Tabika ditutup, ibu bapa resah – Sinar Harian


Tabika ditutup, ibu bapa resah

KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB
30 Disember 2012
Tabika ditutup, ibu bapa resah
Loke (kiri) mendengar masalah dihadapi ibu pelajar tabika berkenaan.

SEREMBAN – Alasan tidak cukup ruang untuk menampung jumlah pelajar sehingga menyebabkan Tabika Perpaduan Lobak, di sini ditutup, bukan saja mengecewakan ibu bapa, malah dianggap sebagai tidak munasabah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lobak, Anthony Loke berkata, Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) negeri mengeluarkan notis kepada ibu bapa agar mereka mendaftarkan anak mereka ke tabika lain bermula sesi persekolahan Januari ini.

“Menurut mereka, tabika terpaksa ditutup kerana tidak cukup ruang bagi menampung jumlah pelajar sedia ada yang dianggarkan seramai 15 hingga 20 orang.

“Sebagai jalan penyelesaian, jabatan meminta ibu bapa mendaftarkan anak mereka di tabika baru dekat Taman Kobena, Senawang. Alasan diberikan jabatan berkenaan mengecewakan dan tidak munasabah,” katanya pada kepada pemberita ketika membuat lawatan di Tabika Perpaduan Lobak, di sini, semalam.

Loke yang juga Pengerusi DAP negeri berkata, arahan berpindah ke tabika lain jelas merunsingkan ibu bapa memandangkan lokasi tersebut agak jauh menyebabkan mereka terpaksa berbelanja lebih untuk kos pengangkutan.

“Perkara ini tidak sepatutnya berlaku terhadap tabika terbabit yang sudah beroperasi lebih 10 tahun tanpa sebarang masalah. Penutupan ini ternyata tidak wajar kepada komuniti di kawasan ini, terutama bagi mereka berpendapatan rendah.

“Kita akan meminta jabatan supaya menarik balik arahan dikeluarkan secepat mungkin dan seterusnya mengekalkan tabika ini seperti sediakala, memandangkan sesi persekolahan baru hampir bermula,” katanya.

Air najis depan kelas – Sinar Harian


Air najis depan kelas

IZWAN ROZLIN
7 Oktober 2012
Narayanan (dua, kiri) dan beberapa murid tadika kemas menunjukkan air kumbahan air melimpah keluar d
Narayanan (dua, kiri) dan beberapa murid tadika kemas menunjukkan air kumbahan air melimpah keluar dari salurannya.

PETALING JAYA –  Murid Tabika Perpaduan di Flat Desa Ria PJS 7 terseksa dengan bau busuk dari air kumbahan yang melimpah keluar dari saluran di hadapan bangunan itu .

Masalah yang berlarutan sejak dua minggu lalu itu tidak menemui jalan penyelesaian malah keadaan bertambah teruk.

Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga Flat Desa Ria, M.Narayanan berkata, aduan sudah dibuat kepada pihak pemaju namun tiada sebarang tindakan  diambil.

“Air kumbahan yang melimpah keluar bukan setakat busuk malah turut mencemarkan kawasan sekitar flat,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian  kelmarin  mendapati air najis itu melimpah berikutan saluran utamanya tersumbat menyebabkan banyak program pembelajaran  luaran sekolah terbantut.

Sementara itu guru tadika Ani Nawan berkata sesi pembelajaran menjadi sukar apabila murid-murid terpaksa belajar di bahagian belakang kelas.

“Tingkap dan pintu terpaksa ditutup bagi mengelak bau dan suasana di dalam kelas juga merimaskan  kerana kami  terpaksa berkurung,” katanya.

Menurutnya sebagai guru dia mahu semua anak muridnya dapat belajar dalam suasana selesa tetapi apa yang berlaku  disebaliknya.

Difahamkan sekolah tadika itu yang  mempunyai 40 murid itu memulakan sesi pembelajaran jam 8 pagi dan berahir jam 12 tengah hari setiap hari.

Bagi penduduk Loh Foh Kuen, 40, bimbang jika sekiranya air kumbahan itu terus mengalir ianya menjadi pembawa penyakit berbahaya.