Lokasi sekolah tidak sesuai – Sinar Harian


Lokasi sekolah tidak sesuai

WARTAWAN SINAR HARIAN
10 Januari 2013
Lokasi sekolah tidak sesuai
Jalan yang memisahkan bangunan SK Sungai Ranggam
Lokasi sekolah tidak sesuai
Keadaan bangunan sekolah yang mengalami masalah bumbung bocor.

SEBERANG PERAK – Lokasi Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Ranggam yang terletak di tengah ladang kelapa sawit mengundang kebimbangan ibu bapa terhadap keselamatan anak mereka.

Keadaan itu diburukkan lagi apabila ada bangunan sekolah dibina terpisah kerana tidak mempunyai kawasan mencukupi.

Pengerui Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Ranggam, Abd Fandi Mat Johari, sekolah itu hanya berkeluasan 0.4 hektar.

“Oleh sebab itu, bangunan sekolah terpaksa dibina terpisah dengan jalan, satu bangunan di sebelah kiri dan satu lagi di kanan jalan.

“Mahu atau tidak ia terpaksa dibina secara terpisah kerana masalah tidak ada kawasan,” katanya.

Kurang kemudahan

Disebabkan kawasan yang kecil, sekolah itu tidak mampu menampung kapasiti pelajar untuk menjalani aktiviti bersukan.

“Terdapat ruangan sempit di tepi bangunan sekolah yang dijadikan tempat menjalankan aktiviti sukan.

“Sekiranya ada acara sukan berskala besar, kami terpaksa menumpang di padang berdekatan ataupun padang sekolah menengah kira-kira satu kilometer dari sini,” katanya.

Keadaan itu menimbulkan kebimbangan terhadap keselamatan murid yang terpaksa melintas Jalan Teluk Intan-Lumut yang sibuk setiap hari.

“Ia boleh mengundang bahaya kepada murid-murid dan juga guru memandangkan jalan berkenaan masih belum ada jejantas,” katanya.

Pindahkan anak

Abd Fandi berkata, seramai 130 murid belajar di situ dan sekolah berkenaan antara sekolah yang memperoleh prestasi yang cemerlang walaupun berada di luar bandar.

“Namun begitu, persekitaran sekolah yang kurang memuaskan termasuk tidak ada tempat parkir menyebabkan ibu bapa yang menghantar anak mereka ke sekolah lain.

“Walaupun agak jauh namun mereka sanggup kerana sekolah lain yang lebih baik dan mempunyai banyak kemudahan,” katanya.

Mohon lokasi sesuai

PIBG sekolah terbabit ada memohon supaya sekolah itu dapat dipindahkan ke tapak baru yang lebih sesuai selain mempunyai kemudahan yang mencukupi.

“Kami mencadangkan supaya ia dipindahkan ke kawasan berhampiran sekolah menengah dan saya difahamkan tapak itu berkeluasan 3.2 hektar,” katanya.

Katanya, perkara itu juga sudah dikemukakan ke peringkat atasan sejak 2010 namun sehingga kini masih tidak mendapat respon yang baik.

Harapan ibu bapa

Seorang ibu, Nur Amiza Ahmad, 31, berkata, memang kedudukan sekolah berkenaan agak di pedalaman selain dikelilingi pokok kelapa sawit.

“Sekolah ini juga kurang mempunyai kemudahan memandangkan kawasan yang agak sempit menyebabkan pembangunan agak terhad,” katanya.

Rosilawati Jamaluddin, 37, pula berkata, sekolah itu sudah lama namun masih tidak banyak perubahan yang dilakukan.

“Sudah sampai masa sekolah ini mendapat perubahan baru memandangkan usianya yang sudah lama.

“Jika terdapat lebih banyak kemudahan pastinya anak-anak juga lebih bersemangat untuk belajar,” katanya.

Bagi Aris Wah, 44, pula, sekolah itu sudah terlalu lama tidak mendapat sebarang perubahan ketara yang boleh membantu meningkatkan lagi prestasi anak-anak.

“Memang wajar sekolah ini dibangunkan semula bagi memastikan ia setaraf dengan sekolah-sekolah di kawasan lain,” katanya.

Tindakan Adun

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin ketika dihubungi berkata, pihaknya telah mendapat maklumat secara lisan mengenai keadaan sekolah itu.

“Saya telah melawat sekolah berkenaan dan mendapati lokasinya kurang sesuai selain tidak mempunyai kemudahan seperti makmal komputer dan padang disebabkan kawasan yang sempit,” katanya.

Norashikin memberitahu cadangan tapak sekolah itu sudah ada dan ia lebih luas dan boleh dibina pelbagai kemudahan.

“Pihak pejabat daerah dan tanah juga tidak mempunyai sebarang masalah dan cadangan pelan sekolah juga sudah siap. Namun begitu, apa yang menjadi masalah ialah peruntukan yang masih belum ada,” katanya.

Katanya, peruntukan yang diperlukan untuk membina sekolah baru itu sebanyak RM4 juta dan permohonan untuk perkara itu juga  sudah dibuat.

Pelajar gadai nyawa – Sinar Harian


Pelajar gadai nyawa

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Januari 2013
Pelajar gadai nyawa
Jalan di hadapan SMK Sungai Ranggam membahayakan pelajar sekolah berkenaan yang sering melintas untuk ke pusat pendidikan itu.

SEBERANG PERAK – Ketiadaan jejantas di laluan hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Ranggam menyebabkan pelajarnya terpaksa menggadaikan nyawa mereka setiap kali menyeberangi jalan berkenaan.

Ketua Kampung Sungai Ranggam Abd Fandi Mat Johari, 65, berkata, jalan berkenaan yang menjadi penghubung antara Lumut-Teluk Intan adalah laluan utama pelbagai jenis kenderaan setiap hari.

Menurutnya, akibat jalan berkenaan sering sibuk, pembinaan jejantas di kawasan itu amat diperlukan demi keselamatan pelajar sekolah tersebut.

“Jalan ini menjadi laluan utama untuk semua kenderaan termasuk kenderaan berat seperti lori setiap hari.

“Walaupun bahaya, pelajar terpaksa melintas memandangkan tidak ada cara lain untuk pergi ke sekolah yang berada di seberang jalan,” katanya kepada Sinar Harian.

Kata beliau, keadaan bertambah bahaya apabila bas sekolah yang mahu mengambil pelajar berhenti di seberang jalan menyebabkan pelajar yang baru keluar dari sekolah akan berpusu-pusu melintas.

Jelasnya, bagi pemandu kenderaan yang prihatin mereka akan memperlahankan kenderaan tetapi kebanyakannya akan memandu laju terutama pengguna yang tidak biasa dengan kawasan itu.

“Saya sudah lama membuat permohonan pembinaan jejantas di kawasan itu namun, sehingga kini tiada maklum balas diterima.

“Kemalangan maut melibatkan pelajar sekolah sudah beberapa kali  berlaku namun, sehingga kini permohonan itu masih  tidak diluluskan,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kampung Gajah ,Datuk Dr Wan Norashikin Wan Nordin berkata, pembinaan jejantas di kawasan itu memang sudah lama dimohon malah sebelum beliau menjadi wakil rakyat lagi, namun sehingga kini masih belum direalisasikan.

Katanya, beliau juga telah membawa perkara berkenaan dalam mesyuarat tindakan daerah memandangkan ia adalah keperluan mendesak.

“Saya berharap kerajaan dapat menyegerakan pembinaan jejantas itu bagi memastikan keselamatan penduduk lebih terjamin.

“Jalan ini adalah laluan perhubungan penting bukan sahaja antara Lumut dan Teluk Intan malahan ke kawasan lain juga dan memang keselamatan pelajar menjadi isu kerana mereka terpaksa berdepan bahaya setiap kali melintas jalan,” katanya.

Kata beliau, jika pembinaan jejantas itu memakan masa, beliau mencadangkan supaya dibina lampu isyarat di simpang tiga berhampiran sekolah.

“Ini adalah pendekatan yang boleh digunakan sementara menunggu pembinaan jejantas yang mungkin memakan belanja yang banyak,” katanya.