PELAWAAN PERMOHONAN JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) BAGI GURU SANDARAN TERLATIH YANG MASIH BERKHIDMAT DI SEKOLAH – SPP


PELAWAAN PERMOHONAN JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN (PPP) BAGI GURU SANDARAN TERLATIH YANG MASIH BERKHIDMAT DI SEKOLAH

Semakan Suruhanjaya mendapati masih terdapat Guru Sandaran Terlatih (GST) yang telah ditempatkan di sekolah oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang belum mengemukakan permohonan ke jawatan PPP bagi urusan pelantikan tetap. Sehubungan dengan itu, Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) ingin mempelawa semua GST yang masih belum dilantik tetap sebagai PPP untuk membuat permohonan jawatan di portal JobsMalaysia (www.jobsmalaysia.gov.my) bagi memudahkan urusan pelantikan. Sebarang pertanyaan boleh dikemukakan kepada pegawai-pegawai seperti yang berikut:

      Bagi GST yang berkhidmat di Semenanjung:

        (i)  Puan Norul Azura binti Md Amran

             Nombor telefon : 03-8871 7372

             Emel : norul.azura@spp.gov.my

        (ii) Puan Sukreeah binti Karim

             Nombor telefon : 03-8871 7370

             Emel : sukreeah@spp.gov.my

      Bagi GST yang berkhidmat di Sabah:

        (iii) Cik Jaclyn binti Gonduman

              Nombor telefon : 088-488546

              Emel : jaclyn@spp.gov.my

      Bagi GST yang berkhidmat di Sarawak:

        (iv) Encik Teng Jin Kuen

              Nombor telefon : 082-453208

              Emel : teng@spp.gov.my

 Muat naik pada 23 September 2013

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI – MAAF ZAHIR BATIN


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI – MAAF ZAHIR BATIN

Himpunan Berita (HB) ingin mengucapkan SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI, maaf zahir dan batin kepada warga kerja Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM), warga kerja Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), warga kerja Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP), warga kerja NUTP, warga pendidik di seluruh Malaysia, murid-murid di seluruh Malaysia, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) seluruh negara dan pengunjung yang sering melawat dan mendapatkan maklumat di dalam HB ini.

HB doakan semoga perjalanan anda semua selamat sampai ke destinasi yang dituju. Amin.


“Biar lambat asal selamat” dan “Sayangilah insan tersayang”.

Salam Aidilfitri dari HB.

TEMU DUGA JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG41 BAGI PENEMPATAN DI PUSAT ANAK PERMATA NEGARA JABATAN PERDANA MENTERI – SPP


TEMU DUGA JAWATAN PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG41 BAGI PENEMPATAN DI PUSAT ANAK PERMATA NEGARA JABATAN PERDANA MENTERI

Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran akan menjalankan temu duga pelantikan ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 bagi calon yang memenuhi kelayakan yang ditetapkan dan telah memohon di JobsMalaysia pada 16 hingga 30 April 2013. Temu duga akan dijalankan mulai 9 Julai 2013 hingga 18 Julai 2013. Semakan mengenai temu duga tersebut boleh dibuat di sini mulai 1 Julai 2013. Calon juga diingatkan untuk membawa dokumen-dokumen berkaitan seperti dalam senarai semak. Calon juga akan menerima surat panggilan temu duga daripada Suruhanjaya ini.

Muat naik pada 02 Julai  2013

 

STATUS URUSAN PELANTIKAN GRADUAN IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN TAHUN 2012 SEBAGAI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG41 DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA – SPP


STATUS URUSAN PELANTIKAN GRADUAN IJAZAH SARJANA MUDA PENDIDIKAN TAHUN 2012 SEBAGAI PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN SISWAZAH GRED DG41 DI KEMENTERIAN PELAJARAN MALAYSIA

Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) sedang mempertimbangkan sejumlah 7,824 graduan pendidikan lulusan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun 2012 dan lulusan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) tahun 2012 yang bergraduat selepas Jun 2012 untuk pelantikan sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41. Lagi…

Muat naik pada 20 Februari 2013

Seramai 2,791 graduan pendidikan dilantik terus ke DG41 – Bernama


Seramai 2,791 graduan pendidikan dilantik terus ke DG41

2013/02/19 – 17:29:09 PMCetakEmel Kawan
KUALA LUMPUR: Seramai 2,791 daripada 7,824 graduan pendidikan Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) tahun lepas akan dilantik terus ke Gred DG41.

Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP) dalam satu kenyataan di sini, hari ini memaklumkan mereka tidak perlu menghadiri temu duga kerana mencapai keputusan cemerlang dengan memperoleh Gred Purata Kumulatif (CGPA) 3.5 dan ke atas, serta mendapat sekurang-kurangnya keputusan A- dalam latihan praktikal.

“Bagaimanapun, graduan tersebut perlu menjalani sesi penilaian khas yang akan dilaksanakan oleh SPP, dan diperakui oleh IPTA dan IPGM,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPP, sementara itu, baki 5,033 graduan pendidikan pula perlu menduduki temu duga yang akan diadakan di seluruh negara mulai hari ini sehingga 27 Mac depan.

Layari http://www.spp.gov.my untuk maklumat lanjut. – BERNAMA

Graduan guru, IPTA dilantik jawatan PPPS – Berita Harian


Graduan guru, IPTA dilantik jawatan PPPS

Kuala Lumpur: Seramai 10,715 graduan institut pendidikan guru Malaysia (IPGM) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) yang tamat pengajian tahun ini akan dilantik ke jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS) Gred DG41.

Daripada jumlah itu, 2,960 orang yang tamat pengajian Jun lalu sudah ditempatkan secara interim dan dalam proses ditemuduga Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP).

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata pelantikan ke jawatan PPPS Gred DG41 adalah langkah jangka pendek kerajaan bagi mengatasi masalah penempatan guru baru.

Katanya, pelantikan itu bagaimanapun tertakluk kepada memenuhi syarat skim PPPS, membuat permohonan kepada SPP dan lulus temu duga.

“Baki 7,755 graduan yang tamat pengajian pada September dan Disember tahun ini, perlu memohon jawatan PPPS Gred DG41 secara online ke SPP melalui Jobs Malaysia dalam laman sesawang SPP bagi temu duga pada tahun depan,” katanya di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan Khairy Jamaluddin (BN-Rembau) mengenai langkah jangka pendek dan jangka panjang diambil kementerian bagi memastikan penempatan graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP).

Mohd Puad berkata, kementerian juga menjalankan kajian norma perjawatan, unjuran, dasar penempatan dan pertukaran guru serta kumpulan pelaksana mulai tahun depan, bagi membangunkan model baru pengurusan sumber manusia pendidikan di negara ini bermula 2014.
Menjawab soalan tambahan Khairy mengenai rayuan 63 graduan ISMP yang gagal temu duga SPP, Mohd Puad berkata mereka akan diberi peluang kedua.

PROGRAM YURAN PENGAJIAN SECARA SEPARUH MASA KEPADA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN DAN ANGGOTA KUMPULAN SOKONGAN LANTIKAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN TAHUN 2012


PROGRAM YURAN PENGAJIAN SECARA SEPARUH MASA KEPADA PEGAWAI PERKHIDMATAN PENDIDIKAN DAN ANGGOTA KUMPULAN SOKONGAN LANTIKAN SURUHANJAYA PERKHIDMATAN PELAJARAN TAHUN 2012

Adalah dimaklumkan bahawa Permohonan Program Yuran Pengajian Secara Separuh Masa Kepada Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Dan Anggota Kumpulan Sokongan Lantikan Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran Tahun 2012 kini boleh dicapai melalui laman sesawang KPM bermula dari 8 November hingga 23 November 2012.

Untuk Maklumat lanjut, sila hubungi 03-8321 7100/ 7139/ 7141/ 7151 pada waktu pejabat.
Harap Maklum.

10,715 graduan guru diberi penempatan – Utusan


10,715 graduan guru diberi penempatan

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Sebanyak 10,715 graduan Institut Pendidikan Guru (IPG) dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dalam bidang pendidikan yang telah dan bakal menamatkan pengajian tahun ini, boleh menarik nafas lega apabila kerajaan memutuskan akan memberi mereka penempatan pada tahun depan.

Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan berkenaan diambil setelah mengambil kira secara terperinci keperluan guru dalam jangka masa panjang seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, pelantikan itu tertakluk pada mereka yang memenuhi syarat skim perkhidmatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah (PPPS), telah membuat permohonan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran dan berjaya dalam temu duga dikendalikan suruhanjaya itu.

“Sehubungan itu, graduan pendidikan keluaran IPG dan IPTA yang memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan yang menamatkan pengajian pada 2012 akan dilantik ke jawatan PPPS.

“Mengikut rekod Kementerian Pelajaran, seramai 10,715 penuntut program pendidikan telah dan akan menamatkan pengajian mereka pada tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20121005/dn_35/10715-graduan-guru-diberi-penempatan#ixzz28QmR8bqf
© Utusan Melayu (M) Bhd

Maklum Balas Akhbar: “JPA Lengah Naik Gred Guru” – JPA


Maklum Balas Akhbar: “JPA Lengah Naik Gred Guru”
27 JULAI 2012

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) mengambil maklum dan prihatin di atas perkara yang dibangkitkan oleh Hashim Adnan, Presiden NUTP agar JPA menaikkan gred 400 guru yang memperoleh ijazah melalui Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dari Gred DGA32 dan DGA29 kepada Gred DG41 seperti yang dinikmati 7,975 guru lepasan Program Perkhidmatan Perguruan Siswazah (PPPS).

Untuk makluman, Program Pensiswazahan Guru (PPG) adalah merupakan isu Pertukaran Pelantikan kerana ia melibatkan dua skim perkhidmatan yang berbeza dan bukannya kenaikan gred guru. Isu pelantikan guru adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran (SPP). Pihak JPA hanya terlibat dengan keperluan pewujudan jawatan dan tidak terlibat dengan proses pelantikan guru.

Sehingga 23 Julai 2012, JPA telah meluluskan sebanyak 7,975 jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) pelbagai Gred ke jawatan PPPS Gred DG41 di Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) berkuat kuasa 2 Oktober 2010. Pewujudan jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41 adalah bagi menampung keperluan penempatan PPPLD yang telah tamat dan memperoleh ijazah di bawah Dasar Pensiswazahan Guru secara PJJ yang dilaksanakan oleh KPM. Kelulusan tersebut telah menyelesaikan isu guru yang telah memperolehi ijazah sebelum tahun 2010 sehingga Disember 2011 dan telahpun lulus temu duga dan diperaku oleh SPP untuk dilantik sebagai PPPS Gred DG41.

Berhubung isu 400 guru yang telah tamat pengajian dan belum diluluskan kenaikan gred oleh JPA dan KPM, KPM kini sedang mendapatkan maklumat daripada NUTP berkaitan sumber data 400 guru tersebut termasuk mengemukakan senarai nama penyandang ke KPM. Untuk makluman sehingga kini, JPA masih tidak menerima sebarang permohonan daripada Bahagian Pengurusan Sumber Manusia KPM bagi menukar ganti jawatan berhubung kohort baharu guru yang telah tamat PPG.

 
Unit Komunikasi Korporat
Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia
Putrajaya
26 Julai 2012

Gangguan Capaian Aplikasi Borang Permohonan Dan Semakan Atas Talian SPP


Gangguan Capaian Aplikasi Borang Permohonan Dan Semakan Atas Talian SPP

Adalah dimaklumkan bahawa Suruhanjaya Perkhidmatan Pelajaran akan melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan ke atas aplikasi sistem di SPP pada 16 Januari 2012 (Isnin) mulai jam 4.30 petang. Sehubungan dengan itu, akan terdapat gangguan capaian ke atas aplikasi Borang Permohonan dan Semakan Atas Talian SPP sepanjang kerja-kerja penyelenggaraan tersebut berlangsung. Aplikasi Borang Permohonan dan Semakan Atas Talian SPP boleh dicapai sepenuhnya pada 17 Januari 2012 (Selasai) mulai jam 9.00 pagi.

 

Sebarang kesulitan berhubung perkara ini adalah amat dikesali.

Muat naik pada 16 Januari 2012