Tukang cat didakwa rogol gadis bawah umur – Sinar Harian


Tukang cat didakwa rogol gadis bawah umur

WARTAWAN SINAR HARIAN
17 November 2012
Tukang cat didakwa rogol gadis bawah umur
Tertuduh ditawar jaminan RM4,000 bagi setiap tuduhan setelah dihadapkan ke mahkamah.

KUANTAN – Seorang tukang cat berdepan hukuman penjara 20 tahun selepas dia dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuantan, semalam, atas tiga tuduhan merogol  gadis bawah umur, 9 November lalu.

Tertuduh, Mohd Fauzi Jusoh, 31, dari Kuala Terengganu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan yang dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Farahah
Mohd Nazari di hadapan Hakim Mohd Azhar Othman.

Tertuduh didakwa merogol gadis terbabit yang baru berusia 13 tahun tiga bulan kira-kira jam 3.40 pagi dalam sebuah rumah di Lorong Sungai Isap 33, Taman Murni Uda, di sini.

Tertuduh mengulangi perbuatannya itu kira-kira jam 8.30 pagi dan 12 tengah hari di lokasi dan hari yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan jika sabit kesalahan.

Mohd Azhar kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM12,000 dengan tiga penjamin bagi semua tuduhan dan menetapkan tarikh 17 Disember depan untuk sebutan semula kes.

2 mati lemas, 1 kritikal, 3 terselamat – Utusan


2 mati lemas, 1 kritikal, 3 terselamat

 

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
utusanpahang@utusan.com.my

 

SEORANG lelaki dipercayai ahli keluarga mangsa bertungkus-lumus memberi bantuan kecemasan kepada kanak-kanak yang lemas di Pantai Sepat, Kuantan, semalam.

 

KUANTAN 22 Jan. – Kegembiraan satu keluarga meluangkan masa dengan mandi-manda di Pantai Sepat di sini sempena cuti hujung minggu dan Tahun Baru Cina, bertukar tragedi apabila dua daripada mereka mati lemas.

Mereka yang meninggal dunia merupakan adik- beradik tiri iaitu Mohd. Saiful Mohd., 11, dan Mohd. Zaiful Abu Talib, 13.

Dalam kejadian pukul 4 petang itu, seorang lagi daripada mereka yang terselamat dilaporkan kritikal dan dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini manakala tiga lagi dirawat di wad pesakit luar.

Menceritakan kejadian malang itu, ibu mangsa, Zaleha Abd. Ghani, 42, berkata, mereka sekeluarga yang berasal dari Sungai Isap di sini, datang ke pantai itu untuk mandi-manda.

“Kesemua enam anak saya mandi di pantai tersebut. Sedang asyik mandi, tiba-tiba mereka dipukul ombak menyebabkan tiga daripadanya lemas.

“Saya cuba tarik mereka tetapi hanya seorang sahaja dapat diselamatkan. Dua lagi dapat dibawa ke darat oleh orang ramai tetapi meninggal dunia akibat sesak nafas manakala yang lain dapat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui di HTAA, di sini malam ini.

Zaleha dalam nada sebak berharap tragedi di Pantai Sepat itu tidak berulang dan menimpa keluarga lain.

“Saya harap pihak berkuasa dapat melakukan pengawasan di pantai ini,” katanya.

Sementara itu, jurugambar Utusan Malaysia, Mohd. Mahathir Ali yang kebetulan melalui kawasan tragedi untuk ke rumah rakannya di Pekan, mengesyaki sesuatu yang buruk berlaku apabila melihat orang ramai berkerumun.

“Ketika saya sampai, orang ramai sedang memberi bantuan kecemasan kepada seorang kanak-kanak yang lemas di gigi air.

“Saya kemudian diberitahu ada seorang lagi mangsa terdampar di kawasan rumput tidak jauh dari situ yang menunggu untuk dibawa ke hospital.

“Secara tiba-tiba juga orang ramai menjerit melihat seorang lagi mangsa terapung di air dan mereka bergegas untuk menyelamatkannya,” katanya.

Menurut Mahathir, selang beberapa minit pula, dia melihat seorang lagi mangsa lain didukung oleh orang awam naik ke pesisir pantai.

Katanya, kebanyakan mangsa dibawa ke hospital menggunakan kereta orang ramai di kawasan itu sebelum pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kejadian pukul kira-kira pukul 6.15 petang.