Kanak-kanak lemas di sungai ketika leka bermain di atas sampan – Sinar Harian


Kanak-kanak lemas di sungai ketika leka bermain di atas sampan

WARTAWAN SINAR HARIAN
19 Mei 2013
Kanak-kanak lemas di sungai Terjatuh ketika leka bermain di atas sampan
Salleh terkilan tidak dapat menyelamatkan cucunya yang terjatuh ke dalam sungai Cherang Melintang selepas bermain di atas sampan miliknya.

TUMPAT – Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun mati lemas selepas terjatuh ke dalam sungai Kampung Cherang Melintang di sini ketika leka bermain di atas sampan milik datuknya petang kelmarin.

Kejadian kira-kira jam 6.30 petang, mangsa Khairul Anwar Sudin dikatakan mengikut datuk tirinya, Salleh Deraman, 83 ke sungai itu, jaraknya 500 meter dari rumah mereka bersama dua sepupu tiri, Haikal Rozi, 10 dan Normalisa Rozi, 5.

Dua sepupu mangsa terselamat kerana ketika kejadian mereka berada di tebing sungai itu, hanya mangsa naik ke sampan yang diikat kemas pada sebatang kayu di tebing sungai terbabit.

Difahamkan mangsa terjatuh ke dalam sungai apabila dia tidak dapat mengimbangi badannya ketika berdiri kerana bot yang diikat di tebing bergerak.

Mangsa anak sulung daripada tiga beradik merupakan murid di Sekolah Kebangsaan Teluk Jering.
Ketika kejadian ibu bapanya, Sudin Zakaria, 39 dan Norizan Salleh 32, tiada di rumah kerana menziarahi saudaranya di Kedai Buluh, Kota Bharu.

Salleh berkata, dia bersama arwah, Haikal dan Normalisa menunggang basikal  ke sungai tersebut, bagaimana pun  di pertengahan jalan dia singgah  di rumah Penghulu Mukim Cherang Melintang, Ismail Mat Yusof.

“Tiga cucu saya itu meneruskan perjalanan mereka ke sungai terbabit dengan basikal, saya kemudiannya menyusul selepas itu,” katanya.

Katanya, selepas selesai urusannya dengan penghulu itu, dia meneruskan perjalanan ke sungai tetapi berselisih dengan Haikal dan Normalisa yang nampak tergesa-gesa mengayuh basikal untuk pulang ke rumah.

“Saya tidak sempat bertanya apa-apa dengan dua cucu saya itu, lalu meneruskan perjalanan ke sungai tanpa mengesyaki apa-apa. Dari jauh nampak orang ramai berdiri di tebing sungai terbabit tetapi tidak menyangka ada kejadian lemas dan yang lemas itu adalah cucu sendiri.

Mujur ada orang kampung di seberang sungai terbabit ternampak cucu saya terjatuh,” katanya.
Menurutnya, dia terus terjun ke sungai mencari cucunya dan menyelam sebanyak lima kali tetapi gagal sebelum minta bantuan bomba.

Katanya, dia redha dengan pemergian cucunya walau pun beberapa jam sebelum kejadian arwah begitu manja  apabila memeluk dan merayu agar membenarnya mandi sungai Cherang Melintang itu.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pengkalan Kubor, Rosli Muhammad berkata, mayat mangsa ditemui berhampiran di lokasinya jatuh pada jam 7.30 petang.

“Operasi mencari dilakukan selepas pihak bomba terima panggilan jam 6.58 petang. Seramai 8 anggota termasuk tiga Pasukan Penyelamat Unit  di Air bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Kedai Buluh Kota Bharu, pagi semalam.

Murid tahun satu lemas susulan pasir jerlus – Bernama


Murid tahun satu lemas susulan pasir jerlus

5 April 2013

SETIU – Seorang murid tahun satu yang dihanyutkan air sungai susulan kejadian pasir jerlus di sungai Kampung Padang Muar di sini petang semalam, ditemui mati lemas hari ini.

Mayat murid Sekolah Kebangsaan Sungai Tong, Nor Aina Nabila Abdullah ditemui terdampar kira-kira 200 meter dari tempat kejadian pada pukul 9.25 pagi tadi oleh kumpulan mencari dan menyelamat.

Perkara itu disahkan Penolong Kanan Penguasa Bomba negeri Mohd Rozairi Abd Rahim ketika dihubungi di sini.

Sementara itu, nenek mangsa Gayah Mat Sin, 56, berkata kejadian berlaku pukul 6.30 petang semalam ketika dia bersama seorang anaknya yang berusia 18 tahun, Nor Aina serta dua anak jiran mereka dalam perjalanan pulang ke rumah selepas mandi di sungai berkenaan.

“Saya ternampak timbunan pasir yang cantik dan ingin melihat dari dekat. Kami kemudian berjalan berpimpin tangan menyusuri sungai apabila dasar sungai tiba-tiba jerlus dan kami mula tenggelam.

“Kami berusaha naik ke tebing tetapi entah macam mana Nabila terperangkap dan dalam sekelip mata dihanyutkan air,” katanya ketika ditemui di rumahnya di sini hari ini.

Menurut Gayah, beliau tidak menyangka gurauan cucunya yang berpura-pura lemas ketika mandi sebelum kejadian menjadi kenyataan. – Bernama

Murid ditemui mati lemas, rakan masih hilang – Bernama


Murid ditemui mati lemas, rakan masih hilang
2012/06/25

JERANTUT: Mayat seorang murid Tahun Tiga yang dilaporkan lemas ketika mencari ikan bersama rakan-rakannya di Sungai Kampung Jerangsang di sini semalam ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian pagi ini.

Mayat Muhammad Firas Samsudin, 9, ditemui anggota penyelamat kira-kira 9.45 pagi sementara rakannya Mohd Aiman Abdullah, 9, yang turut dilaporkan lemas masih belum ditemui.
Menurut Ketua Polis Daerah Jerantut, Superintendan Azid Ismail, dalam kejadian tengah hari itu, enam rakan yang sama usia itu dikatakan pergi ke sungai untuk mencari ikan.
“Empat daripada mereka turun ke dalam sungai manakala dua lagi berada di atas tebing. Dua daripada mereka kemudiannya dilaporkan lemas dan dibawa arus sungai,” katanya di sini, hari ini.

Azid berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa yang masih hilang diteruskan. – BERNAMA

Hajat ke sekolah terhalang – Metro


Hajat ke sekolah terhalang

Oleh Nazdy Harun
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

SETIU: “Saya bersemangat memulakan sesi persekolahan baru dan membuat persiapan sejak awal pagi lagi tetapi hajat saya terhalang apabila sekolah ditutup berikutan masih kotor akibat banjir,” kata Nur Farhana Umar, 12, murid tahun enam Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Bukit, Hulu Nerus, dekat sini, semalam.

Dia antara 53 murid yang tidak dapat mengikuti hari pertama persekolahan sesi 2012 apabila sekolah mereka belum sempat dibersihkan akibat dilanda banjir kelmarin selain tandas mengalami kerosakan.
Meskipun air sudah surut, namun kesan kekotoran akibat banjir yang dikatakan mencecah kedalaman satu meter di sekolah itu hanya dapat dibersihkan semalam.

 

Nur Farhana berkata, dia sedih kerana tidak dapat mengikuti kelas sedangkan sebelum itu semangatnya berkobar-kobar memulakan sesi persekolahan baru berikutan akan mengambil peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini.
“Saya harap kejadian banjir seperti itu tidak berulang kerana bimbang akan menjejaskan pembelajaran saya.
“Bagaimanapun, saya bersyukur apabila guru besar memaklumkan sekolah akan dibuka esok (hari ini),” katanya ketika ditemui di sekolahnya, semalam.

 

 

Muhammad Sayazman Abdullah, 10, berkata, walaupun tidak dapat ke sekolah hari ini, namun dia gembira kerana dapat memakai baju sekolah baru.
“Saya tidak sabar memulakan sesi pembelajaran dan akan bangun lebih awal untuk ke sekolah,” katanya.

 

Guru besar, Rohaya Harun, 55, berkata sekolah terpaksa ditutup sehari bagi kerja pembersihan dan memastikan keselamatan pelajar terjamin berikutan bimbang air Sungai Kampung Bukit melimpah naik kerana cuaca masih tidak menentu.
“Kami bimbang keselamatan murid di sekolah ini terjejas menyebabkan pengurusan sekolah kemudian memaklumkan permasalahan ini kepada pihak atasan sebelum mencapai persetujuan penutupan sekolah dilakukan.
“Memandangkan cuaca bertambah baik, sekolah akan dibuka esok,” katanya.
Selain SK Kampung Bukit, sebuah sekolah lagi yang terpaksa ditutup akibat masalah banjir adalah Sekolah Kebangsaan Kuala Besut, di sini, yang mempunyai 201 pelajar.