Jerebu: 211 sekolah di Muar, Ledang ditutup – Utusan


Jerebu: 211 sekolah di Muar, Ledang ditutup

 

BEGINILAH keadaan ruang udara di bandar Muar ekoran jerebu yang teruk dengan bacaan Indeks Pencemaran Udara 350 iaitu melebihi paras bahaya, seperti dirakam di sekitar bandar Muar hari ini. – UTUSAN

MUAR 20 Jun – Sebanyak 211 buah sekolah rendah dan menengah di daerah ini dan Ledang ditutup mulai tengah hari ini berikutan keadaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) telah mencatat bacaan 350, melebihi paras bahaya.

Pegawai Pendidikan daerah, Ahmad Othman berkata, surat pekeliling mengenai penutupan itu telah dikeluarkan kepada semua sekolah kedua-dua daerah berkenaan.

Menurutnya, sekolah berkenaan akan ditutup beberapa hari bergantung kepada perkembangan IPU semasa. – UTUSAN ONLINE

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130620/dn_23/Jerebu-211-sekolah-di-Muar-Ledang-ditutup#ixzz2Wk4BdZ6c
© Utusan Melayu (M) Bhd

Siasat sekolah potong bantuan khas – Berita Harian


Siasat sekolah potong bantuan khas

2013/01/23 – 05:14:08 AMCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) diarah menjalankan segera siasatan jika menerima aduan berhubung mana-mana sekolah yang dikesan membuat potongan wang Bantuan Khas Awal Persekolahan RM100.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata tindakan memotong bantuan itu jelas melanggar pekeliling asal dikeluarkan kepada semua sekolah supaya tidak membuat sebarang pemotongan bantuan yang diagihkan dalam apa cara sekalipun.

“Surat pekeliling adalah jelas, tidak boleh buat pemotongan. Sekolah kena bertanggungjawab walaupun yang buat itu PIBG (Persatuan Ibu Bapa dan Guru), kerana Guru Besar adalah penasihat PIBG,” katanya kepada BH, semalam.

Terima aduan

Sebelum ini, kementerian pernah menerima aduan daripada ibu bapa di sebuah Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) di Selangor mengadu mereka dipaksa menjelaskan yuran komputer RM100 ketika datang ke sekolah untuk mengambil bantuan berkenaan.

Semalam, BH turut menerima aduan sama daripada seorang ibu menyatakan bantuan RM100 diterima anaknya yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Leftenan Adnan, Sungai Ramal, Kajang, dipotong RM60 atas alasan gagal melunaskan yuran PIBG.

Dalam majlis berasingan, Puad berkata tiada cadangan menjadikan integriti dan pencegahan rasuah sebagai subjek teras, sebaliknya ia kekal sebagai modul dalam tiga mata pelajaran iaitu Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.
Katanya, untuk menjadikan sesuatu mata pelajaran sebagai subjek teras memerlukan perbelanjaan dan tambahan masa.

Usah usik duit RM100 – Metro


Usah usik duit RM100

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

NILAI: Kementerian Pelajaran memberi amaran supaya pihak sekolah tidak membuat pemotongan Bantuan Khas Awal Persekolahan sebanyak RM100 yang bakal diagihkan kepada murid tahun satu hingga tingkatan lima bermula 15 Januari ini.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, surat pekeliling mengenai amaran pemotongan wang itu sudah dihantar ke semua sekolah di seluruh negara.
“Pihak sekolah tidak dibenarkan melakukan pemotongan wang untuk apa tujuan sekalipun termasuk tunggakan yuran sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

 

“Wang ini bertujuan meringankan beban ibu bapa murid dan kami tidak mahu mendengar aduan ibu bapa mengenai hal ini (pemotongan) bagi membolehkan bantuan sampai kepada penerima,” katanya pada sidang media selepas melawat Kolej Tunku Kurshiah (TKC) yang berpindah ke bangunan baru di Bandar Enstek, di sini, semalam.
Katanya, 5.4 juta pelajar daripada lebih 10,000 sekolah rendah dan menengah seluruh negara menerima bantuan diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika pembentangan Bajet 2013.
“Tetapi, kami juga tidak mahu mendengar aduan sekolah membuka kaunter khas untuk bayaran tunggakan ketika pengagihan wang bantuan berkenaan.

 

 

“Bagaimanapun, terpulang kepada ibu bapa sama ada mahu membayar yuran PIBG atau tunggakan, tetapi bukan pemotongan dilakukan oleh sekolah,” tegasnya. Dalam perkembangan lain, Mohd Puad berkata, TKC menjadi satu-satunya sekolah berasrama penuh perempuan menawarkan program ‘International Baccalaureate’ (IB) kepada pelajar yang mendapat keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
“Melalui program dua tahun itu, pelajar diberi biasiswa dengan kelas diasingkan daripada kelas pelajar lain dan tenaga pengajar pula terdiri daripada guru TKC dan guru khas,” katanya.

 

Beliau berkata, TKC memulakan pengambilan 100 pelajar IB bermula tahun depan dan ketika ini, hanya Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK) menawarkan program berkenaan.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/01/03

CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500 – Utusan


CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500

PUTRAJAYA 22 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500).

Omar berkata, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.

”Sebagai contoh bagi mereka yang sudah lima tahun tidak naik gaji, jika gaji mereka dinaikkan RM100, kerajaan perlu bayar tunggakan RM500 selain kenaikan gred,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, CUEPACS turut menuntut agar kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam yang sudah lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras 4.

”Ramai yang lulus PTK aras 4 sebelum SBPA diperkenalkan tetapi apabila SSM ditukarkan ke SBPA ramai yang lulus itu tidak mendapat kenaikan gaji, apabila kami berbincang dalam pasukan khas ini dari segi perundangan kerajaan perlu bayar.

”Mereka mana tahu SBPA akan diperkenalkan, tidak adil untuk mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk lulus, tapi bila dah lulus tak nak bayar pula,” katanya.

Sehubungan itu, CUEPACS meminta mereka yang lulus sehingga 31 Disember 2011 dibayar tunggakan gaji sebelum kajian semakan SBPA diumumkan dan mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.

Omar berkata, beliau yakin kerajaan akan bersetuju dengan lima tuntutan yang telah dikemukakan iaitu mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam.

”Kalau kerajaan merasakan ia melibatkan tuntutan yang tinggi, CUEPACS cadangkan mereka yang telah menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Premier, gaji mereka dipotong untuk diberikan kepada mereka di gred 54 ke bawah.

”Kalau betullah kerajaan mahu rapatkan jurang maka tuntutan itu dirasakan wajar, apa yang kami lakukan ialah menuntut kesaksamaan dan terpulanglah kepada pasukan petugas khas ini untuk menilainya,” katanya.

Kekal tarikh tunggakan gaji SBPA – Utusan


Kekal tarikh tunggakan gaji SBPA

PUTRAJAYA 20 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) tetap mahukan tarikh tunggakan gaji mengikut Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) kekal pada 1 Januari lalu, seperti yang dipersetujui sebelum ini.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya berpendirian tarikh penguatkuasaan gaji SBPA perlu dikekalkan walaupun pelaksanaan skim tersebut ditangguhkan untuk semakan semula.

“Kalau berlaku perubahan tarikh nanti, ini bermakna opsyen sebelum 30 Disember termasuk selepas 15 Januari seperti yang ditetapkan sebelum ini, tidak akan diterima.

“Dan pihak yang bertanggungjawab perlu membuat semakan semula mengenai langkah penyelesai kes SBPA itu,” katanya ketika ditemui pemberita di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas tunggakan gaji kakitangan awam mengikut skim SBPA yang kini dalam proses penambahbaikan.

Omar menambah, CUEPACS juga mahukan surat pekeliling mengenai pelaksanaan skim tersebut ditangguhkan untuk mengelakkan sebarang kekeliruan.

“Tindakan ini adalah untuk mengelakkan penjawat awam menghadapi kesukaran berhubung isu pelaksanaan SBPA,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan membentangkan hasil bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA kongres tersebut kepada Jawatankuasa Penambahbaikan SBPA yang ditubuhkan kerajaan pada Rabu ini.

“Pada 17 dan 18 Februari lalu, pihak kami telah mengadakan bengkel Jawatankuasa Bertindak SBPA CUEPACS berhubung pengekalan cadangan lima perkara yang diutarakan kongres supaya diteliti kerajaan,” katanya.