YAN: “Selepas hampir 40 tahun menunggu, akhirnya saya berpeluang merasai detik yang lama diimpikan itu,” kata Hasanah Abdullah, 55, seorang calon persendirian yang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012, semalam.
Hasanah antara 147 calon persendirian dari Sekolah Menengah Kebangsaan Langkasuka, Guar Chempedak, di sini, yang menduduki peperiksaan itu di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Guar Chempedak.
Nenek kepada tiga cucu itu, berkata dia terharu kerana dapat menduduki SPM dan tidak menjadikan usia sebagai halangan merealisasikan impiannya.
“Selepas tamat darjah enam, saya langsung tidak berpeluang meneruskan pengajian dan bertambah malang apabila terpaksa memikul tanggungjawab besar menjaga enam adik lain selepas kematian ibu ketika berusia 15 tahun.
“Bagaimanapun, ketika usia 16 tahun, saya pernah beberapa kali menyuarakan hasrat mahu mengambil peperiksaan (ketika itu) Malaysia Certificate of Education (MCE), namun dihalang ayah kerana perlu menjaga ramai adik yang masih kecil,” katanya ketika ditemui, di sini.
Hasanah yang juga guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) di Masjid Al-Amin, Sungai Layar, Sungai Petani, berkata walaupun sudah berusia, keinginan yang tinggi untuk meneruskan impian sejak kecil tidak pernah melenturkan semangatnya.
“Saya memegang prinsip ‘di mana ada kemahuan, di situ ada jalan’…maka sehingga sekarang saya tidak pernah berputus asa menimba lebih banyak ilmu untuk berjaya dalam hidup.
“Walaupun sedikit gementar, saya mengulang kaji pelajaran seperti biasa termasuk belajar dengan rakan supaya mudah mengingati apa diajar guru dalam kelas,” katanya.
Hasanah yang mengambil enam subjek teras dan Tasawur Islam serta Bahasa Arab itu, berkata dia berharap memperoleh keputusan cemerlang dalam SPM selepas berusaha dan belajar bersungguh-sungguh sebelum ini.
Artikel ini disiarkan pada : 2012/11/06