Guru jangan jadi pak turut – Sinar Harian


Guru jangan jadi pak turut

WARTAWAN SINAR HARIAN
20 Februari 2013
Guru jangan jadi pak turut
Mohamad (kanan) bertanyakan sesuatu kepada salah seorang guru muda yang hadir selepas Sesi Profesionalisme Guru Muda di Auditorium Tunku Puan Chik, semalam.

SEREMBAN – Guru tidak seharusnya menjadi pak turut meskipun bergiat aktif dalam bidang politik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, sebagai seorang pendidik guru sepatutnya menjadi peneraju masyarakat kerana mereka yang membentuk masyarakat.

“Sekiranya guru bersikap demikian (pak turut) ia akan merosakkan masa depan masyarakat dan bila ini berlaku malang sekali kerana masyarakat akan berpecah dan tidak lagi bersatu padu,” katanya.

Mohamad berkata, terpulang kepada mereka (guru) untuk berpolitik kerana negara ini bebas untuk sesiapa sahaja bergiat aktif dalam politik.

“Tetapi, gunakan akal fikiran dan kita jangan terlampau jumud dan menutup minda sehinggakan kita tidak dapat memandang serta menilai yang mana betul dan salah,”
katanya pada sidang media selepas Sesi Profesionalisme Guru Muda di Auditorium Tunku Puan Chik, Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut di sini, semalam.

Menurut beliau, sebagai seorang guru, mereka perlu menghayati profesion itu kerana ia tugas yang amat mulia.

“Termasuk juga di kalangan guru-guru muda yang perlu memikul tanggungjawab tersebut dan perlu menyambung warisan profesion yang mulia ini.

“Mereka mesti menjiwai profesion yang diceburi ini kerana ianya bukan sahaja satu profesion bagi mendidik anak bangsa sahaja tetapi juga mampu menjadikan negara ini sama ada membangun atau sebaliknya.

“Saya berharap guru-guru muda mempunyai semangat yang tinggi untuk ke arah itu,” katanya.

Air kumbahan ganggu murid – Sinar Harian


Air kumbahan ganggu murid

WARTAWAN SINAR HARIAN
24 Ogos 2012
Air kumbahan ganggu murid
Air kumbahan melimpah masuk ke dalam longkang berhampiran sekolah.

SUNGAI GADUT – Masalah pencemaran bau akibat kolam kumbahan yang dipercayai milik sebuah syarikat swasta menimbulkan rungutan pelbagai pihak.

Lebih-lebih lagi ia terletak tidak jauh dari sekolah di sekitar Sungai Gadut.

Sinar Harian difahamkan, kolam itu hanya tiga meter dari bilik darjah, sekali gus mengganggu proses pembelajaran di sekolah terbabit.

Penjaga murid, S Nara, 44, berkata, masalah bau busuk itu telah berlarutan sejak dua tahun lalu.

“Kasihan murid kerana terpaksa menahan bau busuk yang mengganggu mereka ketika belajar,” katanya.

Seorang lagi penjaga murid, M Selvakumaran, 42, berkata, pihak berkenaan harus segera mengambil tindakan bagi mengurangkan masalah bau busuk itu yang berpunca daripada proses kumbahan di kolam terbabit.

“Bukan satu sekolah yang terganggu tetapi tiga sekolah berdekatan dengan kolam kumbahan berkenaan turut menerima tempias bau busuk,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Senawang, P Gunasekaran berkata, pihaknya akan menulis surat kepada pihak berkaitan supaya menyelesaikan masalah tersebut.

Menurutnya, melalui tinjauan yang dibuat, terdapat air kumbahan yang melimpah keluar dari tepi kolam berkenaan.

“Mungkin masalah ini dapat diselesaikan jika pihak berkaitan meneliti masalah ini dengan mendalam.

“Kami sudah banyak menerima laporan daripada ibu bapa mengenai masalah ini dan diharap pihak terbabit segera mencari jalan untuk mengatasinya,” katanya.

Dalam pada itu, usaha Sinar Harian mendapatkan reaksi daripada Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Halim Abd Razak menemui kegagalan kerana beliau gagal dihubungi.