Pelajar berhati mulia – Metro


Pelajar berhati mulia

 0  0 Google +0  0  0

Oleh Mohd Khidir Zakaria

Port Dickson: Siapa sangka remaja berusia 17 tahun sanggup menabung wang persekolahannya semata-mata mahu membantu golongan susah.

Nor Azwani Redzuan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Yam Tuan Radin, Lukut, bukan golongan senang namun tekad menabung wang belanja sekolahnya sedikit demi sedikit untuk memberi sinar kepada golongan daif.
“Impian saya mahu membantu golongan susah yang memerlukan bantuan, jika tidak dapat membantu hati menjadi tidak tenteram.

 

“Ketika itu saya beritahu ibu mahu menggunakan duit belanja sekolah bagi membantu golongan susah,” kata anak keenam daripada tujuh beradik itu.
Katanya, 12 keluarga susah sudah dibantu dan menerima keperluan asas seperti beras, gula, tepung, minyak masak serta susu. “Saya simpati melihat rakan yang sanggup tidak makan dan memakai baju buruk ke sekolah membuatkan saya nekad membantu mereka.
“Restu ibu membuatkan saya bersemangat dan mula menabung wang sendiri. Jika tidak cukup saya meminta bantuan saudara-mara dan mengambil berkat bulan mulia ini untuk membantu golongan susah,” katanya. Menurutnya, dia berhasrat meneruskan usaha mencari dan membantu golongan asnaf terutama yang terlepas pandang daripada menerima bantuan mana-mana pihak. “Setakat ini saya belum memohon dana daripada kerajaan atau syarikat korporat, biarlah saya berusaha sendiri setakat yang termampu. “Ada juga rakan sekolah yang memandang serong niat saya membantu golongan asnaf, tetapi yang penting niat saya ikhlas mahu membantu mereka,” katanya. Nor Azwani berkata, tidak mustahil pada waktu lain akan bekerjasama dengan rakan daripada kaum lain untuk mencari dana dan menjejaki golongan susah.

 

“Mungkin bagi sesetengah orang bantuan ini tidak seberapa tetapi itulah kemampuan yang saya ada buat masa ini. “Saya berpuas hati dapat melihat sinar kegembiraan keluarga yang menerima bantuan terutama ketika umat Islam lain gembira menyambut Aidilfitri. “Kebanyakan mereka tidak kenal pun saya, malah ada juga antara mereka terus memeluk dan mencium saya kerana tidak menyangka bantuan yang mereka terima adalah daripada remaja belasan tahun. “Ini tanggungjawab kita yang dilahirkan cukup segala-galanya walaupun tidak mewah,” katanya.

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/08/13

Sumbangan buku untuk PSS luar bandar – Berita Harian


Sumbangan buku untuk PSS luar bandar
Oleh Noor Azlina Zainudin
azlina@nstp.com.my
2012/03/02

NOORAINEE bergambar bersama sebahagian penyumbang awal PROSKOP; Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar di Putrajaya, kelmarin.

NOORAINEE bergambar bersama sebahagian penyumbang awal PROSKOP; Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sumber Sekolah Rendah Luar Bandar di Putrajaya, kelmarin.

Bantu generasi muda baca buku bermutu, pupuk amalan membaca

PUTRAJAYA: Agensi swasta, syarikat korporat dan badan bukan kerajaan (NGO) disaran tampil memberi sumbangan atau tajaan untuk membekalkan bahan bacaan bermutu bagi kegunaan pusat sumber sekolah (PSS) terutama di luar bandar, dalam usaha membantu kelangsungan agenda pendidikan negara.

Isteri Timbalan Perdana Menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, berkata tanggungjawab sosial seumpama itu dapat membantu generasi muda di luar bandar memperoleh kepelbagaian buku bermutu untuk dibaca kerana sumber bacaan paling mudah yang boleh diakses oleh mereka ialah di PSS.

Usaha murni ini patut mendapat sokongan penuh syarikat swasta dan agensi korporat lain. – Noorainee Abdul Rahman, isteri Timbalan Perdana Menteri.

Beliau berkata, nisbah buku dengan bilangan murid di kebanyakan sekolah luar bandar masih belum mencukupi untuk membolehkan setiap murid berpeluang meminjam buku pada kadar yang maksimum.

“Bagi memupuk amalan membaca, pelbagai pendekatan menarik dan bersesuaian perlu diambil oleh pihak sekolah dan ibu bapa. Selain sentiasa diingatkan dengan kebaikan amalan ini, infrastruktur yang baik dan kepelbagaian bahan bacaan mampu menyemarakkan lagi amalan membaca dalam kalangan pelajar.

“Justeru, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yayasan Minda Kebangsaan (YMK) mewujudkan program usaha sama bagi membekalkan bahan bacaan kepada 500 PSS sekolah rendah luar bandar terpilih di seluruh negara. Usaha murni ini patut mendapat sokongan penuh syarikat swasta dan agensi korporat lain,” katanya berucap melancarkan Program Sosial Korporat Pendidikan (PROSKOP); Sumbangan Bahan Bacaan Tambahan Untuk Pusat Sekolah Rendah Luar Bandar di Putrajaya, kelmarin.

Hadir sama Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abd Ghafar Mahmud: Pengerusi Eksekutif YMK, Kamarulzaman Kamdias dan Pengarah Urusan Ana Muslim, Othman Mohamed.
PROSKOP ialah program usaha sama antara YMK, Kementerian Pelajaran dan Ana Muslim selaku pembekal bahan bacaan bagi meminta sumbangan dan keprihatinan pihak korporat dan swasta membiayai projek membekalkan bahan bacaan di sekolah rendah luar bandar.

Setiap sekolah terpilih akan menerima 2,500 set bahan bacaan tambahan bernilai RM2,000 terbitan Blue-T Communications Sdn Bhd merangkumi Ensiklopedia Kanak-Kanak Muslim, Siri Lagenda, Siri Bacaan Ana Muslim, Siri Sains Ana Muslim-Tubuh Manusia dan Siri Sains Ana Muslim-Teknologi Kitar Semula.

Setakat ini, sejumlah RM368,000 berjaya dikumpulkan bagi membiayai program bernilai kira-kira RM1 juta ini. Antara yang telah menyumbang ialah NAZA Motors, Syarikat Perumahan Negara Berhad, SME Bank, Yayasan Budimas, OnlySha Venture Enterprise dan Tetap Dinamik.

Sementara itu, Abd Ghafar berkata, nisbah murid dengan koleksi PSS pada masa kini ialah 1:15 bagi sekolah rendah dan 1:20 bagi sekolah menengah.
Beliau berkata, dengan adanya bantuan syarikat swasta, koleksi bahan bacaan di PSS dapat ditambah dari semasa ke semasa dan Kementerian Pelajaran juga sentiasa mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan jumlah ini mengikut piawaian yang ditetapkan.

Syor PIBG dibawa ke PM – Utusan


Syor PIBG dibawa ke PM

 

Oleh MOHD. AINUDDIN ALIFF SALEHUDEN
pengarang@utusan.com.my

 

Muhyiddin Yassin membakar sate dan beramah mesra bersama pemilik gerai sate, Maznani Ahmad (empat dari kiri) pada Program Mesra Bersama Rakyat di Tapak Pasar Malam Taman Medan, Petaling Jaya, semalam.

 

SHAH ALAM 4 Feb. – Tan Sri Muhyiddin Yassin akan membawa cadangan salah seorang wakil Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di negeri ini iaitu supaya kerajaan memberi pengecualian cukai kepada syarikat korporat atau individu yang menyumbang dana kepada persatuan tersebut di sekolah-sekolah.

Timbalan Perdana Menteri berkata, secara peribadinya beliau bersetuju agar cadangan itu dapat dilaksanakan kerana dengan cara ini sedikit-sebanyak dapat menggalakkan syarikat korporat turut sama menyumbang dana kepada tabung PIBG untuk dimanfaatkan pihak sekolah.

Beliau berkata, cadangan tersebut akan dikemukakannya kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga merupakan Menteri Kewangan sebelum ia boleh dilaksanakan.

“Saya bersetuju agar mana-mana individu mahupun syarikat korporat yang menyumbang dana kepada tabung PIBG diberi pengecualian cukai oleh kerajaan kerana ia mampu memberi penjimatan dari segi perbelanjaan kepada pihak kerajaan.

“Bagaimanapun, ia hanyalah cadangan saya tetapi ia semuanya terpulang kepada Perdana Menteri yang merupakan Menteri Kewangan untuk mempertimbangkannya kerana saya tidak ada kuasa untuk melaksanakannya,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri program TPM Bertemu Warga Pendidik, PIBG dan Pengelola Sekolah Seluruh Selangor di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini.

Cadangan itu timbul apabila salah seorang daripada wakil PIBG yang mencadangkannya kepada Muhyiddin yang juga merupakan Menteri Pelajaran dalam satu sesi dialog mengenai sistem pendidikan negara.

Terdahulu, Muhyiddin menyampaikan sumbangan berjumlah RM9.2 juta kepada tabung PIBG di seluruh sekolah dan sekolah agama rakyat di negeri ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Muhyiddin menyeru supaya PIBG lebih komited dalam membantu meningkatkan prestasi persekolahan di negeri ini.

Muhyiddin memberi contoh, ketika lawatannya ke sebuah sekolah di Australia sebelum ini, beliau kagum apabila melihat ibu bapa pelajar melakukan kerja-kerja secara sukarela termasuk ada yang menjadi pembantu jurulatih kepada aktiviti sukan di sekolah tersebut.

“PIBG berperanan dalam memberi komitmen yang lebih bagi memastikan prestasi sekolah terus meningkat dari tahun ke tahun dan ini telah terbukti apabila prestasi peperiksaan di negeri Selangor meningkat pada 2011 berbanding 2010. Saya percaya ia sedikit-sebanyak adalah hasil usaha PIBG di negeri ini yang begitu komited,” jelasnya.