‘Ingat dia bergurau kata rumah terbakar’ – Metro


‘Ingat dia bergurau kata rumah terbakar’

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

KAPAR: “Saya ingat dia hanya bergurau mengatakan rumah terbakar,” kata Mohd Khairi Baharudin, 13, yang terselamat dari maut selepas tindakan pantas sepupunya yang mengejutkannya dari tidur berjaya menyelamatkannya dalam kejadian kebakaran di Jalan Goh Hock Huat, Sungai Pinang, di sini, pagi semalam.

Dalam kejadian jam 7.40 pagi itu, Mohd Khairi sedang tidur dan tidak menyedari rumah yang didiami bersama ibu dan kakaknya itu terbakar. Ketika kejadian remaja itu tinggal berseorangan selepas ibu keluar bekerja dan kakaknya ke sekolah. Mohd Khairi berkata, dia hanya menyedari sepupunya, Abdul Khalid Hanaqi Kamaludin, 13, tidak bergurau apabila melihat rumah dipenuhi asap dan beberapa bahagian rumah sudah terbakar.
Katanya, dia hanya sempat menyelamatkan sijil kelahiran dan beberapa dokumen penting seperti sijil manakala barangan peribadi serta peralatan rumah tidak dapat diselamatkan kerana api marak dengan cepat memandangkan rumahnya diperbuat daripada kayu.

 

“Saya berterima kasih dan terhutang budi dengan Abdul Khalid yang sanggup meredah api demi menyelamatkan saya dan tak dapat saya bayangkan sekiranya saya masih lagi tidur dan tidak sedar kebakaran yang berlaku,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian semalam.
Kejadian itu turut mengakibatkan empat rumah dan empat kedai yang diperbuat daripada kayu musnah.
Dalam pada itu, Abdul Khalid yang tinggal bersebelahan rumah Mohd Khairi berkata, ketika kejadian dia sudah berada di luar rumah selepas dikejutkan jiran memintanya lari menyelamatkan diri. “Tiba-tiba saya teringat Mohd Khairi yang sedang tidur di rumah bersebelahan. Saya nekad masuk ke rumahnya dan bersyukur kerana berjaya menyelamatkannya.

 

 

“Saya tak sempat nak selamatkan barangan yang ada di dalam rumah melainkan beberapa barangan seperti set permainan video dan IPad yang berada di dalam bilik saya.
“Semuanya musnah dan sekarang saya sekeluarga terpaksa tinggal sementara waktu di Dewan Orang Ramai Sungai Pinang sebelum mendapat rumah sewa sementara yang akan diuruskan Ketua Kampung Sungai Pinang,” katanya.

 

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang, Ishak Bakar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 7.53 pagi dan tiba di tempat kejadian seminit kemudian.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/04

25 pelajar tahfiz hilang tempat penginapan, pengajian – Utusan


25 pelajar tahfiz hilang tempat penginapan, pengajian

KLANG 5 Feb. – Sebuah rumah yang dijadikan pusat pengajian dan penginapan 25 pelajar Pusat Tahfiz Darul Mustaffa hangus dalam kebakaran di Jalan Meru di sini petang ini.

Bagaimanapun, kesemua pelajar pusat tahfiz berkenaan yang berusia antara 10 dan 16 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kejadian pukul 4 petang itu disedari oleh pemilik rumah berkenaan, Mohd. Salehhodin Sabiyee, 50, yang tinggal berhampiran setelah melihat asap hitam keluar dari bumbung kediaman.

Dia kemudian mengarahkan semua pelajar keluar daripada rumah bagi menyelamatkan diri.

“Saya bergegas ke pusat tahfiz tersebut untuk mengarahkan semua pelajar yang ketika itu ada di antara mereka sedang berehat dan tidur supaya segera keluar.

“Jiran-jiran berdekatan turut membantu mengeluarkan sebahagian perkakasan rumah yang sempat dibawa,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ujarnya, selepas kejadian, ramai ibu bapa pelajar datang untuk mengambil anak-anak masing-masing manakala sebahagian lagi ditempatkan di sebuah masjid berdekatan.

Tambah Mohd. Salehhodin, rumah tersebut merupakan miliknya yang telah dijadikan pusat tahfiz serta tempat penginapan pelajar sejak dua tahun lalu.

“Saya tidak kisah kerugian lebih RM150,000 asalkan semua pelajar selamat,” ujarnya.

Ketua Operasi Bomba dan Penyelamat, Pegawai Bomba Kanan II Mohd. Mustaffa Shahril berkata, pihaknya menerima laporan kebakaran itu pukul 4.04 petang dan dua buah jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Pinang dan Kota Raja dengan 12 anggota bergegas ke lokasi kejadian.

Menurutnya, api berjaya dikawal sepenuhnya dalam tempoh 30 minit namun punca kebakaran masih dalam siasatan.