Pelajar lepasan SPM diiringi anggota polis keluar dari mahkamah selepas mengaku tidak bersalah merogol remaja perempuan bawah umur, tahun lalu.
AYER KEROH – Seorang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) didakwa di Mahkamah Juvana di sini, semalam atas pertuduhan merogol seorang remaja bawah umur, tahun lalu.
Tertuduh, berusia 17 tahun itu, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret, Syajaratudur Abd Rahaman selepas mengangguk faham pertuduhan dibacakan jurubahasa di dalam mahkamah tertutup.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh dari Tanjung Kling di sini, didakwa merogol seorang perempuan berusia 15 tahun di sebuah kebun kelapa sawit di Kampung Gelam, Tanjung Kling pada Mac 2013.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Akta Kanak-kanak 2001.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Nabilah Nizam ketika pendakwaan meminta mahkamah memberikan jaminan sebanyak RM5,000 terhadap tertuduh.
Bagaimanapun, bapa tertuduh yang hadir merayu mahkamah mengurangkan wang jaminan dengan alasan hanya bekerja di kilang dan menyara isteri yang tidak bekerja selain anak-anak masih belajar termasuk seorang daripadanya di institusi pengajian tinggi (IPT).
Selepas mendengar rayuan tersebut, Syajaratudur membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 6 Februari depan bagi mendengar laporan perubatan mangsa.