Abang melambung depan mata – Sinar Harian


Abang melambung depan mata
NORFARHIZA MOHD ATAR
8 Julai 2012

Junid (kiri) melihat motosikal jenis Suzuki yang meragut nyawa abangnya.
LIPIS – “Dari jarak kira-kira 50 meter di hadapan, saya lihat motosikal yang ditunggang abang, Romzi Yok Las, 21, bersama seorang adik kami, Amir Yok Bek, 15, bertembung dengan sebuah Toyota Hilux dan Romzi melambung ke udara sebelum terhempas ke permukaan jalan.”

Demikian kata Junid Yok Bek, 18, yang menyaksikan kemalangan membabitkan ahli keluarganya sehingga meragut satu nyawa di Felda Sungai Koyan Satu, malam kelmarin.

Menurutnya, sebelum kejadian malang itu, mereka tujuh bersaudara sedang dalam perjalanan pulang dari Tanjung Gahai ke Pos Senderut.

“Kami pergi ke Tanjung Gahai untuk mengambil kakak dengan menaiki empat motosikal dan ketika pulang Romzi bersama Amir berada di hadapan dengan menaiki sebuah motosikal jenis Suzuki.

“Ketika sampai di satu selekoh berhampiran Kuarters Guru Koyan Satu, saya lihat motosikal dinaiki Romzi dan Amir bertembung dengan sebuah Hilux dipandu seorang lelaki,” katanya, kelmarin.

Junid berkata, dia bersama empat saudaranya yang lain terus memberhentikan motosikal masing-masing untuk membantu Romzi dan Amir.

“Saya memangku tubuh abang, namun dia tidak memberi apa-apa tindak balas sementara Amir meraung kesakitan,” katanya.

Pemandu Toyota Hilux, Mohamad Nazarudin, Ali, 39, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan pulang dari mengambil barang elektrik dari kedai miliknya di Bazar Mara Sungai Koyan.

“Saya dalam perjalanan pulang ke Lipis. Ketika sampai di tempat kejadian tiba-tiba muncul motosikal tanpa lampu yang ditunggang dua remaja.

“Saya tidak sempat mengelak dan motosikal terbabit menghentam kuat depan kenderaan saya membuatkan saya tergamam seketika. Selepas itu saya terus hubungi rakan dan polis untuk melaporkan kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, kemalangan berlaku di Kilometer 1 Jalan Lipis-Sungai Koyan kira-kira jam 8.05 malam, kelmarin.

Ugut culik pelajar sebelum perkosa – Metro


Ugut culik pelajar sebelum perkosa

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KUALA LIPIS: “Kalau kau tak mahu keluar jumpa aku malam ini, esok masa kau balik sekolah, aku culik kau bawa lari”.

Begitu ugutan dilakukan seorang remaja samseng terhadap seorang pelajar sekolah menengah berusia 13 tahun yang akhirnya menjadi mangsa rogol beramai-ramai dalam sebuah rumah di Jerkoh, dekat sini, Selasa lalu.
Ugutan menerusi SMS itu menakutkan mangsa sebelum tanpa memberitahu keluarga, remaja itu mengambil keputusan keluar menemui suspek dipercayai kenalannya kira-kira jam 11 malam sebelum suspek bersama tiga lagi rakan yang siap menunggu terus melarikan mangsa dengan sebuah kereta ke rumah seorang daripada mereka.

 

Beberapa penduduk Kampung Sungai Koyan, Lipis yang melihat mangsa sedang bergelut sebelum ditarik ke dalam kereta cuba menyelamatkannya dengan membuat sekatan tetapi pemandu kereta itu enggan berhenti, sebaliknya hampir melanggar penduduk kampung.
Setiba di rumah seorang daripada suspek, mangsa diberi makan sebuku roti dan sekotak air sebelum diarah ke dalam sebuah bilik di rumah itu sebelum dirogol bergilir-gilir tiga daripada suspek terbabit manakala seorang lagi enggan berbuat demikian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, mangsa menerima SMS daripada remaja samseng juga kenalannya ketika berada di rumah dan akibat bimbang ugutan itu, mangsa mengambil keputusan keluar menemui suspek terbabit di lokasi dinyatakan dalam SMS itu.

 

 

“Ketika tiba di tempat dijanjikan, mangsa ditarik ke dalam kereta sebelum dibawa lari. Bagaimanapun, perbuatan mereka sempat dilihat beberapa penduduk kampung yang kebetulan berada berhampiran tempat kejadian. Mereka (penduduk kampung) cuba menghalang kereta itu daripada bergerak tetapi pemandunya merempuh sekatan berkenaan.
“Mangsa dibawa ke rumah seorang daripada suspek di Jerkoh sebelum dirogol bergilir-gilir oleh tiga daripada suspek manakala seorang lagi tidak berbuat demikian,” katanya.

 

Beliau berkata, selepas dirogol, suspek meninggalkan mangsa di tepi Jalan Raub sebelum mangsa menghubungi rakannya meminta bantuan.
“Mangsa dibawa ke Balai Polis Raub sementara menunggu ketibaan keluarganya sebelum dibawa ke Balai Polis Lipis untuk membuat laporan berhubung kejadian itu.
“Mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis (HKL) untuk pemeriksaan selepas membuat laporan dan susulan aduan itu, polis menahan empat remaja berusia antara 17 hingga 18 tahun di rumah masing-masing di Lipis.
“Walaupun seorang daripada mereka tidak mengambil kesempatan merogol mangsa tetapi turut ditahan kerana boleh menjadi saksi selain bersubahat dalam kejadian itu,” katanya.
Katanya, empat remaja terbabit kini direman tujuh hari di lokap Balai Polis Lipis bagi membantu siasatan berhubung kejadian yang disiasat mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol.