Malang cari duit saku – Metro


Malang cari duit saku

 8  0 Google +0  0  0

Niat seorang pelajar tingkatan lima, Muhammad Zulhakimi Mat Ripin, 17, bekerja sambilan sebagai kelindan lori pada hujung minggu untuk memperoleh wang lebih bertukar tragedi apabila disahkan lumpuh seumur hidup selepas terjatuh pada hari pertama bekerja.

Remaja itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini, akibat patah tulang belakang dan disahkan lumpuh kedua-dua kaki selain bakal menjalani pembedahan memasukkan besi pada bahagian belakangnya.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelabuhan di sini, berkata, kejadian berlaku pada 24 Februari lalu ketika dia memunggah besi paip seberat lebih satu tan di sebuah kilang di Kerteh, Terengganu.

 

“Sebelum kejadian, saya berdiri di atas satu paip besi yang masih berada atas lori untuk melakukan kerja, namun tiba-tiba sebatang paip besi lain yang diangkat forklift terjatuh ke lantai menyebabkan saya terkejut dan tergelincir.
“Ketika terjatuh, bahagian belakang terkena batang besi menyebabkan tulang belakang patah tiga selain sebahagian kecil remuk menyebabkan dihantar ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu sebelum dipindahkan ke HTAA,” katanya ketika ditemui di HTAA, semalam.
Katanya, ketika kejadian dia hanya kebas di kaki hingga tidak boleh berdiri dan tidak menyangka kecederaan dialami serius, malah menyebabkan lumpuh seumur hidup.

 

Sementara itu, ibunya, Rohana Abdul Ghani, 42, berkata anak kedua daripada enam beradik itu selalu bekerja sambilan setiap kali cuti sekolah termasuk hujung minggu dan dia tidak menghalang asalkan tidak mengabaikan pelajaran. Terdahulu, remaja itu menerima kunjungan daripada Badan Kebajikan Kemanusiaan dan Kemiskinan Seluruh Mukim Beserah dan Sungai Karang (BAKKISS).