Dua maut dihanyut arus deras – Sinar Harian


Dua maut dihanyut arus deras
WARTAWAN SINAR HARIAN
26 Jun 2012

Nik Mariam Nik Mat (kiri) ibu kepada Mohd Firas, ditenangkan penduduk ketika operasi mencari mangsa dilakukan.
Mayat mangsa pertama, Mohd Firas ditemui berdekatan tebing sungai oleh anggota penyelamat.
JERANTUT – Hasrat empat sekawan untuk menjaring ikan bertukar tragedi apabila dua daripadanya lemas di Kampung Jerangsang Tebing Tinggi, dekat sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 petang kelmarin, Mohd Fikri Shamsudin, 11, dan seorang lagi rakannya terselamat manakala adiknya, Mohd Firas Shamsudin dan Aiman Abdullah masing- masing berusia 9 tahun, lemas dihanyutkan arus deras.

Kesemua mangsa yang juga murid Sekolah Kebangsaan Tebing Tinggi pergi ke Sungai Pahang pada waktu cuti sekolah untuk menangkap ikan dengan menahan jaring.

Mohd Fikri berkata, mereka pergi ke kawasan Pasir Tengah untuk menjaring ikan dengan memasuki kawasan cetek berpasir untuk mengharungi sungai.

“Kami mula bergerak ke tengah sungai dengan mengharungi kawasan berpasir yang timbul seperti pulau kerana keadaan air cetek memudahkan kami memasang jaring.

“Saya melarang adik mengikut saya ke sungai namun dia tidak mahu dengar. Jadi, sekiranya mahu ikut juga, saya pesan kepadanya supaya duduk di kawasan cetek sahaja, namun dia berkeras mahu ikut juga,” katanya.

Mohd Fikri berkata, ketika kejadian, dia bersama Firas dan Aiman terjatuh dahulu tetapi dia sempat diselamatkan seorang rakan sebelum rakan tersebut menjerit meminta pertolongan menyelamatkan Firas dan Aiman.

Menurutnya, melihat adiknya dan Aiman dibawa arus, dia mencampakkan jaring dan pelampung tong untuk menyelamatkan mereka tetapi ketika itu air terlalu deras dan kejadian berlaku begitu cepat.

“Penduduk kampung yang berada di kawasan itu turut menolong mencari dan menyelamat namun gagal,” katanya.
Pesanan terakhir gagal ditunaikan

IBU Aiman, Norzilawati Mamat, 29, berkata, ketika kejadian, dia berada di Kuala Krau dan bekerja lantas segera pulang apabila dihubungi penduduk kampung.

Menurutnya, Aiman anak kedua dari tiga beradik seorang yang berperwatakan ceria dan sering menghubunginya sebelum kejadian berlaku.

“Pesanan ringkas terakhir dari Aiman, dia mengadu lapar dan ingin sangat berjumpa saya. “Aiman juga bertanya sama ada saya mempunyai duit untuk membawanya makan di kedai. Saya memintanya bersabar kerana akan pulang bertemu dia dan anak yang lain apabila ada cuti dan berjanji membawa mereka keluar makan,” katanya.

Norzilawati berkata, dia terkejut menerima panggilan daripada bekas suami memberitahu Aiman jatuh sungai dan pulang segera namun sehingga jam 5 petang semalam, nasib dan khabar Aiman masih belum diketahui.

“Saya rasa ralat dan sedih sangat apabila Aiman meminta untuk bertemu dan makan dengan saya, namun hasratnya itu tidak sempat ditunaikan, namun saya reda dengan ujian ALLAH SWT,” katanya.
Dua mayat ditemui di lokasi berbeza

SEMENTARA itu, Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail berkata, seramai 86 anggota pelbagai jabatan melibatkan PDRM, Jabatan Pertahanan Awam (JPAM), Bomba Penyelamat dan penduduk kampung terlibat dalam operasi mencari mangsa yang dibantu 22 bot.

Menurutnya, mangsa pertama iaitu Mohd Firas, 9, ditemui berdekatan tebing sungai berdekatan lokasi pusat operasi pada jam 9.45 pagi semalam.

“Mohd Firas ditemui terapung berdekatan tebing sungai pada jarak kira-kira lebih 500 meter dari lokasi asal dia terjatuh. Mangsa kedua, Mohd Aiman pula ditemui di dasar sungai berdekatan lokasi asal dia terjatuh.

“Kedua-dua mangsa dibawa ke Hospital Jerantut untuk bedah siasat,” katanya.

Turut hadir ke lokasi kejadian, Setiausaha Umno Bahagian Jerantut, Datuk Mohd Zukarmi Abu Bakar; Pegawai Khas Ahli Parlimen Jerantut, Abdullah Lebai Din dan Ketua Wanita Umno Jerantut, Norhelan Mahamud.