Syarat tak sesuai bantu anak miskin – Utusan


Syarat tak sesuai bantu anak miskin

 

Oleh ZABRY MOHAMAD
zabrymohamad.madzlan@utusangroup. com.my

 

RUMAH Inapan Kasih Sayang milik PUZ, MAINPP yang terletak di Lot 4188, Mukim 8, Pongsu Seribu Kepala Batas, Pulau Pinang.

 

PULAU PINANG 11 Ogos – Matlamat penubuhannya sangat murni iaitu mahu menyediakan kemudahan tempat tinggal kepada kanak-kanak miskin bagi membimbing mereka menjadi insan berjaya.

Namun, syarat kemasukan calon pelajar untuk mengikuti pengajian di Kompleks Inapan Kasih Sayang milik Pusat Urus Zakat (PUZ) itu dilihat tidak selari dengan matlamat tersebut.

Berikutan itu, Persatuan Kebajikan Anak-anak Miskin Islam Pulau Pinang (Pekami) yang pada awalnya berhasrat menguruskan kompleks berkenaan menarik diri kerana kecewa dengan syarat ditetapkan.

Yang Dipertua Pekami, Datuk Seri Mohd. Yussof Latiff berkata, sepatutnya kelayakan akademik seseorang calon untuk menyertai pengajian di kompleks itu tidak perlu dititikberatkan jika matlamat penubuhannya mahu membantu golongan miskin.

“Bila saya tengok syarat tersebut, saya gelak sebab ini bukan nak masuk sekolah berasrama penuh. Saya juga rasa dukacita. Ia dibina daripada duit zakat, nak bantu kanak-kanak miskin supaya dapat bimbing mereka jadi orang baik-baik,” katanya di pejabatnya di sini semalam.

Antara syarat-syarat kemasukan ke kompleks berkenaan adalah calon perlu memperoleh sekurang-kurangnya 2A dalam mana-mana mata pelajaran pada peperiksaan pertengahan tahun.

Calon juga perlu mendapat sekurang-kurangnya 60 peratus markah keseluruhan peperiksaan.

Kompleks Inapan Kasih Sayang yang terletak di Pongsu Seribu, Kepala Batas siap awal tahun ini bagi menempatkan anak-anak fakir miskin dari sekitar Pulau Pinang iaitu dari tahun empat dan lima.

Difahamkan, kompleks yang terletak di kawasan seluas kira-kira dua hektar itu boleh menampung sekurang-kurangnya 400 penghuni.

Menurut Mohd. Yussof, kanak-kanak dari keluarga miskin perlu dibantu supaya mereka dapat menjalani kehidupan lebih baik apabila dewasa nanti walaupun kelayakan akademik mereka tidak tinggi.

Jelasnya, bimbingan yang sempurna dapat menghindari golongan berkenaan daripada terjebak dengan pelbagai gejala sosial yang boleh merosakkan kehidupan mereka.

“Siapa yang paling ramai merempit, melepak, mencuri, hisap dadah dan sumbang mahram kalau bukan orang Melayu? Jika pengendalian rumah kebajikan sebegini tidak betul, bagaimana kita nak tolong anak-anak miskin supaya jadi rakyat yang baik,” ujarnya.