Syor 2 beradik diserah pada bapa saudara – Metro


Syor 2 beradik diserah pada bapa saudara

E-mel Artikel Cetak Artikel Tanda Artikel Besarkan Saiz Teks Kecilkan Saiz Teks Komen Artikel

BUTTERWORTH: Penderitaan dua beradik yang dirantai bapa mereka dalam tandas bakal berakhir apabila Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan mendapatkan perintah mahkamah untuk hak jagaan sementara.

Dua beradik berkenaan akan dibawa ke Mahkamah Majistret, di sini bagi membolehkan mereka dijaga pihak lain yang lebih bertanggungjawab.
Pengarah JKM negeri, Zulkifli Ismail berkata, dua beradik berusia enam dan dua tahun yang menerima rawatan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) sejak 28 Disember lalu kini pulih sepenuhnya dan tidak menunjukkan sebarang trauma. “Kami akan mencadangkan kepada mahkamah agar memberi hak jagaan sementara kanak-kanak perempuan itu dan adik lelakinya kepada bapa saudara mereka,” katanya.

 

Dalam kejadian Rabu lalu, bapa dua beradik itu berusia 40-an bertindak mengurung dan merantai mereka dalam tandas rumahnya di Taman Mawar, Raja Uda, dekat sini, sebelum dia keluar bekerja jam 3 petang.
Tidak tahan diperlakukan begitu, dua beradik berkenaan menjerit meminta tolong sebelum diselamatkan polis dan JKM jam 8 malam.
Dua beradik itu yang kelaparan kerana dirantai selama lima jam dengan hanya diberi roti oleh jiran sebelum dihantar ke HSJ untuk rawatan. Bapa dua beradik itu dikatakan berpisah dengan isterinya, seorang wanita warga Thailand sejak sebulan lalu dan bertindak demikian kerana mereka dikatakan nakal selain tiada orang menjaga mereka.

 

 

Sementara itu, polis mendapat perintah melanjutkan tempoh tahanan reman terhadap bapa dua beradik berkenaan selama tiga hari.