Kegembiraan bertukar cemas – Sinar Harian


Kegembiraan bertukar cemas

WARTAWAN SINAR HARIAN
2 Julai 2013
Kegembiraan bertukar cemas
Orang ramai melihat pokok tua yang tumbang dan melintang jalan berhampiran SMK Orang Kaya Haji, Kuala Lipis, pagi semalam.

KUALA LIPIS – Kegembiraan pengunjung yang memeriahkan Majlis Perasmian Sekolah Angkat Pintar Telekom Malaysia di SMK Orang Kaya Haji, di sini bertukar cemas apabila sebatang pokok tua tumbang dan melintang jalan kira-kira jam 11 pagi semalam.

Pengunjung, Azam Othman, 28, berkata, ketika kejadian dia bersama ahli keluarga sedang melawat ruang pameran pada majlis itu sebelum dikejutkan dengan bunyi bising dari arah jalan raya.

“Apabila terdengar bunyi bising, saya bersama pengunjung lain bergegas ke tempat kejadian dan lihat sebatang pokok tua tumbang dan hampir menghempap beberapa kenderaan lain yang diletakkan di bahu jalan.

“Mujur tiada kenderaan yang diletakkan di bawah pokok itu,” katanya.

Seorang lagi pengunjung, Norhayati Mahmud, 35, berkata, pihak berkaitan digesa tebang pokok tua yang ada di sekitar bandar Lipis bagi mengelakkan kejadian sama berulang.

“Kita bernasib baik kerana tiada pengunjung yang cedera dan pokok tumbang itu tidak menimpa kenderaan yang diletakkan di kawasan berhampiran. Kalau tidak, sudah tentu pemilik kenderaan berkenaan terpaksa tanggung rugi.

“Kita harap pihak berkaitan dapat tebang pokok tua terutama di laluan utama yang kerap dilalui pengguna jalan raya. Kita tak nak nanti ada yang maut atau cedera kerana dihempap pokok,” katanya.

Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan: NUTP – Bernama


Kutipan derma sekolah oleh pelajar tidak digalakkan: NUTP
13:31:11 PM Cetak Emel Kawan

KUALA LUMPUR: Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) tidak menggalakkan sekolah bantuan penuh kerajaan menggunakan pelajarnya mengutip derma di luar kawasan sekolah.

Presidennya Hashim Adnan berkata NUTP melihat aktiviti itu sebagai mengundang bahaya kepada pelajar tanpa mengira peringkat usia. “Kita tak nak nanti ada kes pelajar diculik atau dirogol,” katanya di sini, hari ini.
Katanya, walaupun mendapat kebenaran jabatan pelajaran negeri masing-masing, program itu tidak sepatutnya diadakan kerana kerajaan menyediakan pelbagai bantuan kepada pihak sekolah.

“Semua kerajaan dah bagi, alat sukan tak cukup kerajaan bagi, budak miskin tak ada makanan, kerajaan peruntukkan RM1.80 setiap hari, pembangunan kalau rosak boleh minta.

“Saya hairan, kenapa nak minta derma lagi, kalau boleh, elakkan perkara berkenaan,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mengakui ada kes tertentu yang memerlukan kutipan derma seperti ketika sekolah memerlukan dana segera bagi mengganti peralatan rosak dan sebagainya.
“Apa-apa pun mereka perlu merujuk kepada jabatan pelajaran negeri masing-masing dan selalunya akan ada penyelesaian daripada jabatan untuk masalah mereka,” katanya.

Isu pelajar diarah mengutip derma ini dibangkitkan ibu bapa menerusi tinjauan selain diluahkan oleh peserta beberapa forum dalam Internet yang tidak berpuas hati dengan aktiviti tidak berkesudahan itu.

“Dah lama berlaku, sejak zaman saya dulu, sekarang pun masih ada lagi, dan ianya dilakukan untuk program yang berbeza,” kata seorang penjawat awam.

Beliau yang mempunyai seorang anak tahun dua di sekolah bantuan penuh kerajaan di ibu kota berkata, aktviti itu dilakukan setiap tahun.

“Tahun lalu pun ada, tahun ini kutipan diadakan untuk program ceriathon,” katanya mendakwa aktiviti itu bertambah pelik kerana jika kutipan tidak mencapai sasaran, murid akan disuruh mengulangi kutipan.

Seorang lagi penjawat awam pula berkata ada masanya sekolah akan menyertakan surat memohon kebenaran ibu bapa bagi menjadikan kegiatan itu kelihatan lebih rasmi.

“Ibu bapa terpaksa membenarkan anak-anak mereka untuk terlibat sama disebabkan surat itu,” katanya menambah anak saudaranya yang berusia 11 tahun terpaksa melakukan aktiviti tersebut dari rumah ke rumah hampir setiap tahun atas nama persatuan atau pun program.

“Ada pro dan kontra dalam perkara ini, namun saya risau keselamatan murid-murid di sekolah rendah,” katanya.

Seorang peserta forum dalam talian melahirkan kemusykilan apabila pihak sekolah bukan sahaja menganjurkan kutipan derma tetapi turut menjanjikan hadiah bagi murid yang berjaya melakukan kutipan tertinggi.

Kebanyakan peserta forum itu berpandangan aktiviti tersebut boleh dijalankan namun tidak wajar diwajibkan kepada setiap pelajar. – BERNAMA

CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500 – Utusan


CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 – RM2500

PUTRAJAYA 22 Feb. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.

Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500).

Omar berkata, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.

”Sebagai contoh bagi mereka yang sudah lima tahun tidak naik gaji, jika gaji mereka dinaikkan RM100, kerajaan perlu bayar tunggakan RM500 selain kenaikan gred,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, CUEPACS turut menuntut agar kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam yang sudah lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras 4.

”Ramai yang lulus PTK aras 4 sebelum SBPA diperkenalkan tetapi apabila SSM ditukarkan ke SBPA ramai yang lulus itu tidak mendapat kenaikan gaji, apabila kami berbincang dalam pasukan khas ini dari segi perundangan kerajaan perlu bayar.

”Mereka mana tahu SBPA akan diperkenalkan, tidak adil untuk mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk lulus, tapi bila dah lulus tak nak bayar pula,” katanya.

Sehubungan itu, CUEPACS meminta mereka yang lulus sehingga 31 Disember 2011 dibayar tunggakan gaji sebelum kajian semakan SBPA diumumkan dan mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.

Omar berkata, beliau yakin kerajaan akan bersetuju dengan lima tuntutan yang telah dikemukakan iaitu mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam.

”Kalau kerajaan merasakan ia melibatkan tuntutan yang tinggi, CUEPACS cadangkan mereka yang telah menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Premier, gaji mereka dipotong untuk diberikan kepada mereka di gred 54 ke bawah.

”Kalau betullah kerajaan mahu rapatkan jurang maka tuntutan itu dirasakan wajar, apa yang kami lakukan ialah menuntut kesaksamaan dan terpulanglah kepada pasukan petugas khas ini untuk menilainya,” katanya.