Suspek kes dera kanak-kanak dibebaskan dengan jaminan – Bernama


Suspek kes dera kanak-kanak dibebaskan dengan jaminan

2012/01/06

GEORGETOWN: Seorang pekerja barang lusuh yang ditahan kerana dipercayai terbabit dengan kes dera dan kurung anak perempuannya berumur enam tahun pada Isnin lepas, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Jurucakap polis berkata lelaki berusia 49 tahun itu dibebaskan sementara menunggu laporan perubatan dan psikiatri mangsa.

“Lelaki itu dibebaskan dengan jaminan polis atas arahan Ketua Unit Pendakwaan Pulau Pinang sementara menunggu beberapa laporan termasuk daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Lelaki itu ditahan kurang dari 12 jam selepas menjadi buruan polis dan dia turut cuba mengubah identitinya dengan membotakkan kepala untuk mengelak daripada dikenali namun cubaan itu tidak berhasil.

Lelaki itu berjaya diberkas ketika sedang menunggang motosikal di pasar Jelutong di sini pada awal pagi Selasa.

Isnin lalu, polis berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun, yang dikurung di dalam sebuah rumah di Jalan Perak, di sini.
Budak itu disyaki mangsa dera oleh bapanya berdasarkan kesan lebam lama dan baru di belakang badan dan calar di kaki serta tangan, dikatakan menangis dan meminta tolong selama 10 jam, bermula 3 petang sehinggalah diselamatkan pada 1 pagi. РBERNAMA