Palanivel tinjau keadaan SRJK Tamil Sg Siput dan Tapah – Bernama


Palanivel tinjau keadaan SRJK Tamil Sg Siput dan Tapah

28 Julai 2012
KUALA LUMPUR – Presiden MIC Datuk Seri G.Palanivel akan mengadakan lawatan dua hari ke 12 Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) Tamil di Sungai Siput dan Tapah di Perak, mulai Isnin ini, untuk meninjau keadaan di sekolah berkenaan.

“Lawatan rutin ke dua kawasan Parlimen yang diwakili MIC itu juga bertujuan untuk menyelesaikan keperluan guru dan pelajar bagi menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Palanivel juga ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Pada Isnin, beliau akan melawat tujuh sekolah di Sungai Siput.

Sekolah berkenaan ialah SJKT Dovenby, SJKT Tun Sambanthan, SJKT Ladang Elphil, SJKT Sungai Reyla, SJKT Mahatma Gandhi Kalasai, SJKT Ladang Changkat Salak dan SJKT Enggor Karai.

Keesokkannya, beliau akan melawat lima buah sekolah Tamil di Tapah. – Bernama

Pelajar keracunan lepas makan ayam – Sinar Harian


Pelajar keracunan lepas makan ayam
WARTAWAN SINAR HARIAN
8 Julai 2012

Ambulan tiba di kawasan sekolah sebelum memberi rawatan kepada 31 pelajar yang keracunan makanan.
SUNGAI SIPUT – Seramai 31 pelajar sebuah sekolah di sini, terpaksa menerima rawatan selepas mengalami muntah-muntah, loya, sakit perut dan cirit-birit.

Difahamkan, kesemua pelajar berusia 15, 17 dan 19 tahun itu dikatakan mengalami keracunan makanan setelah makan hidangan ayam disediakan katerer yang ditempah dari luar.

Kesemua mereka dipercayai makan malam di kantin asrama sebelum mengikuti program motivasi pelajar tingkatan tiga, lima dan enam yang bakal menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), kelmarin.

Rentetan itu, 20 pelajar perempuan dan 11 lelaki mula berasa loya, muntah, serta cirit birit selepas 12 jam menjamah makanan sebelum memaklumkan kepada guru bertugas.

Seorang pelajar yang enggan dikenali berkata, dia berasa sakit perut bermula pada jam 10 pagi sebelum ke tandas semasa program motivasi tersebut berlangsung.

Menurutnya, dia terkejut apabila melihat ramai lagi rakannya beratur untuk memasuki tandas sambil menekan perut dan ada di antara mereka menangis akibat tidak dapat menahan kesakitan.

“Rakan kami juga turut muntah berhampiran longkang sebelum pihak kesihatan memberi rawatan.

“Tidak semua terlibat disebabkan ada di antara pelajar yang tidak makan,” katanya ketika ditemui di pekarangan sekolah di sini.

Tinjauan Sinar Harian mendapati kenderaan Kementerian Kesihatan dari Hospital Sungai Siput keluar dari sekolah berkenaan selepas selesai memberi rawatan kepada pelajar.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, ia dipercayai berpunca daripada hidangan ayam tercemar dan cara pembungkusan makanan yang tidak betul.

“Makanan disyaki adalah menu makan malam di mana ayam digoreng tidak dimasak secukupnya dan dibiarkan pada suhu bilik sehingga beberapa jam sebelum dimasak.

“Mungkin juga berlaku hidangan dibungkus tanpa disejukkan terlebih dahulu di mana ia dibungkus jam 4.30 petang sebelum dimakan jam 7 malam,” katanya.

Bagaimanapun, usaha mendapatkan ulasan daripada pihak Pegawai Pelajaran Daerah (PPD) gagal.

‘Bila malam kami takut nak pulang’ – Metro


‘Bila malam kami takut nak pulang’
Oleh Mohd Husni Mohd Noor
am@hmetro.com.my

SUNGAI SIPUT: Kehilangan misteri tiga kanak-kanak lelaki sejak Sabtu lalu terjawab apabila mangsa yang dijumpai selamat mengaku ‘mengembara’ menaiki basikal sejauh lebih 30 kilometer untuk mandi di air terjun serta berjalan-jalan di sebuah pusat beli-belah di Jelapang, Ipoh, di sini.

Tiga kanak-kanak itu, P Muganasundram, S Vijay dan Muhamad Nazir Hussen masing-masing berusia 12 tahun turut memberitahu tidur di kaki lima sebuah stesen minyak selepas bimbang ditahan polis.
Ketiga-tiga pelajar Sekolah Kebangsaan Muhibbah, di sini, mencetuskan panik ibu bapa dan pihak sekolah selepas dilaporkan hilang sejurus keluar dari rumah mereka di Taman Lintang, di sini, jam 7 pagi Sabtu lalu, sebelum ditemui semula kira-kira jam 7 malam kelmarin.

Mereka mendakwa mahu pergi ke sekolah bagi menghadiri kelas tambahan bagaimanapun tidak pulang ke rumah hingga lewat malam sebelum ahli keluarga membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Siput berikutan bimbang pelajar itu menjadi mangsa culik.
Muhamad Nazir yang ditemui di rumah keluarganya di sini, semalam, mengakui kesal dengan tindakan dia dan dua rakan lain menipu ahli keluarga kononnya mahu menghadiri kelas tambahan di sekolah.
Pelajar tahun enam itu berkata, mereka sebaliknya mengayuh basikal menuju ke kawasan air terjun Ulu Chepor di Chemor yang terletak kira-kira 20 kilometer dari rumah mereka.

“Kami kemudian menyambung semula perjalanan dengan mengayuh basikal ke pusat beli-belah Mydin di Jelapang. Kami teruja untuk pergi berjalan-jalan ke pusat beli-belah itu berikutan ia baru dibuka,” katanya.
“Kami menghabiskan masa di pusat beli-belah itu sebelum menyedari hari sudah malam. Ketika itu kami yakin keluarga pasti risau dengan kehilangan kami dan mereka pasti mencari.

“Bimbang untuk pulang pada malam itu kerana khuatir ditahan polis yang membuat sekatan di jalan raya. Kami tidur di kaki lima sebuah stesen minyak di Ipoh,” katanya.
Sementara itu, Muganasundram berkata, mereka kemudian mengambil keputusan mengayuh pulang pada tengah hari Ahad lalu sebelum ditahan seorang sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang menjejaki mereka.
“Kami kemudian diserahkan ke balai polis berhampiran sebelum perkara itu dimaklumkan kepada ibu bapa kami,” katanya kesal.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sungai Siput, Superintendan Azman Salim, mengesahkan ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah kembali kepada keluarga malam kelmarin selepas keterangan diambil.

Persidangan khas bincang masa depan SJK Tamil – PM – Bernama


Persidangan khas bincang masa depan SJK Tamil – PM

22/01/2012 2:44pm

 

KUALA LUMPUR 22 Jan. – Persidangan khas membincangkan masa depan sekolah jenis kebangsaan Tamil perlu diadakan bagi menghasilkan satu pelan induk mengenainya, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata, persidangan itu yang melibatkan warga pendidik sekolah Tamil, Persatuan Ibubapa dan Guru (PIBG) dan badan bukan kerajaan (NGO) antara lain perlu membincangkan pelbagai aspek mengenai sekolah tersebut.

Ini termasuk sama ada masih relevan mewujudkan kelas peralihan untuk pelajar sekolah tersebut, katanya.

“Masalah kekangan guru-guru sekolah Tamil yang mempunyai kelulusan ijazah, dan reka bentuk sekolah Tamil itu serta lain-lain keperluan, patut dibincangkan pada persidangan tersebut,” katanya pada Majlis Mesra Bersama Warga Sekolah Tamil Malaysia di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Tamil Kinrara, di sini hari ini.

Beliau berkata rumusan daripada persidangan itu boleh dipertimbangkan oleh Kementerian Pelajaran untuk membangunkan sekolah jenis tersebut.

”Kerajaan komited dan ikhlas untuk memajukan pendidikan sekolah-sekolah Tamil serta sekolah-sekolah lain,” katanya, yang turut mengumumkan kerajaan telah meluluskan pembinaan enam lagi SRJK Tamil di empat negeri iaitu Kedah, Perak, Selangor dan Johor.

Najib berkata, mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini meluluskan “lesen”

untuk membina tiga SRJK Tamil di Selangor iaitu di Taman Sentosa (Klang), Taman PJS1 (Petaling Jaya) dan Bandar Mahkota (Cheras).

Selain di Taman Keladi, Sungai Petani, Kedah, Heawood Estate, Sungai Siput, Perak dan di Bandar Sri Alam, Masai, Johor. Najib berkata ini adalah pengiktirafan kerajaan terhadap peranan penting yang digerakkan oleh sekolah-sekolah Tamil dalam masyarakat India di negara ini.

Beliau berkata, selain itu, kerajaan turut memberi perhatian terhadap kedudukan 15 buah SRJK Tamil yang mempunyai bilangan pelajarnya kurang daripada 10 orang, yang mana perlu dipindahkan ke kawasan yang mempunyai bilangan penduduk yang ramai yang memerlukan pendidikan daripada sekolah tersebut.

“Inilah langkah yang bakal diambil oleh kerajaan untuk masa depan sekolah Tamil. Yang penting, ada kerjasama yang erat antara kerajaan, persatuan guru-guru sekolah Tamil, PIBG dan komuniti kaum India, khususnya.

” Kita mesti anggap ini sebagai satu usaha bersepadu untuk merealisasikan objektif kita,” katanya.

Pada majlis itu, Najib turut mengumumkan peruntukan RM3.5 juta bagi SJK Tamil Kinrara untuk membina sebuah bangunan empat tingkat.

Turut hadir Presiden MIC, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk G. Palanivel, Timbalan Presiden MIC yang juga Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Duta Khas (Infrastruktur) Malaysia ke India dan Asia Selatan Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden PPP Datuk M. Kayveas dan Menteri Pertanian Datuk Seri Noh Omar.

Lebih 3,000 orang terdiri daripada guru besar SRJK Tamil, pengerusi PIBG, Lembaga Pengurus Sekolah dan wakil-wakil NGO hadir pada majlis yang julung kali dihadiri oleh Perdana Menteri itu.

Pada majlis itu, Najib turut dikalungkan bunga malai dan selendang kain sutera sebagai penghormatan masyarakat India terhadap beliau. — BERNAMA