Salah pelajar, bukan sekolah – Kosmo


Salah pelajar, bukan sekolah

MAHADZIR memujuk Muhammad Faiz supaya tabah dalam pertemuan
di rumah mereka di Bukit Beruntung semalam.

 

KUALA LUMPUR – Siasatan Jabatan Pelajaran Selangor mendapati dakwaan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) Bukit Beruntung, Rawang bahawa dia dilarang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) kelmarin sebagai tidak berasas.

Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Abd. Ghafar Mahmud berkata, apa yang sebaliknya berlaku ialah pelajar itu, Muhammad Faiz Mahadzir tidak hadir ke sekolah pada hari pertama peperiksaan itu kelmarin.

Katanya, pelajar itu juga tidak hadir ke sekolah untuk beberapa hari sebelum itu.

“Pihak sekolah tidak menghalang pelajar itu menduduki peperiksaan.

“Rekod sekolah menunjukkan dia tidak hadir pada hari pertama peperiksaan walaupun Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (SUP) telah memaklumkan kepada pelajar untuk hadir,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meninjau perjalanan peperiksaan UPSR di Sekolah Kebangsaan Sultan Hisamuddin Alam Shah di sini semalam.

Kosmo! semalam melaporkan kenyataan bapa pelajar itu, Mahadzir Mokhtar, 42, yang mendakwa sewaktu Muhammad Faiz datang ke sekolah pada Isnin lalu, guru besar sekolah tersebut telah meminta anaknya itu supaya tidak menduduki UPSR atas alasan dikhuatiri boleh menjejaskan reputasi sekolah berkenaan.

Muhammad Faiz kemudian dikatakan merajuk sehingga tidak mahu ke sekolah bagi menduduki UPSR pada Selasa lalu walaupun selepas puas dipujuk oleh bapanya.

Mahadzir kemudian membuat laporan di Balai Polis Bukit Sentosa serta Pejabat Pelajaran daerah Hulu Selangor.

Abd. Ghafar menjelaskan, pihaknya setakat ini menerima sembilan aduan berhubung dakwaan berlaku penyelewengan berkaitan UPSR, namun siasatan mendapati kesemuanya tidak berasas.

Ikuti berita selanjutnya di akhbar Kosmo!

Guru Besar didakwa halang murid duduki UPSR – Utusan


Guru Besar didakwa halang murid duduki UPSR

KUALA LUMPUR 11 Sept. Seorang murid di Bukit Beruntung, Rawang dekat sini didakwa telah dihalang daripada menduduki Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya kerana dikhuatiri boleh menjejaskan ‘reputasi dan imej’ sekolahnya.

Bapa murid berkenaan, Mahadzir Mokhtar, 42, berkata, dia amat terkejut dan kecewa apabila dimaklumkan Guru Besar Sekolah Kebangsaan Taman Bunga Raya (1) itu bahawa anaknya, Muhammad Faiz Mahadzir, tidak dibenarkan menduduki peperiksaan tersebut.

“Saya telah menghubungi pihak sekolah semalam untuk bertanyakan status UPSR anak saya dan berkesempatan berbual dengan salah seorang guru dan kemudian disambungkan kepada guru besar terbabit, namun jawapan yang diberikannya itu cukup mengejutkan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sekolah tersebut hari ini.