Suspek kes pecah rumah dan cubaan rogol di Cheras, diberkas – Bernama


Suspek kes pecah rumah dan cubaan rogol di Cheras, diberkas

3 Ogos 2012
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki dipercayai suspek kes pecah rumah dan cubaan merogol seorang remaja di sebuah pangsapuri kos rendah di Pandan Perdana, Cheras, 4 Julai lepas, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, ACP Amiruddin Jamaluddin berkata suspek berumur 26 tahun itu ditahan 12.45 malam di rumah sewanya di perumahan itu.

“Sebuah telefon bimbit dan beberapa barangan peribadi antara barang yang dirampas daripada suspek,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Katanya, selain memiliki rekod jenayah lampau berkaitan kes pukul, ujian air kencing suspek yang bekerja di kedai runcit berdekatan, juga positif dadah.

Dalam kejadian 3.50 pagi 4 Julai lepas, seorang remaja perempuan berusia 17 tahun cedera dileher akibat dikelar serta nyaris dirogol setelah rumahnya dipecah masuk.

Amiruddin berkata suspek kini direman sehingga Khamis depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau objek berbahaya.

Dalam perkembangan lain, Amiruddin memaklumkan indeks jenayah di kawasan Ampang Jaya mencatat penurunan ketara bagi tempoh Januari hingga Julai lalu iaitu 2,734 kes berbanding 3,415 tempoh sama, tahun lepas.

“Indeks jenayah di Ampang Jaya mencatat penurunan sebanyak 19.94 peratus atau 681 kes dalam tempoh Januari. – Bernama