Polis nasihat waspada peragut di LRT – Berita Harian


Polis nasihat waspada peragut di LRT

13/09/2012 – 05:08:47 AMCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Orang ramai dinasihatkan berhati-hati ketika berada di stesen Transit Aliran Ringan (LRT) berikutan beberapa kejadian ragut didalangi sekumpulan pelajar sekolah menengah.

Dalam kejadian terbaru, pagi kelmarin, tiga pelajar sekolah menengah berusia 14 hingga 17 tahun, mencabul dan meragut seorang pelajar perempuan sebuah kolej swasta berusia 21 tahun di Stesen LRT Jalan Hang Tuah.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh, berkata salah seorang suspek berjaya ditahan sepasukan pegawai dan anggotanya yang sedang menjalankan rondaan cegah jenayah di lokasi sama.

Hasil siasatan mendapati suspek yang berasal dari Desa Tasik, Sungai Besi di sini, dan dua rakannya yang masih bebas, menolak mangsa hingga terjatuh dan mencabulnya sebelum meragut telefon bimbit.

Sepasukan polis yang berada di lokasi itu mengejar ketiga-tiga pelajar terbabit yang memakai pakaian biasa sebelum menahan suspek utama yang membawa telefon milik mangsa, katanya pada sidang media di sini, semalam.

Polis turut menemui pisau lipat, dipercayai digunakan suspek untuk mengugut dan menakutkan mangsanya.

Suspek yang turut memiliki rekod jenayah samun secara berkumpulan yang dilakukannya di Daerah Dang Wangi, Mac lalu, kini ditahan reman mengikut Seksyen 395 dan Seksyen 354 Kanun Keseksaan untuk siasatan lanjut, manakala dua rakannya sedang diburu.

Lelaki sedang menunggu dalam kereta maut ditembak – Bernama


Lelaki sedang menunggu dalam kereta maut ditembak
2012/06/29
PETALING JAYA: Seorang lelaki yang sedang menunggu dalam kereta di luar sekolah anaknya, Sekolah Kebangsaan Taman Sungai Besi Indah, Seri Kembangan dekat sini, maut selepas ditembak dua lelaki yang menunggang sebuah motosikal hari ini.

Ketua Polis Daerah Serdang Superintendan Abd Razak Elias berkata, ketika kejadian jam 7.30 pagi itu, mangsa berumur 32 tahun sedang menunggu isterinya yang menghantar anak lelaki tunggal mereka berusia lapan tahun masuk ke dalam sekolah.
“Mangsa yang duduk di tempat pemandu dalam kereta jenis Perodua Myvi, tiba-tiba didatangi dua lelaki bermotosikal dan bertopi keledar penuh sebelum seorang daripada mereka melepaskan dua das tembakan ke arahnya dari jarak dekat.
“Tembakan itu terkena rusuk kanan dan menembusi bahu kirinya. Mangsa yang juga seorang peniaga kedai runcit kemudian dihantar ke Hospital Serdang sebelum disahkan meninggal dunia pukul 9 pagi,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Abd Razak berkata, hasil siasatan mendapati suspek menunggang motosikal jenis Yamaha LC bewarna merah dan menggunakan pistol jenis semi auto.

“Siasatan lanjut juga mendapati mangsa yang tinggal di Sungai Chua, Kajang tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan menurut isteri mangsa, suaminya tidak mempunyai musuh,” katanya.

Abd Razak berkata, polis dalam pada itu tidak menolak kemungkinan kejadian bermotifkan dendam dan dirancang rapi oleh suspek terbabit.
“Di sekolah itu tidak mempunyai rakaman kamera litar tertutup. Sehubungan itu kami meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian supaya menyalurkan maklumat ke balai polis berdekatan,” katanya. – BERNAMA

Didakwa rogol: Bekas banduan menangis – Sinar Harian


Didakwa rogol: Bekas banduan menangis

WARTAWAN SINAR HARIAN
11 Mei 2012

AYER KEROH – Seorang bekas banduan menangis kerana sedih apabila dituduh di Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas dua pertuduhan merogol remaja bawah umur 11 tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hazizol Ahmad, 30, dari Sungai Besi, Kuala Lumpur bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan­ kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahmoodah Abdul Latiff.

Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa merogol seorang remaja berusia 14 tahun di sebuah rumah di Taman Sutera Belia, Batu Berendam kira-kira 12 tengah hari pada 14 Disember 2001.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa merogol mangsa sama di sebuah rumah di Jalan Bangsar, Batu Berendam antara jam 12 tengah malam pada 26 Disember hingga 9 pagi, 30 Disember 2001.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Mohd Hazizol dituduh mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dari lima hingga 20 tahun dan boleh dikenakan sebat.

Terdahulu, Mahmoodah ketika pendakwaan meminta mahkamah tidak memberikan sebarang jaminan­ terhadap tertuduh kerana arahan­ pendakwaan kes tersebut keluar sejak 2003, namun tertuduh tidak dapat dikesan dan hanya ditangkap, kelmarin.

Bagaimanapun, tertuduh yang merupakan anak yatim piatu merayu sambil menangis teresak-esak meminta mahkamah memberikan jaminan terhadapnya dengan alasan­ tidak pernah melarikan diri sebelum ini.

“Saya di penjara selama 10 bulan pada 2003 dan kemudian enam tahun sejak 2005 sebelum bebas pada 2009 bagi kes dadah. Sudah banyak kali saya ditahan tapi kenapa sekarang?” katanya.

Selepas mendengar rayuan, Hakim Abu Bakar Katar membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 bagi dua penjamin dan menetapkan 18 Jun depan sebagai tarikh sebutan semula kes.