Sekolah 5 guru empat pelajar – Metro


Sekolah 5 guru empat pelajar

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

HUTAN MELINTANG: Musim persekolahan baru 2013 bermula semalam menjadi detik paling ‘eksklusif’ buat empat murid Sekolah Kebangsaan Tebing Rebak (SKTR) mukim Teluk Baharu, di sini, kerana hanya mereka yang belajar di sekolah itu tahun ini dibantu lima guru.

SKTR memulakan persekolahan baru dengan hanya empat murid masing-masing seorang murid tahun satu; tahun tiga; tahun lima dan tahun enam.
Kekurangan itu bagaimanapun langsung tidak melemahkan semangat Mohd Zulkifle lkmal Mohd Fauzie, 9; Mohd Azrol Termizi, 11, dan Mohd Azrol Amri Salim, 12, untuk menggapai cita-cita malah, murid tunggal tahun satu yang mendaftar semalam, Mohd Nor Sarwani Ahmad Kamal, 7, kelihatan ceria dan gembira.

 

Fenomena itu sudah lazim buat tenaga pengajar di sekolah berkenaan sejak 11 tahun lalu, namun ia tidak merencatkan fungsi pembelajaran dan persekolahan di sekolah itu.
Lebih membanggakan, calon tunggal Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun lalu iaitu Muhammad Amirnur Hadi Ahmad Kamal berjaya mendapat keputusan cemerlang 5A.
Amirnur Hadi yang juga anak kepada Pengerusi Persatuan lbu bapa dan Guru (PIBG) SKTR, Hajar Abdul Samad, 44, mendapat 5A kini melanjutkan pelajaran dalam tingkatan satu ke Sekolah Menengah Sains Teluk lntan dekat sini.

 

 

Sekolah di kawasan tengah ladang sawit bersempadan dengan Sungai Perak itu terletak dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Hutan Melintang dan Parlimen Bagan Datoh itu diketuai oleh Muhaini lbrahim, 56, sebagai Guru Besar dibantu lima guru.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

Remaja lemas ketika mandi ditemui di Sungai Perak – Bernama


Remaja lemas ketika mandi ditemui di Sungai Perak

30 September 2012

IPOH – Remaja lelaki berusia 16 tahun ditemui mati lemas di Sungai Perak berhampiran Kampung Kuala Rui, Gerik hari ini.

Mayat Shum Zu Zian ditemui unit penyelam Polis Marin pada pukul 7 pagi kira-kira 10 meter dari tempat kejadian.

Ketua Polis Daerah Gerik Supt Abdul Manab Baharum berkata remaja lelaki itu dilapor hilang selepas dibawa arus deras sungai itu ketika mandi bersama seorang rakannya pada pukul 3 petang semalam.

“Mayat dihantar ke Hospital Gerik untuk bedah siasat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata rakan remaja itu berjaya diselamatkan penduduk kampung berhampiran. – Bernama

Mayat hanyut 5km – Metro


Mayat hanyut 5km
Oleh Wan Asrudi Wan Hasan dan Mohd Idris Sulaiman
am@hmetro.com.my

PARIT: “Sebelum kejadian, anak saya lebih banyak diam dan membuat hal sendiri tidak seperti selalu apabila ditegur ada saja jawapan diberikan,” kata Norliza Brahim, 26, ibu kepada, Mohd Azhar Daniel Fauzi, 7.

Mayat Mohd Azhar, murid tahun satu Sekolah Kebangsaan Layang-Layang Kiri ditemui terapung di Sungai Perak kira-kira lima kilometer dari tempat kejadian jam 9.58 pagi semalam.
Menurut Norliza, lebih memilukan anak lelakinya yang cukup aktif, secara tiba-tiba berubah sikap menjadi pendiam sehari sebelum kejadian.

“Dia memang sangat aktif dan suka bercakap, bagaimanapun perangainya berubah beberapa hari sebelum kejadian.
“Kebiasaannya dia lambat mandi dan jenuh disuruh, tetapi pagi itu dia sendiri yang mandi pada awal pagi sebelum keluar dari rumah kira-kira 10.30 pagi kelmarin,” katanya yang pasrah dengan segala ketentuan yang berlaku.

 
Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/08/07

Kanak-kanak mati lemas – Utusan


Kanak-kanak mati lemas

Oleh AIN SAFRE BIDIN
pengarang@utusan.com.my

TELUK INTAN 20 April – Penantian mendebarkan selama lebih 40 jam seorang ibu, Ainiza Mohd. Ali, 33, untuk menemui semula anaknya yang hilang selepas keluar memancing kelmarin, berakhir dengan kisah duka apabila mayat anaknya ditemui terapung di Sungai Perak hari ini.

Perasaan Ainiza menjadi lebih tidak keruan apabila nasib suaminya, Ramlan Ahmad, 34, yang memancing dengan menaiki bot bersama anaknya itu, sehingga5 kini masih belum diketahui.

Mayat Mohd. Aizat, pelajar tahun empat Sekolah Kebangsaan Haji Hassan Changkat Petai dekat sini, ditemui pukul 9.50 pagi ini di celah-celah rumput berhampiran Jambatan Sultan Yusuf, kira-kira 200 meter dari tempat bot dua beranak itu dipercayai terbalik.

Ainiza berkata, suami dan anaknya keluar rumah kira-kira pukul 7 pagi Rabu lalu untuk keluar memancing dalam keadaan tergesa-gesa, malah tidak sempat bersarapan bersama.

Anak lemas, bapa masih hilang, sampan terbalik di Sungai Perak – Bernama


Anak lemas, bapa masih hilang, sampan terbalik di Sungai Perak

2012/04/20

IPOH: Seorang kanak-kanak mati lemas, manakala bapanya masih belum ditemui apabila sampan yang mereka naiki terbalik ketika sedang memancing udang di Sungai Perak dekat Teluk Intan malam tadi.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Goh Kok Liang, berkata mayat Mohd Aizad Iskandar Ramlan, 10, ditemui tersangkut di celah pokok kira-kira 200 meter daripada tempat sampan terbalik pada jam 9.50 pagi tadi.

Gerakan mencari bapanya, Ramlan Ahmad, 34, seorang anggota polis bantuan dan bertugas di Bank Simpanan Nasional cawangan Ipoh dipergiatkan, katanya ketika dihubungi di sini.

Dua beranak itu yang tinggal di Kampung Changkat Petai, Teluk Intan dilaporkan ke Sungai Perak pada jam 8 malam tadi untuk memancing udang, katanya.

Goh berkata, ketika berada di tengah sungai, sampan yang mereka naiki dikatakan tiba-tiba terbalik akibat dirempuh ombak, menyebabkan kedua-duanya tercampak ke dalam sungai berkenaan.

Anggota keluarga yang gagal menghubungi kedua-dua mereka pada jam 10.45 malam kemudian membuat laporan polis, katanya.

Polis yang menerima laporan itu kemudian meminta bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Pertahanan Awam melancarkan operasi mencari di Sungai Perak sehingga larut malam dan dihentikan akibat cuaca gelap.
Operasi yang disambung pagi ini kemudian menemui mayat kanak-kanak itu tersangkut dicelah pokok, katanya. -BERNAMA