Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulit – Sinar Harian


Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulit
ZAIRUL AFIZA HAMZAH
2 September 2013
  • Pelajar asrama dijangkiti penyakit kulitAini menunjukkan tangannya yang dipenuhi dengan ruam merah dan gatal kerana dijangkiti penyakit kulit daripada anaknya yang tinggal di sekolah berkenaan.
< 1 / 1 >

JERANTUT – Tak tahu apa punca apabila pelajar asrama sebuah sekolah kebangsaan di daerah ini dijangkiti penyakit kulit sehingga menyebabkan ada di kalangan mereka terpaksa di bawa pulang keluarga masing-masing.

Lebih malang lagi, ahli keluarga yang lain turut dijangkiti selepas pelajar tersebut dibawa pulang dan ada yang dinasihatkan doktor supaya berjumpa dengan pakar kulit.

Suri rumah yang mahu dikenali sebagai Siti, 36, berkata, dia terpaksa membawa pulang anak lelakinya yang tinggal di asrama tersebut selepas mengadu menghidapi penyakit kulit dan gatal-gatal seluruh badan.

“Penyakit kulit itu boleh berjangkit kepada sesiapa sahaja. Selepas anak saya pulang, kami sekeluarga di rumah turut dijangkiti penyakit yang sama.

“Bukan kami sahaja, malah kebanyakan keluarga yang mana anak mereka tinggal di asrama dan dibawa pulang turut menghidapi penyakit kulit yang sama,” katanya kepada Sinar Harian.

Siti berkata, penyakit kulit itu menyebabkan badan menjadi gatal di seluruh badan dan tidak tangan tidak akan berhenti menggaru di seluruh badan.

Menurutnya, kerana tidak tahan dia bersama keluarganya pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan.

“Walaupun sudah pergi ke klinik dan mendapatkan ubat gatal, disuntik dan diberikan antibiotik namun penyakit kulit itu tidak hilang. Kini badan kami bukan sahaja dipenuhi dengan kudis malah berparut kerana kesan digaru.

“Anak saya itu tidak dapat ke sekolah selama sebulan kerana tidak tahan gatal di seluruh badan. Kami juga membuat rawatan tradisional namun ia juga tidak berkesan,” katanya.

Sehubungan itu, dia menggesa menggesa Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) serta Jabatan Kesihatan Daerah membuat tinjauan dan mencari punca jangkitan kulit yang dihadapi pelajar asrama berkenaan.

” Mereka perlu siasat sama ada penyakit kulit yang dihadapi pelajar asrama itu berpunca daripada tilam di asrama ataupun air.

Seorang lagi suri rumah, Aini, 38, berkata, mereka sekeluarga turut dijangkiti penyakit kulit yang sama kerana salah seorang anaknya juga tinggal di asrama sekolah itu.

Menurutnya, selepas dijangkiti penyakit kulit itu dia pergi ke Pasir Gudang, Johor kerana ada hal yang perlu diselesaikan.

“Kami naik malu kerana tangan tidak henti-henti menggaru dan pergerakan kami di luar rumah terbatas. Oleh kerana tidak tahan menggaru saya pergi ke salah sebuah klinik kesihatan di Pasir Gudang.

“Pihak klinik kesihatan di Pasir Gudang itu mengatakan kami dijangkiti penyakit kudis buta dan pihak tersebut mengeluarkan surat supaya kami mendapatkan rawatan pakar di Kuantan.

“Dalam hal ini, kami minta pihak PPD dan Jabatan Kesihatan Daerah membuat penyiasatan terperinci mengenai perkara ini kerana kebanyakan pelajar asrama tidak dapat belajar dengan baik kerana gatal di seluruh badan,” katanya.

Tiada lagi air mata sedih ibu, anak cacat penglihatan dapat 5A – Bernama


Tiada lagi air mata sedih ibu, anak cacat penglihatan dapat 5A

19 November 2012

JOHOR BAHARU – Lapan tahun lalu, Khairulbariyah Abdul Aziz, 47, sering mengalirkan air mata sedih bila mengenangkan nasib anaknya Muhammad Khairulimran Adam yang cacat penglihatan.

Hari ini, air mata itu mengalir lagi, bukan sedih tetapi air mata kegembiraan apabila anaknya itu mendapat keputusan cemerlang 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR).

“Kami sedar Imran mengalami masalah penglihatan ketika berusia lima tahun apabila dia kerap langgar barang di rumah. Ini kemudian disahkan oleh doktor,” kata suri rumah itu.

Katanya, tiada apa yang lebih menggembirakan selain melihat anak yang serba kekurangan mencapai kecemerlangan dalam bidang akademik.

“Saya gembira apa yang saya terapkan kepadanya dilakukan dengan baik, kerana kerap berpesan kecacatan yang ada bukan alasan untuk tidak berjaya, dan hari ini saya berbangga dengannya dan saya harap beliau terus cemerlang kerana perjalanannya masih jauh,” kata Khairulbariyah.

Muhammad Khairulimran dari Sekolah Kebangsaan Kempas, turut dinobatkan pelajar cemerlang kategori calon berkeperluan khas.

Beliau yang bercita-cita menjadi chef mengakui penglihatan yang kabur di sebelah kanan dan buta di sebelah kiri tidak menjadi penghalang untuk dia mencintai ilmu.

“Memang sukar hendak membaca. Saya menggunakan kanta dan bukan braile, saya perlu baca berulang kali dan hanya boleh melihat sebelah mata,” katanya.

Ong Mee Nyock, 49, pula amat berpuas hati apabila penat lelahnya selama ini berbalas dengan kejayaan anak bongsunya Wong Yao Zhong, 12, yang mendapat keputusan 5B, 2C.

“Sejak dari hari pertama dia bersekolah saya akan menghantar dan datang ketika rehat untuk urus Yao Zhong kerana dia tidak mampu urus dirinya sendiri khususnya untuk ke tandas.

Yao Zhong dari Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuo Kuang Dua mengalami sakit tulang belakang sejak lahir dan memerlukan sokongan.

“Dia seorang yang berdikari dan saya harap dia mampu urus dirinya dan menjadi orang yang berjaya,” kata ibunya.

Sementara itu, Haffizal Hamdan, 12, dari Sekolah Pengkalan Tereh, Kluang menjadi pelajar Orang Asli cemerlang dengan keputusan 4A, 1B.

Beliau yang bercita-cita menjadi guru matematik berkata akan belajar bersungguh-sungguh bagi membuktikan anak Orang Asli juga mampu berjaya. – Bernama

3 anak terpaksa berhenti sekolah – Sinar Harian


3 anak terpaksa berhenti sekolah

KHAIRIL ANWAR MOHD AMIN
22 Oktober 2012
3 anak terpaksa berhenti sekolah
Sungai di tepi rumah yang menjadi tempat mandi dan membasuh.

KERIAN – Kekangan wang menyebabkan sembilan beranak di Kampung Dew, di sini, terpaksa berteduh di sebuah rumah uzur hasil pemberian pengurusan kilang membakar kayu arang untuk sementara.

Tambah menyedihkan, tiga daripada tujuh anak keluarga itu tidak bersekolah demi memberi laluan kepada adik-beradik lain untuk meneruskan persekolahan.

Mereka juga menggunakan air sungai di belakang rumah sebagai tempat mandi dan membasuh pakaian.

Suri rumah, Rohana Ajid, 40, berkata, bekalan air bersih terpaksa diambil daripada paip utama pejabat kilang setelah mendapat keizinan dan ada kalanya mereka memasak air sungai untuk diminum jika bekalan air tiada.

Menurutnya, rumah yang didiami lebih dari 20 tahun itu adalah ihsan pengurusan kilang yang membenarkan mereka menumpang.

“Bekalan elektrik yang diperoleh juga hasil ihsan mereka yang membuat penyambungan ke rumah kami dan saya bersyukur pengurusan kilang prihatin terhadap kesusahan kami,” katanya Kepada Sinar Harian.

Menurut Rohani, suaminya, Goriaman Barikan, 40, merupakan warga asing yang mendapat kerakyatan tetap dan kini hanya bekerja sebagai pengutip kayu bakau dengan pendapatan RM400 sebulan.

Jelasnya, pendapatan suami yang tidak menentu menyebabkan tiga anaknya terpaksa berhenti sekolah demi menyara keluarga.

“Anak sulung saya, Mohd Anaz Syazman 17, dan dua adiknya Norshahira, 15, dan Norsyazila, 14, tidak lagi bersekolah selepas  darjah enam disebabkan kekangan wang.

“Mereka terpaksa bekerja di kilang membakar kayu arang dan saya terharu tiga beradik ini sanggup mengorbankan zaman persekolahan untuk membiayai tiga lagi adik mereka, ” katanya.

Rohana berkata, keluarganya ada menerima bantuan Baitulmal sebanyak RM300 sebulan yang sedikit sebanyak meringankan beban mereka terutama kos persekolahan tiga anaknya.

“Selain itu, seorang anak yang masih bersekolah turut mendapat bantuan Rancangan Makanan Tambahan (RMT).

“Bagaimanapun, saya merayu kepada mana-mana pihak untuk membaik pulih rumah kami agar lebih selesa dan memberi peluang kepada dua anak saya kembali bersekolah,” katanya.

Kesusahan keluarga berkenaan mendapat perhatian Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Gunong Semanggol, Zainal Abidin Hanafiah yang bertandang ke rumah mereka.

Zainal Abidin menyerahkan sumbangan kepada Rohana dan memberi jaminan akan membawa masalah itu ke Mesyuarat Kumpulan Fokus peringkat daerah.

Katanya, beliau sudah mendapat kebenaran pengurusan kilang untuk membolehkan kerja membaik pulih rumah keluarga Rohana dilaksanakan dalam masa terdekat.

“Mengenai bekalan air, kami akan cuba memohon dari Lembaga Air Perak (LAP) Kerian.

“Sebelum itu kami akan berbincang dan meminta kerjasama pengurus kilang itu kerana tanah dan rumah ini hak milik kilang sepenuhnya,” katanya.

Zakiah rela berjauhan demi masa depan anak-anaknya terjamin – Sinar Harian


Zakiah rela berjauhan demi masa depan anak-anaknya terjamin

WARTAWAN SINAR HARIAN
6 September 2012
Zakiah rela berjauhan demi masa depan anak-anaknya terjamin
Zakiah yang hanya mampu terlantar ditemani ibu bersama dua anaknya.

BALING – Seorang suri rumah yang terlantar sakit akibat kanser payu dara sejak sebulan lalu risau mengenai masa hadapan dua anaknya.

Zakiah Elias, 31, dari Kampung Charuk Bemban, Mukim Kupang tidak mampu menguruskan kedua-dua anaknya itu yang berusia tujuh dan empat tahun terutama melibatkan pembelajaran.

Keadaan itu mengakibatkan anak sulungnya, Mohd Zafan Abdul Suhol, 7, tidak dapat ke sekolah berikutan berhadapan dengan masalah pengangkutan.

Mohd Zafan yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Seberang Ketil terpaksa menghabiskan masanya di rumah berikutan ketidakmampuan ibu dan ayahnya.

Suaminya, Sohol Omar, 33, yang bekerja sebagai konduktor bas harian juga hanya bergantung kepada syarikat bas berkenaan yang datang menjemputnya.

Zakiah berkata, dia tidak tahu apa yang perlu dilakukan demi memastikan anaknya dapat kembali meneruskan persekolahan mereka.

“Saya buntu memikirkan keadaan anak-anak yang masih lagi kecil. Saya risau sekiranya mereka langsung tidak mahu ke sekolah kelak,” katanya.

Ditanya mengenai adik beradiknya yang lain, Zakiah berkata, dia tidak mahu menyusahkan ahli keluarganya yang kebanyakannya juga kurang berkemampuan.

“Mereka pun mempunyai anak sendiri, jadi saya tidak mahu mereka menanggung masalah saya,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya, dia rela anak-anaknya itu dijaga oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kebaikan mereka pada masa hadapan.

“Ibu mana yang mahu berjauhan dengan anak-anaknya tambahan pula dalam usia yang begitu muda. Tapi, untuk masa hadapan mereka, mungkin ini jalan yang terbaik.

“Saya tidak mahu mereka tercicir dalam pelajaran semata-mata kerana ketidakmampuan kami sekeluarga,” katanya.

Zakiah yang mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) termasuk dari Majlis Kanser Nasional (Makna) berterima kasih kepada semua pihak yang sudi membantu keluarganya selama ini.

Sebelum ini, Sinar Harian pernah melaporkan kisah mengenai Zakiah yang berputih mata setelah wang simpanannya sebanyak RM10,000 hilang setelah ditipu oleh sindiket perbankan palsu tahun lalu.

Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh menghubungi suaminya menerusi 0124138077.

Ibu maut, 3 anak parah dalam kemalangan – Bernama


Ibu maut, 3 anak parah dalam kemalangan

2012/02/16

BESUT: Seorang wanita terbunuh manakala tiga anaknya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi wanita berkenaan terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas menjemput dua daripada anaknya dari sekolah.

Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, motosikal yang dinaiki empat beranak itu bertembung dengan sebuah kereta di Kilometer 3 Jalan Jerteh–Pasir Putih dekat Kampung Padang Landak, di sini.

Kemalangan itu menyebabkan Norhaima Mamat, 44, yang tinggal di Kampung Padang Landak, dekat sini, mati di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan badan, kata Timbalan Ketua Polis Daerah Besut, Deputi Superitendan Noor Zainy Mohd Noor kepada pemberita, di sini.

Beliau berkata, pemandu kereta yang dikenali sebagai Yeoh Thean Yunn, 31, seorang jurujual yang berasal dari Pulau Pinang itu tidak mengalami kecederaan.

Sebelum kejadian itu, Norhaima seorang suri rumah pergi ke Sekolah Kebangsaan Padang Landak bersama seorang anaknya yang berumur 4 tahun untuk menjemput dua lagi anaknya pulang daripada belajar kelas agama di sekolah itu.

“Dalam perjalanan pulang mangsa melintasi satu lorong kecil di satu pembahagi jalan untuk ke sebelah kanan jalan dua hala itu,” katanya.

Katanya, kereta yang dipandu Yeoh dari arah Pasir Putih, Kelantan dipercayai gagal mengelak lalu melanggar motosikal mangsa.
Akibat kejadian itu ketiga-tiga anak Norhaimi cedera parah, dua daripadanya patah kaki dan ketiga-tiganya dikejarkan untuk rawatan lanjut ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan.

Tiga anak mangsa dikenali sebagai Nik Mohamad Hafizudin Nik Ismail,10; Nik Muhammad Saifullah, 7, dan Nik Mohamad Haries Haikal,4 tahun. – BERNAMA

Catu makanan 11 anak – Sinar Harian


Catu makanan 11 anak

WARTAWAN SINAR HARIAN
13 Februari 2012
catu mknn anak

CHE LIJAH – “Dengan pendapatan sebagai tukang rumah yang tidak seberapa, saya kadangkala tersepit untuk menguruskan perbelanjaan sekolah anak, malah kadangkala kami terpaksa catu makanan agar ia mencukupi,” kata Nyak Sulaiman Nyak Banta, 57, yang sering dihimpit kemiskinan kerana jumlah tanggungan yang ramai.

Sulaiman yang mendiami sebuah pondok kecil berdekatan satu kawasan taku-ngan air dekat sini berkata, sebagai bapa yang tidak mempunyai pendapatan tetap, membesarkan 11 anak termasuk difahamkan tujuh daripadanya masih bersekolah bukan satu perkara mudah.

Sulaiman berkata, pendapatannya yang tidak menentu dan tidak mencukupi menyebabkan dia sering terputus bekalan makanan, malah pernah suatu ketika mereka sekeluarga terpaksa makan hanya sekali dalam sehari.

“Kalau dah tak ada duit nak beli beras dan makanan lain, kenalah catu, makan sekali sehari sahaja.

“Kesusahan kami siapa yang ambil tahu, nak harapkan bantuan, kami memang tak pernah merasai semua itu, ada pemimpin pun mereka tidak pernah jenguk kami, di sini” katanya.

Sementara itu, isterinya, Mek Ani Muhammad, 43, berkata, sebagai suri rumah, tidak banyak yang dapat dilakukan untuk membantu suaminya khususnya bagi mengurangkan beban yang terpaksa ditanggung.

Katanya, bilangan anaknya yang ramai dengan jarak umur yang dekat menyukarkannya untuk mencari pekerjaan bagi menambah pendapatan membantu suaminya.

“Nasib baik kami dapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat RM400 sebulan, ringanlah sikit beban kami sekeluarga.

“Kalau tak ada bantuan tersebut, tak tahulah nak cakap apa, masa suami saya tidak kerja, mungkin kami terpaksa berlapar,” katanya.

Menyentuh mengenai bantuan persekolahan anak pula Mek Ani berkata, setiap kali musim persekolahan bermula, dia buntu memikirkan persediaan persekolahan anaknya.

Katanya, kadangkala anaknya terpaksa memakai pakaian yang sudah lusuh kerana tidak mampu untuk membeli pakaian sekolah baru.

“Usah kata nak beli baju sekolah baru, kadang-kadang anak saya ke sekolah pun tak bawa wang saku.

“Nasib baik ada bantuan makanan Rancangan Makanan Tambahan (RMT) yang disediakan di sekolah, kalau tak anak kami mesti kelaparan,” katanya.

Bunuh 4 sekeluarga: Remaja, ibu ditahan bantu siasatan – Bernama


Bunuh 4 sekeluarga: Remaja, ibu ditahan bantu siasatan

06/01/2012 7:06pm

 

SIBU 6 Jan — Polis percaya telah dapat menyelesaikan kes bunuh empat sekeluarga termasuk dua kanak-kanak di Jalan RTM di sini dengan penahanan seorang remaja lelaki berumur 17 tahun dan ibunya yang berumur 44 tahun malam tadi.

Timbalan Pesuruhjaya Polis negeri, Datuk Law Heng Soon berkata, remaja lelaki itu bekerja sebagai kelindan lori dan ibunya suri rumah dan mereka tinggal agak dekat dengan rumah mangsa.

“Saya gembira mengumumkan kami telah berjaya menyelesaikan kes ini dalam tempoh empat hari selepas kejadian berlaku pada Isnin.

“Suspek dan ibunya kini berada dalam tahanan kami untuk kami mendapatkan lebih banyak maklumat untuk menyiapkan kertas siasatan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata polis menahan ibu remaja itu kerana dipercayai dapat membantu dalam siasatan kes itu.

Heng Soon berkata, sebaik sahaja kertas siasatan siap, ia akan diserahkan kepada Pejabat Pendakwa Raya untuk tindakan.

Law menjelaskan, dengan penahanan dua beranak itu, isteri Ling yang merupakan warganegara China , Li Xiao Lan, 28, yang sebelum ini ditahan reman untuk siasatan selepas mengaku melarikan diri menerusi tingkap untuk pergi ke rumah jiran ketika kejadian, telah dibebaskan hari ini.

Mengenai sama ada remaja lelaki itu menghidapi masalah mental, beliau berkata, perkara itu sedang disiasat dan menurutnya remaja itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah mahupun penyalahgunaan dadah. — BERNAMA