Dua beranak, 2 pelajar ditahan kes barang curi – Sinar Harian


Dua beranak, 2 pelajar ditahan kes barang curi

WARTAWAN SINAR HARIAN
January 16, 2012
Dua beranak, 2 pelajar ditahan kes barang curi

KOTA BHARU – Dua beranak dan dua pelajar sekolah menengah ditahan selepas kegiatan menjual serta membeli barang curi yang dianggarkan bernilai RM8,000 dibongkar oleh pihak polis.

Mereka ditahan berusia antara 16 hingga 64 tahun termasuk dua beranak juga peraih emas yang dikatakan membeli barangan dicuri oleh pelajar terbabit, selepas memecah masuk rumah seorang kontraktor di Kampung Tanjung Chat, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, dua pelajar berusia 16 dan 17 tahun itu ditahan di rumah masing-masing di Kampung Tanjung Chat dan Sungai Keladi, dekat sini, selepas menerima laporan daripada mangsa yang berusia 38 tahun.

Katanya, dua beranak itu pula yang berusia 26 dan ibunya 64 tahun, ditahan di bandar Kota Bharu ketika menjalankan kegiatan membeli emas terpakai, kira-kira jam 4 petang, semalam.

Beliau berkata, hasil soal siasat terhadap dua beranak itu, polis turut menemui beberapa barangan kes yang dijual kepadanya oleh dua pelajar terbabit.

“Dua pelajar terbabit ditahan, kira-kira jam 4 petang kelmarin sebelum polis menahan dua beranak yang dipercayai membeli pelbagai barangan curi daripada mereka berdua,” katanya ketika ditemui di pejabatnya semalam.

Beliau berkata, kesemuanya ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD).

Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama keluarga dikatakan meninggalkan rumahnya di Kampung Tanjong Chat, pada 27 hingga 30 Disember tahun lalu dan hanya menyedari kejadian itu sebaik pulang pada 30 Disember kira-kira jam 10 malam.

”Ketika itu mangsa mendapati dalam biliknya berselerak dan mendapati pelbagai barangan perhiasan milik isterinya termasuk rantai, jam tangan dan cincin serta alat permainan jenis PS2 hilang,” katanya.

Beliau berkata, berikutan itu mangsa membuat laporan sebelum polis menahan dua suspek terbabit dan menemui semula barangan perhiasan yang disorok di bawah katil rumah mereka, bagi membantu siasatan.

Kaki ponteng diberkas merompak, miliki barangan curi RM8,500 – Utusan


Kaki ponteng diberkas merompak, miliki barangan curi RM8,500

Azham Othman (dua dari kanan) bersama anggotanya menunjukkan beberapa bentuk cincin dan rantai emas tiruan yang dirampas dua suspek di Kota Bharu, semalam.

 

KOTA BHARU 15 Jan. – Dua pelajar sebuah sekolah menengah di sini yang merupakan sahabat baik, bukan sahaja digelar kaki ponteng dan telah beberapa kali bertukar sekolah, malah turut terlibat memecah masuk rumah seorang kontraktor di Tanjung Chat di sini.

Aktiviti dua remaja itu terbongkar apabila salah seorang daripada mereka yang berusia 16 tahun ditahan, Khamis lalu.

Penangkapan remaja itu membawa kepada penemuan pelbagai jenis barangan rompakan antaranya beberapa bentuk cincin, rantai emas tiruan dan gajet elektronik keseluruhannya bernilai kira-kira RM8,500.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Azham Othman berkata, susulan penahanan itu juga, rakan baik suspek berusia 17 tahun turut ditahan di Sungai Keladi dekat sini petang semalam manakala suspek ketiga yang dipercayai rakan mereka masih diburu.

“Polis pada 1 Januari lalu menerima laporan seorang kontraktor berusia 34 tahun selepas menyedari rumahnya yang ditinggalkan kosong selama beberapa hari dipecah masuk.

“Berdasarkan laporan itu, polis menjalankan siasatan hingga berjaya menangkap suspek pertama. Suspek remaja itu mengaku terlibat dan membawa polis ke tempat barang-barang itu disembunyikan iaitu di bawah katil di rumahnya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Azham berkata, selain kedua-dua suspek, polis turut menahan wanita dua beranak yang juga peraih emas berusia 64 dan 26 tahun di sebuah kedai di Jalan Putera Semerak kerana membeli barang curi daripada suspek.

“Keempat-empat suspek direman selama empat hari bermula hari ini dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 453 Kanun Keseksaan,” katanya.