Polis tahan remaja samun mesin minuman – Bernama


Polis tahan remaja samun mesin minuman

17 Julai 2013

GEORGETOWN – Polis menahan seorang lagi remaja berusia 14 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pecah dan samun mesin vendor minuman di sekitar Sungai Dua dan Gelugor, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata hasil risikan dan maklumat awam, suspek ditahan di sebuah flat di Sungai Dua, berdekatan kampus Universiti Sains Malaysia (USM) pada pukul 2.30 pagi.

Katanya polis turut merampas sebatang besi jenis ‘kuku kambing’ yang dipercayai digunakannya untuk melakukan jenayah tersebut.

“Dengan penangkapan suspek, kita percaya dapat menyelesaikan sebanyak lima kes dan suspek turut mengaku pernah memecah masuk beberapa bilik pensyarah dan pejabat kampus USM,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis percaya suspek mempunyai kaitan dengan dua remaja yang telah ditahan awal pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung kes memecah mesin vendor minuman dan cubaan memecah mesin juruwang automatik (ATM) di USM.

“Berdasarkan rakaman CCTV (kamera litar tertutup), suspek yang kita tahan pagi ini tidak terlibat dalam dua kes cubaan memecah mesin ATM itu tetapi ketiga-tiga mereka saling mengenali dan kita yakin mereka ada kaitan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Suspek ditahan reman sehingga 24 Julai ini mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. – Bernama

Terjerat cubaan kedua – Metro


Terjerat cubaan kedua

 348  0 Google +0  0  0

Oleh Hadzlihady Hassan

GEORGETOWN: Tindakan bodoh dua remaja yang datang kembali untuk melakukan kegiatan pecah mesin wang pengeluaran automatik (ATM) dalam kawasan Universiti Sains Malaysia (USM) mengundang padah apabila mereka ditahan polis, awal pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 5 pagi itu, dua remaja masing-masing berusia 14 dan 19 tahun itu berjaya dikesan selepas mereka didapati berlegar-legar di kawasan terbabit dalam keadaan mencurigakan.

Difahamkan, mereka yang tinggal di flet di Sungai Dua yang juga berhampiran dengan kawasan USM itu tidak berpuas hati kerana hanya memperoleh wang syiling dalam mesin minuman yang dipecah mereka semalam.

Berikutan itu, mereka datang semula ke lokasi kejadian dengan harapan dapat memecah mesin ATM dan wang itu dipercayai digunakan untuk perbelanjaan mereka membeli baju raya.

FotoAGENSI pengawal keselamatan memeriksa mesin ATM yang dipecah pada cubaan pertama semalam. FOTO Michael Ong

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi, mengesahkan penahanan dua suspek terbabit.
Polis tidak menolak kemungkinan ada lagi beberapa remaja yang turut terbabit melakukan kegiatan itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Polis turut merampas besi pencungkil.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/07/16

Polis pantau aktiviti rekrut pelajar sekolah sertai kumpulan gengster – Bernama


Polis pantau aktiviti rekrut pelajar sekolah sertai kumpulan gengster

15 Januari 2013

GEORGETOWN – Polis sedang memantau kegiatan kumpulan kongsi gelap yang merekrut pelajar sekolah menyertai kumpulan mereka.

Ketua Polis Daerah Timur Laut ACP Gan Kong Meng berkata, sejak sesi persekolahan bermula awal bulan ini, polis telah menerima beberapa laporan dari ibu bapa dan guru mengenai anggota kumpulan kongsi gelap menunggu di luar kawasan sekolah dan mempelawa para pelajar menyertai kumpulan mereka.

“Pemantauan sedang giat dilakukan dan kita telah mengerahkan Unit Rondaan Bermotosikal (URB) supaya meronda di kawasan sekolah yang telah dikenal pasti di sekitar daerah ini,” katanya kepada pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Phor Tay di Sungai Dua hari ini.

Beliau berkata, URB akan melakukan rondaan sebelum dan selepas waktu persekolahan bagi membanteras kegiatan itu.

Sementara itu Gan berkata, polis percaya dapat menyelesaikan 11 kes samun di sekitar daerah ini susulan penahanan seorang lelaki berusia 50 tahun yang menyamar sebagai anggota polis di Lebuh Maccalum semalam.

Beliau berkata, pada kejadian pukul 1.50 petang itu, suspek memakai seragam polis bersama dua lagi rakannya yang berpakaian biasa telah merompak sebuah rumah selepas memperkenalkan diri mereka sebagai anggota polis dari cawangan narkotik dan jenayah berat.

“Polis masih memburu dua lagi rakannya dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi balai polis berdekatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, seorang lelaki dipercayai terlibat dalam kes cubaan membunuh teman wanitanya pada 5 Ogos lepas berjaya diberkas dalam sebuah restoran di Bukit Tambun petang semalam.

Gan berkata, pada kejadian pukul 11 pagi itu, suspek M. Kumarasingam, 28, dipercayai menolak teman wanitanya dari tingkat enam sebuah pangsapuri di Batu Uban sehingga menyebabkan buku lali mangsa mengalami keretakan.

Beliau berkata, suspek berasal dari Bagan Serai turut meloloskan diri dari tahanan polis ketika menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang, setelah dipukul orang awam.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu cuba membunuh serta Seksyen 224 kerana melarikan diri dari tahanan polis. – Bernama