Murid lemas mandi di sungai bersama kawan – Bernama


Murid lemas mandi di sungai bersama kawan

2013/03/22 – 10:47:11 AMCetakEmel Kawan
BESUT: Seorang murid Tahun Tiga yang mandi di Sungai Besut berhampiran Taman Teratur, Jerteh lemas dalam kejadian petang, semalam.

Ahmad Akid Syawal Aznan, 9, murid Sekolah Kebangsaan Lubuk Kawah pergi ke sungai itu yang terletak kira-kira 500 meter dari rumahnya bersama lima rakannya kira-kira jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Zakaria, berkata mangsa tenggelam dua jam kemudian ketika mandi di kawasan air yang dalam.

“Apabila menyedari mangsa tenggelam, salah seorang rakannya menyelam dan berjaya menarik mangsa keluar. Bapa mangsa segera diberitahu tentang kejadian itu,” katanya.

Beliau berkata, anak keempat dari enam beradik itu kemudiannya dikejarkan ke Hospital Besut oleh bapanya yang mangsa kemudiannya disahkan meninggal dunia oleh pihak hospital. – BERNAMA

Banjir: SK Kampung La di Hulu Besut ditutup – Bernama


Banjir: SK Kampung La di Hulu Besut ditutup

BESUT 26 Feb. – Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung La di Hulu Besut di sini terpaksa ditutup hari ini berikutan ramai pelajar dan gurunya tidak dapat hadir ke sekolah ekoran beberapa jalan ke sekolah itu dinaiki air antara 0.6 meter hingga 1.3 meter.

Laluan terbabit ialah di Kilometer (Km) 27, Jalan Jerteh-Keruak dekat Sungai Patong dan di Km13 dekat Kampung Gertak Jerbun.

Pegawai Pelajaran Daerah Besut, Ab Halim Hassan ketika dihubungi Bernama berkata, sekolah itu diberikan kebenaran cuti berganti.

Katanya, beliau juga dimaklumkan ramai guru yang mengajar di Sekolah Menengah Bukit Payong, SK Tenang, SK Panchor dan SK Keruak di daerah itu juga tidak dapat pergi ke sekolah masing-masing dan terpaksa melapor diri di sekolah berdekatan yang tidak terjejas dengan banjir.

Ini berikutan jalan ke Hulu Besut dari Jerteh dinaiki air di beberapa tempat seperti di Kampung Gertak Jerbun, Pasir Akar dan Lepang Kejor di Darau, katanya.

“Sekiranya keadaan banjir didapati bertambah buruk, pihak sekolah perlu mengambil langkah segera bagi mengisytiharkan cuti bagi sekolah mereka,” katanya.

Sementara itu, tinjauan ke beberapa lokasi di Kampung Pasir Akar mendapati paras air yang naik akibat limpahan Sungai Besut sejak petang semalam masih tidak berubah.

Penduduk dilihat memantau keadaan paras air sungai sebelum bertindak untuk berpindah di pusat-pusat pemindahan yang disediakan. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130226/dn_30/Banjir-SK-Kampung-La-di-Hulu-Besut-ditutup#ixzz2Lzcln6mx
© Utusan Melayu (M) Bhd