Kain ihram kafan anak – Metro


Kain ihram kafan anak

Oleh MOHD NOR ASRI YAACOB
am@hmetro.com.my
E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel
pix_middle

KOTA BHARU: “Seminggu sebelum kejadian, saya tidak sedap hati, seolah-olah seperti akan kehilangan ahli keluarga. Saya juga tiba-tiba tergerak membasuh kain ihram yang tersimpan sejak dua tahun lalu untuk digunakan sebagai kain kafan jika berlaku kematian di kalangan ahli keluarga.

“Perasaan tidak sedap hati itu menjadi kenyataan apabila anak saya lemas dan kain ihram yang dibasuh itu digunakan sebahagiannya untuk kain kafan anak saya,” kata Sabariah Jaafar, 46, ibu kepada Abu Hamid Fadzir, 14, yang ditemui lemas di Sungai Machang, Pasir Tumboh, dekat sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 5 petang, rakan Abu Hamid, Wan Mohd Nazri Wan Mahmud, 15, turut lemas selepas mandi di sungai bersama tiga lagi rakan lain.

 

Mayat Wan Mohd Nazri ditemui jam 6.51 petang, manakala mayat Abu Hamid ditemui jam 8.15 malam di dasar sungai tidak jauh antara satu sama lain oleh sepasukan anggota bomba yang melakukan kerja mencari dan menyelamat bersama penduduk kampung.
Abu Hamid dan Wan Mohd Nazri adalah pelajar Maahad Ar-Rahmah Kenali, Kubang Kerian, di sini, dan masing-masing berasal dari Kota Bharu dan Pasir Puteh. Jenazah kedua-dua pelajar itu dikebumikan pagi semalam.
Jelas Sabariah, Abu Hamid keluar rumah jam 4 petang bersama empat rakannya dengan menaiki basikal untuk belajar silat, namun tidak menyangka anaknya mandi sungai sehingga lemas.

 

 

Katanya, pada jam 6 petang, rakan anaknya datang ke rumah dan dia terkejut selepas dimaklumkan anaknya lemas di sungai yang terletak lima kilometer dari rumahnya.
“Pada mulanya, saya tidak membenarkannya keluar kerana cuaca mendung, namun dia berkeras untuk keluar sebelum saya dikejutkan dengan berita kematiannya.

 

“Menurut rakannya, mereka memang keluar untuk belajar silat namun kerana tok guru tiada di rumah, mereka ke sungai untuk mandi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Paduka, Kubang Kerian, di sini, semalam.
Sabariah berkata, anaknya turut menunjukkan sikap manja ketika dikejutkan untuk solat Subuh pada hari kejadian.
“Saya pukul dia untuk bangun solat Subuh, tapi dia tidak mengendahkannya, sebaliknya memegang dan mencium tangan saya sebelum dia bangun untuk solat,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk kampung, Mohd Yusof Mohd Yunus, 60, berkata, ketika kejadian dia menjala ikan berhampiran tempat kejadian sebelum rakan mangsa datang meminta tolong.
Katanya, dia bergegas ke tempat kejadian, namun kedua-dua mangsa sudah tenggelam sebelum dia meminta pertolongan penduduk dan menghubungi bomba.
“Kejadian berlaku pantas dan saya tidak sempat menyelamatkan mangsa, malah hujan lebat selepas kejadian menyebabkan penduduk sukar memberi pertolongan dan terpaksa menunggu bomba,” katanya.
Ketua Zon Bomba dan Penyelamat Kota Bharu, Mohd Shukri Ismail berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa dilakukan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan dengan 15 anggota.
“Kita menemui mayat pertama (Wan Mohd Nazri) di dasar sungai, jam 6.51 petang. Selepas itu kita terpaksa menghentikan selama sejam berikutan hujan lebat namun selepas cuaca baik, kita meneruskan semula operasi dan mayat kedua (Abu Hamid) ditemui jam 8.15 malam.
“Kedua-dua mangsa diserahkan kepada polis sebelum dihantar ke rumah keluarga masing-masing,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Assisten Komisioner, Azham Othman ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian itu dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Dua pelajar lemas di Sungai Machang – Berita Harian


Dua pelajar lemas di Sungai Machang

Oleh Mohamad Zulfaizan Mansor

2012/05/06

5 mandi sungai balik dari rumah guru silat

KOTA BHARU: Kegembiraan lima pelajar mandi di Sungai Machang, Limbat dekat sini berakhir dengan tragedi apabila dua daripada mereka lemas, petang semalam.

Difahamkan, sebelum kejadian kira-kira jam 5 petang, mangsa, Wan Muhammad Nadzri Wan Mahmud Sabri, 14, dan Abu Hamid Fadzir, 14, masing-masing pelajar Sekolah Menengah Agama Al-Rahmah, Kubang Kerian pergi ke rumah guru silat mereka untuk berlatih, tetapi terpaksa berpatah balik kerana gurunya tiada di rumah.

Ibu Abu Hamid, Sabariah Jaafar, 46, berkata anak keenam daripada 14 beradik itu keluar rumah kira-kira jam 4 petang bersama rakannya, Wan Muhammad Nadzri dengan menaiki basikal untuk belajar silat di rumah guru mereka.

Bagaimanapun, dia dikejutkan dengan kejadian lemas membabitkan anaknya itu apabila seorang rakan arwah datang ke rumah dalam keadaan cemas kira-kira jam 6 petang.

“Sebelum kejadian, saya melarangnya keluar kerana cuaca mendung pada petang itu, namun dia tetap berkeras untuk keluar bersama rakannya.

“Saya diberitahu, pada mulanya mereka keluar untuk belajar silat di rumah tok guru (silat) yang berdekatan dengan sungai itu, namun disebabkan guru silat tiada di rumah, mereka ke sungai untuk mandi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang Paduka, Kubang Kerian di sini, semalam.

Seorang saksi, Mohd Yusof Mohd Yunus, 60, berkata dia sedang menjala ikan berhampiran tempat kejadian sebelum rakan mangsa datang meminta pertolongan untuk menyelamatkan mangsa.
“Saya bergegas ke tempat kejadian untuk melihat apa yang berlaku, namun sudah terlambat kerana kedua-dua mangsa tenggelam sebelum saya menghubungi bomba.

“Kejadian itu berlaku begitu pantas dan saya tidak sempat menyelamatkan mangsa, malah hujan lebat selepas kejadian menyebabkan penduduk kampung sukar memberi pertolongan dan terpaksa menunggu bantuan bomba,” katanya.

Ketua Penguasa Bomba Zon Kota Bharu, Mohd Syukri Ismail, berkata gerakan mencari mangsa dilakukan Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Kelantan dan menemui mayat Wan Mohd Nazri pada jam 6.51 petang manakala mayat Abu Hamid, jam 8.15 malam.