Tabika dimasuki pencuri 7 kali – Utusan


Tabika dimasuki pencuri 7 kali

KUALA LUMPUR 19 Okt. – Sebuah taman bimbingan kanak-kanak (tabika) di Bandar Country Homes Rawang dekat sini, terpaksa menanggung kerugian ribuan ringgit selepas tujuh kali premis itu dipecah masuk pencuri sejak 2005.

Dalam kejadian semalam, Tabika Kemas Happy Kids itu sekali lagi dipecah masuk mengakibatkan kerugian RM5,000 apabila komputer dan pencetak dilarikan perompak.

Lebih malang, makanan dan hadiah untuk majlis konvokesyen murid-murid pada bulan depan turut dicuri penjenayah.

Guru tabika itu, Siti Hajar Salam, 43, berkata, beliau terkejut apabila kejadian pecah masuk itu terjadi lagi setelah yang terakhir berlaku pada pertengahan tahun lalu.

“Kejadian disedari dua guru yang datang untuk bekerja 7.20 pagi ini dan terkejut melihat pintu utama terbuka serta bahagian dalam tabika berselerak.

“Setelah diperiksa, kami mendapati jeriji yang dipasang pada tingkap hadapan berkenaan telah diumpil penjenayah,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20121020/je_03/Tabika-dimasuki-pencuri-7-kali#ixzz29u8EjbfQ
© Utusan Melayu (M) Bhd

Tindakan juri dipertikai, dakwa tidak adil – Sinar Harian


Tindakan juri dipertikai, dakwa tidak adil

WARTAWAN SINAR HARIAN
4 Oktober 2012
Tindakan juri dipertikai, dakwa tidak adil
Mohd Azmi menunjukkan borang markah yang telah dipotong pihak juri pada pertandingan tersebut.

SEREMBAN – Pengerusi Tabika Kemajuan Masyarakat (Kemas) Kampung Pianggu, Jelebu, di sini, mempertikaikan juri Pertandingan Pidato Hari Potensi Kanak-kanak Tabika Kemas peringkat negeri yang didakwanya bersikap tidak adil.

Mohd Azmi Abdul Aziz berkata, tindakan seorang juri pertandingan itu yang sengaja memotong markah salah seorang peserta yang sepatutnya layak menjadi juara menyebabkan peserta terbabit sekadar mendapat tempat saguhati sahaja.

Menurutnya, pertandingan selama dua hari bermula Isnin lalu diadakan di Kompleks Penyiaran Tuanku Muhammad, Sungai Gadut dan disertai lapan peserta mewakili parlimen masing-masing.

“Dua juri mengadili pertandingan ini yang bertanggungjawab bagi menentukan peserta layak menjadi juara.

“Namun saya kesal dengan tindakan seorang juri yang bertindak memotong markah peserta, Iman Nafisah Mohd Khairul Anuar, 6, dari Tabika Kemas Kampung Pianggu yang pada awalnya layak menjadi juara berikutan markah diperoleh tinggi, tetapi kemudiannya dipotong menyebabkan hanya layak mendapat tempat saguhati,” katanya kepada pemberita, semalam.

Menurutnya, Iman Nafisah memperoleh markah penuh iaitu 100 tetapi pihak juri memotong markah tersebut kepada 90, menyebabkan dia tidak layak menjadi juara.

“Tindakannya menyebabkan pertandingan berkenaan dimenangi peserta dari Teluk Kemang, Port Dickson.

“Saya ada bukti salinan markah yang menunjukkan pihak juri memotong markah peserta sehingga menyebabkan Iman Nafisah kalah,” katanya.

Mohd Azmi berkata, ramai ibu bapa merungut dengan pemilihan juri yang terdiri daripada Pegawai Kemas kerana sepatutnya juri perlu dilantik daripada pihak berkecuali.

“Saya harap Kemas dapat melakukan penambahbaikan pertandingan tersebut pada masa akan datang bagi mengelak masalah sama berulang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Kemas negeri, Norizan Muda berkata, tiada sebarang isu kecuaian pemarkahan berlaku pada pertandingan berkenaan.

“Juri adalah orang yang bertanggungjawab menentukan siapa yang layak menjadi juara dan keputusan adalah muktamad.

“Pelantikan juri juga adalah persetujuan ramai dan layak kerana kedua-dua mereka mempunyai latar belakang tinggi dalam bidang ilmu dan bahasa serta tiada kena mengena dengan tabika. Oleh itu, tidak timbul isu berat sebelah dan sebagainya,” katanya.

Norizan berkata, pihaknya juga bercadang untuk mengulang semula pertandingan tersebut dalam tempoh terdekat.

“Kita bercadang sama ada untuk mengadakan pertandingan ini semula atau menilai semula persembahan peserta bagi menyelesaikan isu berbangkit ini,” katanya.