Merangkak selamat anak jiran – Metro


Merangkak selamat anak jiran

 8  0 Google +0  0  0

Oleh FARDY BUNGGA

Tawau: “Sekalipun terperangkap, saya sempat melepaskan diri dan menyelamatkan empat anak jiran dan kami keluar dari runtuhan secara meniarap.

“Nasib baik saya terdengar kanak-kanak itu menangis kerana ketakutan lalu mencari mereka dalam keadaan merangkak di bawah timbunan kayu.
“Mujur ada satu tiang menghalang batu itu daripada terus menghempap mereka,” kata Edy Lasuasa, 57, yang cedera di kepala selepas rumahnya musnah dihempap tiga bongkah batu gergasi yang bergolek dari atas bukit di Kampung Bukit Kukusan, Tanjung Batu, di sini, semalam.

 

Kanak-kanak yang terselamat dikenali sebagai Mohd Hafiz Azizul, 9; Mohd Ajili Arwansyah, 6; Mohd Said Abdul Said, 5; dan adiknya, Norafdilah Abdul Said, 3.
Menceritakan kejadian jam 11.30 pagi yang menghempap 11 rumah itu, Edy berkata, dia terdengar satu dentuman disusuli gegaran kuat sebelum bunyi kayu pecah.
Menurutnya, ketika itu dia berehat di anjung rumah bersama empat kanak-kanak yang juga jirannya sebelum terdengar satu letupan dari kuari berhampiran.

 

FotoEDY bersama Mohd Hafiz yang terperangkap di bawah runtuhan rumah mereka.

“Saya tak tahu apa sebenarnya berlaku, keadaan tiba-tiba menjadi huru-hara seperti tsunami selepas satu letupan disusuli gegaran kuat.
“Beberapa saat selepas itu, rumah saya bergoncang kuat lalu ranap,” katanya ketika ditemui.

 

Dia yang bekerja sebagai nelayan berkata, letupan dilakukan di kuari berhampiran adalah perkara biasa tetapi tidak menyangka rumahnya dihempap bongkah batu akibat letupan itu.
“Rumah saya musnah dan ketika kejadian berlaku (rumah ranap) saya terus pengsan.
“Sebaik tersedar, saya terperangkap di bawah runtuhan, saya turut mendapat luka di belakang kepala akibat dihempap tiang rumah yang patah,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Hula Igu, 58, berkata, dia bernasib baik kerana tiada di rumah ketika kejadian.
“Pada masa itu, saya di pasar kerana menjual ikan. Saya menerima panggilan telefon daripada jiran mengatakan rumah saya runtuh dihempap bongkah batu besar yang jatuh dari atas bukit,” katanya.
Katanya, terkejut dengan perkara itu, dia bergegas pulang ke rumah.
“Saya bimbang mengenai keselamatan tiga cucu, termasuk dua daripadanya kembar yang baru berusia sebulan, selain anak serta menantu di rumah.
“Saya bersyukur kerana walaupun rumah musnah, semua ahli keluarga terselamat,” katanya.
Menurutnya, menantunya, Nisa Yusuf, 30, bersama bayi kembarnya, Noraisah dan Noranisah Fazlan berusia satu bulan dihantar orang ramai ke Hospital Besar Tawau untuk rawatan lanjut manakala seorang lagi cucunya, Mohd Khairul, 2, terselamat.
Tinjauan Metro Ahad di lokasi kejadian mendapati, satu bongkah batu sebesar rumah banglo manakala dua lagi sebesar kenderaan pacuan empat roda.
Ketiga-tiga bongkah dipercayai bergolek dari atas bukit selepas letupan dilakukan pekerja kuari di kawasan berhampiran.

Artikel ini disiarkan pada : 2013/04/06

‘Baik tumpu tugas’ – Metro


‘Baik tumpu tugas’

 2  0 Google +0  0  0

Kuala Lumpur: “Tidak ada sebab kakitangan kerajaan mahu menukar kerajaan sedia ada kepada yang kita tak tahu lagi, ini bukan boleh cuba-cuba, takut yang 18 permohonan CUEPACS (Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam) yang sedia (ada) hilang macam itu saja.”

Itu reaksi Presiden CUEPACS Datuk Omar Osman ketika ditanya jaminan pihaknya bahawa 1.4 juta penjawat awam dan 500,000 pesara akan menyokong kerajaan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) tidak lama lagi.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan mana-mana kakitangan kerajaan yang ingin aktif dengan kegiatan politik supaya mematuhi Pekeliling yang melarang mereka berbuat demikian dalam waktu bekerja.

 

“Apapun, lebih baik untuk penjawat awam menumpukan perhatian terhadap tugas mereka selain berpolitik. “Kita sudah tandatangan aku janji, jadi lebih baik tumpu agenda penjawat awam, kalau nak berpolitik juga pergi sana-sini mesti minta kebenaran ketua jabatan, jangan berpolitik pada waktu pejabat, bocorkan rahsia kerajaan kerana ini tak baik,” katanya.

 

 

Artikel ini disiarkan pada : 2013/02/22

Tujuh beranak terpaksa ikat perut, tumpang teduh di rumah ibu – Sinar Harian


Tujuh beranak terpaksa ikat perut, tumpang teduh di rumah ibu

WARTAWAN SINAR HARIAN
15 Februari 2013
Tujuh beranak terpaksa ikat perut, tumpang teduh di rumah ibu
Shahbani dan Norhasyimah (kiri) bersama anak mereka terpaksa tinggal di dalam rumah usang milik Azizah (belakang dua kanan).

ROMPIN– “Biarpun hidup saya umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang, anak-anak tidak pernah saya biarkan kelaparan,” demikian luahan Shahbani Zain, 50, yang dihimpit kemiskinan berikutan tidak mempunyai sumber pendapatan tetap.

Shahbani bergantung harap kepada upah meracun, menebas rumput dan kerja-kerja kampung yang lain bagi menyara isterinya, Narhasyimah Ismail, 44, dan lima daripada sembilan anaknya.

Bagaimanapun Shahbani berkata, tiga daripada anaknya iaitu, Mohd Aminuddin, 15, Mohd Izaidi, 13 dan Alia Maisarah, 10, terpaksa melupakan alam persekolahan berikutan tidak mampu menanggung kos persekolahan anaknya itu.

“Pernah juga kami sekeluarga terpaksa makan nasi tanpa lauk, malah ada masa terpaksa mengikat perut hingga ke petang disebabkan kemiskinan yang dialami,” katanya kepada Sinar Harian.

Shahbani yang berpendapatan purata antara RM250 hingga RM300 sebulan berkata, ketika ini, seorang sahaja anaknya yang bersekolah iaitu, Norarisha yang berusia enam tahun.

“Itupun saya tak tahu sama ada dia dapat meneruskan persekolahan atau pun tidak memandangkan dia masih di peringkat Pra Sekolah lagi. Jika sudah masuk sekolah rendah atau menengah mungkin perbelanjaannya pun makin tinggi,” katanya.

Sebagai bapa menurutnya, dia mengakui mahu melihat anaknya berjaya dalam pelajaran, namun disebabkan kemampuannya yang terbatas menyebabkan dia tidak dapat memenuhi impian anaknya itu.

“Kalau boleh, saya tak mahu anak mewarisi kemiskinan yang dialami, tambahan pula kami sudah serik dengan kehidupan serba kekurangan ini dan saya sedar hanya pelajaran dapat mengubah nasib mereka.

“Bukan menyalahkan takdir, tetapi saya memang tidak mampu berbuat demikian,” katanya.

Shahbani berkata, mereka sekeluarga juga terpaksa menumpang di rumah ibunya, Azizah Ismail, 70, selepas rumah mereka tidak lagi boleh diduduki selepas rosak dimakan anai-anai.

Malah katanya, rumah yang ditumpanginya sejak setahun lalu itu pula bukan saja sempit, malah mengalami kebocoran pada zink dan atap rumah yang menyebabkan rumah itu sering digenangi air apabila hujan.

“Hanya rumah pusaka inilah menjadi tempat kami sekeluarga berteduh daripada panas dan hujan. Walaupun keadaan rumah ini daif, kami tetap bersyukur kerana masih tidak hidup bergelandangan,” katanya.

Menurutnya, dia juga sudah membuat permohonan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT), namun masih menunggu status permohonan tersebut daripada pihak berwajib.

Sementara itu Norhasyimah berkata, dia tidak dapat menahan sebak jika mengenangkan hidup yang terpaksa dilalui mereka sekeluarga, namun pasrah dengan apa yang berlaku selain mengharapkan anaknya kuat dalam menempuh dugaan tersebut.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Setajam, Muhamad Aw Kechik berkata, pihaknya membuat permohonan PPRT untuk kemudahan keluarga tersebut dan perkara itu diluluskan Unit Pembangunan Luar Bandar (PLB) Pejabat Daerah dan Tanah Rompin.

13 buku latihan satu subjek – Sinar Harian


13 buku latihan satu subjek

WARTAWAN SINAR HARIAN
12 Februari 2012
13 buku latihan satu subjek

BAGAN DALAM – Nak mengajar atau menghukum, itu dua persoalan yang sering bermain di fikiran Abdul Jamil Othman, 52, selepas mendapati anak bongsunya terpaksa menggunakan 13 buku untuk menyiapkan latihan mata pelajaran Matematik yang diberi guru sepanjang tahun lalu.

Biarpun terpaksa bersengkang mata hingga lewat malam menyiapkan kerja rumah yang diberikan guru, anaknya Mardhiah Safwan, 12, murid tahun enam sebuah sekolah rendah di sini tidak pernah memperoleh markah tinggi.

“Saya hairan kerana latihan yang diberikan guru terbabit seolah-olah ingin mendera anak saya, bukan menurunkan ilmu untuk mengajar dan menjadikannya cerdik.

“Mungkin lepas ini anak saya boleh mencatat nama sebagai murid yang paling banyak menggunakan buku untuk menyiapkan latihan mata pelajaran Matematiknya itu,” katanya.

Abdul Jamil yang tinggal di Rumah Pangsa Bagan Dalam di sini, berkata, sepatutnya jika anaknya itu sering membuat latihan dia akan menjadi cekap dalam mata pelajaran terbabit tetapi keadaan menjadi sebaliknya.

“Saya tak tahu apa motif sebenar guru itu memberikan latihan yang begitu banyak kepada anak saya kerana sepanjang pengetahuan, rakan sekelasnya tidak pula diarah berbuat demikian.

“Sepanjang tahun lalu anak saya terpaksa menggunakan 13 buku latihan hanya untuk mata pelajaran Matematik sahaja,” katanya.

Abdul Jamil berkata, dia tidak kisah menyediakan buku sebanyak itu demi pelajaran anaknya, tetapi dalam masa sama timbul kehairanan apakah motif sebenar guru mata pelajaran itu bertindak sedemikian.

“Saya berharap untuk sesi persekolahan tahun ini anak saya diberi pendidikan sama seperti rakannya yang lain dan tidak diarah melakukan perkara berbeza hingga menimbulkan tanda tanya dan tidak boleh diterima akal,” katanya.