Sejam berendam elak ditahan
RUBIAH OMAR
9 Julai 2012
Kedua-dua remaja ini akhirnya menyerah diri kepada polis setelah kepenatan dan kesejukan berendam di dalam sungai Terengganu selama hampir sejam, petang kelmarin.
KUALA TERENGGANU – Dua remaja termasuk seorang pelajar tingkatan lima akhirnya mengalah dan menyerah diri kepada pihak polis setelah kesejukan serta keletihan selepas berendam hampir sejam di sungai Terengganu, dalam satu kejadian di Jalan Hiliran, Pulau Kambing, di sini, petang kelmarin.
Kejadian kira-kira jam 6 petang itu, penunggang dan pembonceng masing-masing berusia 17 dan 20 tahun itu nekad terjun ke dalam sungai berkenaan sejurus terserempak sepasukan anggota polis sedang menjalankan sekatan jalan raya dalam Ops Samseng Jalanan di lokasi terbabit.
Menurut sumber, dua sahabat itu yang berasal dari Kampung Tanjung Putat, Kuala Berang, menunggang motosikal jenis Honda Ex5 dari arah Pulau Kambing menghala ke pusat bandar dipercayai untuk bersiar-siar sempena cuti hujung minggu.
“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi dan ternampaksekatan jalan raya, mereka nekad melarikan diri ke arah Jeti Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia sebelum meninggalkan motosikal di kawasan berhampiran lalu terjun ke dalam sungai.
“Mereka berendam di dalam sungai berkenaan hampir sejam dan mungkin kepenatan serta kesejukan, akhirnya mereka naik ke tebing selain dipujuk oleh anggota polis dan anggota Rakan Cegah Jenayah Terengganu yang turut sama membantu,” katanya.
Katanya, berikutan tindakan berani mereka itu menyebabkan pembonceng yang berusia 20 tahun dan bekerja sebagai buruh serta rakannya cedera di bahagian kaki dan tangan.
Mereka kemudiannya dibawa balik ke Balai Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Terengganu untuk tindakan selanjutnya.Siasatan awal mendapati penunggang motosikal itu tidak memiliki lesen memandu sah dan motosikal yang ditunggangi mereka tidak mempunyai cukai jalan selain turut menggunakan nombor pendaftaran palsu bagi mengaburi mata pihak berkuasa.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintendan Abdul Halim Ishak berkata, operasi yang diketuai seorang pegawai dan 14 anggota trafik IPD Kuala Terengganu itu berjaya mengeluarkan sejumlah 43 saman melibatkan 45 kesalahan termasuk menyita sebuah motosikal milik dua lelaki yang cuba meloloskan diri dalam sekatan.
Katanya, dua lelaki yang ditahan itu akan disiasat mengikut Seksyen 108 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana membuat penyataan palsu.
“Antara kesalahan dilakukan pesalah trafik sepanjang sekatan jalan raya tersebut adalah tidak memiliki lesen memandu sah, cukai jalan tamat tempoh dan mengubahsuai kenderaan,” katanya.