Jenazah 3 beradik lemas dikebumi satu liang lahad – Bernama


Jenazah 3 beradik lemas dikebumi satu liang lahad

 

 

PASIR MAS 18 Jun – Jenazah tiga beradik yang lemas ketika mandi di Sungai Golok, Rantau Panjang semalam, selamat dikebumi dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Rahmat di sini hari ini.

Mangsa yang maut dalam kejadian pukul 4 petang itu ialah Muhammad Zulhilmi Aziz, 7, Muhammad Syahmi, 6, dan Muhammad Irfan Syahmi, 4.

Suasana pilu menyelubungi rumah keluarga mangsa apabila sanak saudara dan orang ramai menziarahi jenazah sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Ketika ditemui pemberita, ibu mangsa, Nur Asyikin Abdul Rahman, 41, berkata kejadian itu perit untuk dikenang kerana suaminya juga meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Kali terakhir beliau bertemu tiga anaknya itu ialah pada 1.30 tengah hari semalam sebelum meninggalkan rumah bagi mengikuti bengkel di Tadika Kemas Cempaka Sari, Gual Sintok di sini.

Nur Asyikin, yang bertugas sebagai guru di Tadika Kemas Kampung Rahmat, tidak menyangka kejadian itu akan menimpa ketiga-tiga anaknya, namun beliau reda dengan ketentuan Tuhan.

Beliau berkata, Muhammad Zulhilmi, yang dipanggil abang dan merupakan pelajar Sekolah Kebangsaan Kampung Rahmat, bercita-cita menjadi seorang jurutera dan Muhammad Syahmi, yang dipanggil adik, ingin menjadi juruterbang manakala si bongsu iaitu Muhammad Irfan Syahmi, atau Baby, pula mahu menjadi seorang anggota polis. – BERNAMA

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20130618/je_22/Jenazah-3-beradik-lemas-dikebumi-satu-liang-lahad#ixzz2WZ2sVq8g
© Utusan Melayu (M) Bhd

3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah – Sinar Harian


3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah

WARTAWAN SINAR HARIAN
7 Januari 2013
3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah
Kawasan rendah di sepanjang Sungai Golok masih digenangi air.

RANTAU PANJANG – Seramai 3,918 pelajar di lapan sekolah di Kelantan tidak dapat meneruskan persekolahan, apabila lapan sekolah masih ditutup setelah dinaiki air serta jalan ke sekolah terputus hubungan.

Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, empat sekolah terlibat di Tumpat sementara empat lagi di Pasir Mas.

Menurutnya, sekolah di daerah Pasir Mas yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah, Bonggor, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah Siram, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.

“Di Tumpat pula SK Simpangan, SK Bendag Pak Yong, SK Teluk Jering dan SABK Nurul Huda.

“Sekolah lain beroperasi seperti biasa dan pihak kami sedang memantau keadaan untuk melihat sekolah yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, petang semalam.

Kelmarin, SK Sri Rantau Panjang 1 dan  SK Sri Rantau Panjang 2 yang turut dinaiki air telah dibuka semula hari ini.

Sementara itu, jalan di Kubang Rambutan yang dinaiki air serta tidak dapat dilalui kenderaan ringan sudah boleh dilalui semua kenderaan.

Paras Air Sungai Golok sehingga jam 5 petang 9.52 meter dan masih melebihi paras bahaya 9 meter.

Padah mandi sungai – Sinar Harian


Padah mandi sungai
AZURA MOHAMAD DAN MURNI ABDUL RASHID
19 Jun 2012

Mayat mangsa ditemui lewat petang semalam dan dibawa ke Hospital Tanah Merah.
RANTAU PANJANG – Keriangan sekumpulan kanak-kanak mandi di Sungai Golok, dekat Kampung LimauPurut petang kelmarin berakhir dengan tragedi apabila salah seorang daripada mereka lemas.

Dalam kejadian kira-kira 4 petang itu, mangsa, Muhammad Azri Mustakim, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan Rahmat di sini dikatakan keluar mandi bersama rakan-rakannya tanpa pengetahuan datuk dan neneknya.

Mangsa dipercayai hanya sempat mandi seketika sebelum hilang dibawa arus Sungai Golok itu.

Ketika operasi mencari mangsa, penduduk menggunakan pukat bagi mengesan mangsa dan usaha itu membuahkan hasil apabila mayat mangsa ditemui kira-kira 7.15 malam kelmarin tidak jauh dari tempat dia dilaporkan hilang.

Datuk mangsa, Mat Salleh Awang Soh,70, berkata, dia hanya sedar cucunya tidak ada di rumah setelah bangun dari tidur petang semalam dan tidak menyangka cucunya akan bangun awal.

Sebelum kejadian dia sempat melihat arwah bermain dengan cucunya berusia lima bulan di kediamannya.

Menurutnya, selepas itu dia bertanyakan cucu-cucunya yang lain mengenai Muhammad Azri namun tidak seorang pun tahu tempat arwah berada ketika itu.

“Selepas menyedari dia tidak ada di rumah, saya bertanyakan jiran tetapi tidak seorang pun tahu di mana cucu saya berada ketika itu sehinggalah penduduk kampung datang memaklumkan dia lemas selepas saya ulang Sembahyang Asar.

“Selepas dimaklumkan tentang kejadian, saya terus ke sungai bagi melihat keadaan tempat cucu saya dilaporkan lemas bersama penduduk kampung,” katanya kepada Sinar Harian, petang kelmarin.

Mat Salleh berkata, dia kemudian memaklumkan kejadian kepada Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) serta pasukan Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang.

Menurutnya, arwah tidak menunjukkan perubahan sikap sebelum meninggal cuma dia tidak mahu mengaji al-Quran pada malam kejadian.

“Kebiasaannya saya bawa dia ke surau sembahyang Maghrib berjemaah, selepas itu saya mengajar mengaji, tetapi malam itu dia terus pulang ke rumah menyaksikan perlawanan bola sepak di televisyen memandangkan dia begitu minat bola.

“Saya pasrah dengan kehilangan arwah dan mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang membantu sehingga mayatnya ditemui,” katanya.

Nenek mangsa, Esah Mat Nor,60, berkata, sekiranya mengetahui arwah hendak ke sungai, dia melarangnya kerana arwah sentiasa akur dengan larangannya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Abdul Aziz Mahmud berkata, mangsa dari Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Rahmat itu lemas ketika mandi manda bersama tiga lagi rakan di Pengkalan Awang, Kampung Limau Purut dalam kejadian, 5.30 petang kelmarin.

“Dia ditemui dua jam kemudian oleh pasukan mencari Jabatan Bomba dan Penyelamat bersama penduduk kampung.

Mayat mangsa ditemui tersangkut pada pukat berdekatan lokasi kejadian,” katanya.

Menurutnya, kanak-kanak tersebut mandi bersama rakan namun malang tidak berbau apabila mereka mandi di kawasan pasir jerlus.

“Pangkalan Awang yang berhampiran Sungai Golok memang aktif dengan aktiviti mengorek pasir pihak berkenaan di negara jiran. Tempat kejadian memang bahaya kerana di dasar sungai ada pasir jerlus. Mangsa tidak dapat diselamatkan kerana ia berlaku dengan pantas,” katanya.

Abdul Aziz berkata, mereka berempat mandi di tempat yang sama namun tiga rakan lagi dapat menyelamatkan diri.

“Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat,” katanya.

Gagal bersekolah hari pertama – Metro


Gagal bersekolah hari pertama

 

Oleh KHAIRI MOHAMAD
khairi.mohamad@kosmo.com.my

 

ORANG ramai kelihatan meredah banjir berikutan jalan utama di antara Pasir Puteh ke Kuala Besut dinaiki air semalam.

 

KOTA BHARU – Sebanyak sebelas buah sekolah dan ribuan pelajar di Kelantan tidak dapat memulakan sesi baharu persekolahan 2012 yang bermula hari ini ekoran banjir yang melanda beberapa kawasan di negeri ini.

Pengarah Pelajaran negeri, Hussain Awang berkata, dua buah sekolah di Gua Musang iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bihai dan SK Balar tidak dapat beroperasi kerana terputus hubungan.

Beliau berkata, sembilan lagi sekolah terjejas adalah di daerah Rantau Panjang iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, SK Rantau Panjang, SK Seri Rantau Panjang 1 dan 2, SJK(C) Khay Boon, SK Lubok Stol, SK Kok Pauh, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Al-Falah di Siram dan SABK Diniah, Bongor.

“Sekolah-sekolah di Rantau Panjang ditutup disebabkan air Sungai Golok semakin naik dan kawasan sekolah dilimpahi air,” katanya ketika dihubungi semalam.

Beliau berkata, pihaknya akan memaklumkan dari semasa ke semasa bila sekolah terbabit akan dibuka, bergantung kepada keadaan cuaca.

Sementara itu di Pasir Puteh, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke tiga pusat pemindahan di daerah itu meningkat kepada 232 orang daripada 55 buah keluarga selepas rumah mereka ditenggelami air akibat hujan lebat malam semalam.