Ahli Kelab TaHa, Mersing hadiri Klinik UPSR – Berita Harian


Ahli Kelab TaHa, Mersing hadiri Klinik UPSR


Oleh Sahlina Sahkirin
upen@bharian.com.my
2012/06/07
ANTARA peserta yang menyertai Klinik UPSR.
SERAMAI 250 ahli Kelab TaHa daerah, yang juga calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) menyertai program bimbingan peperiksaan Skor A UPSR, berlangsung di Auditorium Utama Institut Latihan Perindustrian, Jalan Jemaluang, Mersing, baru-baru ini.

Seminar anjuran Unit Pendidikan Berita Harian menerusi tajaan Tabung Haji, Mersing bertujuan memberikan khidmat bimbingan pendidikan berkualiti kepada ahli.
Pengurus Tabung Haji daerah, Yazid Ahmad, berkata ahli berpeluang mengikuti program berkenaan sebagai persediaan menghadapi peperiksaan Oktober ini.
Katanya, dia bangga kerana peserta dapat menghadirkan diri walaupun masing-masing sibuk menghabiskan masa cuti sekolah bersama keluarga.

Program sehari itu dimuatkan dengan tiga slot ceramah bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Sains dan Matematik, masing-masing adalah calon dari sekolah sekitar kawasan Endau dan Tenggaroh.

Seorang peserta, Sahidatul Aini Mazlan, 12, berkata dia gembira kerana terpilih menyertai program ini kerana banyak maklumat tambahan diperoleh sepanjang sesi pembelajaran daripada guru pakar.

Murid Sekolah Kebangsaan (SK) Penyabong Endau, itu berkata, tip yang diberi serta panduan belajar secara berkesan dapat diamalkan sepanjang tempoh persediaan menghadapi peperiksaan.
Bagi murid ari SK Felda Tenggaroh 2, Ahmad Nizam Ahmad, berkata penceramah banyak menyediakan teknik menjawab secara berkesan dan tepat berdasarkan aras peperiksaan sebenar.

Katanya, dia bangga kerana dengan hanya menganggotai ahli Kelab TaHa, banyak keistimewaan diperoleh termasuk menyertai program bimbingan peperiksaan UPSR percuma.

Calon PMR yakin berbahasa Inggeris – Berita Harian


Calon PMR yakin berbahasa Inggeris

Oleh Muhd Amirul Faiz Ahmad
amifaiz@bharian.com.my
2012/05/10

Nurul Afizah

Nurul Afizah

“HADIAH paling istimewa sebelum pemergian ibu tersayang adalah pencapaian 5A dalam UPSR,” kata Nurul Afizah Mohd Khaidir,15, yang kematian ibu sejak dua tahun lalu ketika melahirkan adiknya.

Nurul Afizah yang sentiasa kelihatan tenang berkata, walaupun tanpa orang disayangi, dia teruskan perjuangan untuk mencapai kejayaan bergelar pelajar cemerlang di sekolahnya.

Dia yang ditemui ketika menghadiri Seminar Kecemerlangan PMR yang diadakan kerjasama Tabung Haji dan Berita Harian, baru-baru ini, berkata peluang itu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk meningkatkan pemahaman bagi subjek bahasa Inggeris.

“Selain subjek berkenaan, mata pelajaran kritikal seperti Sains dan Matematik juga diajar dengan baik selain diberikan tip menjawab soalan, penekanan kawalan emosi dan mental ketika menghadapi peperiksaan.

“Peserta tidak dikenakan bayaran, tambah pula saya ahli Kelab Tabung Haji (TaHa) turut menikmati kelebihan ini,” katanya ketika ditemui di Petra Jaya, Kuching, Sarawak, baru-baru ini.

Beliau berkata, kepetahan fasilitator berbicara dengan disertai unsur kelakar memberikan pengalaman menyeronokkan dan kesempatan mengikuti seminar itu menjadikannya dapat bertutur bahasa Inggeris dengan betul.

“Pada seminar ini, peserta diajar berkomunikasi dengan betul mengikut tatabahasa yang tepat,” katanya.
Nurul Afizah, pelajar di Kolej Abdillah, Siol Kandis, berkata pembacaan material dalam Bahasa Inggeris adalah strategi berkesan memantapkan kemahiran itu.

“Semua bahan bacaan berkaitan antaranya, akhbar, buku, risalah, majalah mahupun iklan memberi peluang kepada kita menguasai bahasa itu,” katanya.

Ahli KWSP boleh mendaftar haji mulai 3 Januari ini – Bernama


Ahli KWSP boleh mendaftar haji mulai 3 Januari ini

30/12/2011 7:16pm

 

KUALA LUMPUR 30 Dis. – Ahli-ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pendaftaran haji dengan Lembaga Tabung Haji (TH) mulai 3 Januari ini.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, di bawah Kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP, ahli boleh membuat pendaftaran mengunakan simpanan Akaun 1 di semua cawangan TH untuk mendapatkan giliran menunaikan haji.

Pendaftaran haji itu juga boleh dibuat di semua cawangan Bank Rakyat dan Bank Islam seluruh negara mengikut prosedur yang ditetapkan oleh TH dan ahli KWSP hanya perlu membawa MyKad dan penyata KWSP terkini, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Ahli KWSP tidak perlu mengeluarkan simpanan untuk mendaftar haji. Untuk melayakkan diri membuat pendaftaran haji, ahli KWSP mestilah warganegara Malaysia atau pemastautin tetap beragama Islam.

“Mereka juga belum mencapai umur 55 tahun dan mempunyai akaun simpanan di TH. Ahli yang tidak mempunyai akaun TH boleh membukanya dengan deposit minimum RM2,” katanya.

Nik Affendi berkata ahli KWSP yang telah berdaftar di bawah prosedur TH sebelum ini, boleh menukarkannya kepada kemudahan Pendaftaran Haji Ahli KWSP tanpa melibatkan pertukaran tarikh giliran haji yang diberi sebelum ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa kemudahan itu tidak mempercepatkan tarikh mengerjakan haji kerana ia ditentukan TH.

Untuk maklumat lanjut, ahli KWSP boleh melayari laman web http://www.kwsp.gov.my atau http://www.tabunghaji.gov.my, atau menghubungi Pusat Panggilan KWSP di 03-89226000 atau Tabung Haji Contact Centre di 03-62071919. – BERNAMA