak ke sekolah

 

 

KUALA LUMPUR 24 Jun – Ibu bapa dibenar tidak menghantar anak-anak ke sekolah jika bimbang kesihatan mereka berikutan jerebu yang melanda sekarang, kata Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, pihak sekolah hendaklah dimaklumkan terlebih dahulu.

“Ibu bapa diminta merujuk kepada pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah dan Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat lebih lanjut berkaitan status sekolah anak-naka mereka terutama di kawasan yang terlibat,” kata Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan dalam kenyataan di sini hari ini.

Sekolah-sekolah diarahkan tutup hari ini iaitu di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka serta daerah Muar, Ledang dan Segamat di Johor, Port Dickson di Negeri Sembilan dan Kuantan di Pahang.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G.Palanivel memberitahu pemberita di lobi Parlimen hari ini bahawa sekolah-sekolah di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka ditutup esok memandangkan keadaan jerebu bertambah buruk.

Muhyiddin berkata, walaupun sekolah-sekolah dalam kawasan jerebu kritikal dan yang bacaan Indeks Pencemaran Udara melebihi paras bahaya telah ditutup, murid-murid dinasihatkan supaya tidak mendedahkan diri di kawasan terbuka.

“Dalam hal ini kerjasama ibu bapa perlu supaya dapat mengawasi pergerakan anak-anak mereka sepanjang tempoh itu,” katanya.

Murid-murid juga dinasihatkan sentiasa memakai penutup hidung dan minum banyak air, manakala pihak sekolah hendaklah merujuk pelajar yang tidak sihat ke klinik atau hospital berhampiran, katanya.

Selain itu, Timbalan Perdana Menteri mengarahkan Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah sentiasa memantau dan mengikuti perkembangan semasa jerebu untuk mengetahui status terkini jerebu di kawasan masing-masing.

Katanya, semua pengarah pelajaran negeri hendaklah sentiasa mendapatkan pandangan dan nasihat daripada pihak berkuasa di peringkat masing-masing mengenai keperluan penutupan sekolah serta pelaksanaan sebarang aktiviti melibatkan murid.

Muhyiddin juga meminta pihak sekolah mematuhi arahan surat siaran dari semasa ke semasa sama ada untuk menutup sekolah dengan serta merta, menghentikan semua aktiviti di luar bilik darjah atau menghentikan semua aktiviti kokurikulum dengan kadar segera bagi menjamin kesihatan murid. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130624/dn_38/Jerebu-Ibu-bapa-dibenarkan-tak-hantar-anak-ke-sekolah#ixzz2X8n3ep33
© Utusan Melayu (M) Bhd

Jerebu: Semua sekolah di KL, Selangor diarah tutup esok – Bernama


Jerebu: Semua sekolah di KL, Selangor diarah tutup esok

 

KUALA LUMPUR 23 Jun – Semua sekolah di Kuala Lumpur dan Selangor akan ditutup esok seperti yang dinasihatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kata Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri G. Palanivel.

Palanivel berkata, beliau akan meminta Menteri Pendidikan Kedua, Datuk Seri Idris Jusoh mengambil tindakan sewajarnya.

“Situasi jerebu semakin teruk pada 5 petang dan sekolah diarah tutup sebagai langkah berjaga-jaga kerana kualiti udara yang buruk akan memberi kesan terhadap kesihatan pelajar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar memastikan anak-anak mereka berada dalam rumah dan memakai topeng jika mereka perlu keluar.

Jabatan Alam Sekitar (JAS) melaporkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Muar, yang diisytihar sebagai kawasan darurat, mencatat sedikit penurunan dengan bacaan 690 pada 11 pagi tadi berbanding 746 empat jam sebelumnya.

IPU bagi Bandaraya Melaka dan Bukit Rambai di Melaka, yang sebelum ini masing-masing mencatat bacaan di tahap bahaya 357 dan 334, meningkat ke 415 dan 428.

Negeri lain yang mempunyai IPU tidak sihat termasuk ibu negara, Putrajaya, Selangor, Pahang, Negeri Sembilan dan Johor manakala dua kawasan yang dikategori sebagai mempunyai kualiti udara sihat ialah Sandakan dan Tawau di Sabah. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130623/dn_34/Jerebu-Semua-sekolah-di-KL-Selangor-diarah-tutup-esok#ixzz2X2itd46m
© Utusan Melayu (M) Bhd