Bekalan susu bantuan ke sekolah Sabah dihenti sementara – Bernama


Bekalan susu bantuan ke sekolah Sabah dihenti sementara

30 Mei 2012

PENAMPANG – Kementerian Kesihatan mengarahkan susu bantuan yang dibekalkan ke sekolah-sekolah di Sabah dihentikan sementara berikutan kes keracunan susu UHT melibatkan dua sekolah di negeri ini, baru-baru ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata arahan itu seharusnya dipatuhi oleh semua sekolah sehingga siasatan yang dijalankan Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan di bawah kementeriannya selesai.

“Saya minta supaya pengagihan susu itu dihentikan sehingga maklumat rasmi dikeluarkan oleh Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan. Memandangkan kini musim cuti sekolah, soal pengagihan itu mungkin tidak timbul,” katanya.

Beliau ditemui pemberita pada majlis pelancaran Sukan Tradisi sempena Pesta Kaamatan atau Pesta Menuai 2012 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman di pentas luar pekarangan Hongkod Koisaan di sini hari ini.

Rosnah berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kes keracunan susu itu melibatkan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Lok Yuk dan Sekolah Kebangsaan (SK) St Francis Convent.

Pada 18 Mei lepas, seramai 44 pelajar SJKC Lok Yuk di Menggatal dekat sini dan lapan pelajar SK St Francis Convent di sini, dilaporkan mengalami simptom sakit perut selepas minum susu coklat sewaktu rehat.

Rosnah yang juga Anggota Parlimen Papar meminta kerjasama daripada pihak sekolah agar melaporkan segera kepada Jabatan Kesihatan negeri sekiranya mengalami kes keracunan yang sama bagi memudahkan tindakan susulan dilakukan.

“Pada masa kini, kes keracunan itu kekal melibatkan dua buah sekolah di negeri ini. Tiada maklumat terkini setakat ini dan pihak kami akan mengeluarkan kenyataan rasmi apabila mendapat maklumat daripada Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan,” katanya.

Beliau berkata faktor penyimpanan stok susu terbabit boleh menjadi faktor utama menyumbang kepada kes keracunan makanan itu.

“Faktor penyimpanan menjadi faktor kepada keracunan, jadi kita meminta pengeluar dan pengedar mengambil kira faktor keselamatan terutama soal penyimpanan yang harus ditekankan kerana ia memerlukan kriteria suhu yang sesuai,” katanya. – Bernama

Kementerian Kesihatan siasat punca keracunan makanan di SRJK Yuk, Sabah – Bernama


Kementerian Kesihatan siasat punca keracunan makanan di SRJK Yuk, Sabah

2012/05/25

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian keracunan makanan membabitkan 44 murid SRJK (C) Lok Yuk, Menggatal dekat sini yang dilapor mengalami simptom sakit perut selepas minum susu coklat pada waktu rehat, Jumaat lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin, berkata kejadian itu disyaki berpunca daripada pengambilan susu UHT berjenama Mat Pintar yang diedar di bawah program susu kerajaan negeri Sabah.

“Sampel sudah diambil untuk analisis, dan sebagai langkah pencegahan, kementerian telah menarik balik semua baki stok susu UHT di sekolah itu,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rosnah berkata demikian bagi mengulas laporan akhbar tempatan mengenai perkara itu pada 20 Mei lalu.

Beliau berkata, siasatan juga sedang dijalankan untuk kejadian sama yang membabitkan lapan murid SK St Francis Convent, Kota Kinabalu.

“Kementerian Kesihatan turut menarik balik semua baki stok UHT di sekolah itu,” katanya.

Rosnah berkata, pejabat Pelajaran Kota Kinabalu dimaklumkan supaya susu UHT tidak diedar kepada murid di sekolah terbabit buat sementara waktu.
– BERNAMA