Remaja tampil serah diri – Berita Harian


Remaja tampil serah diri

2012/10/02 – 06:52:23 AM Oleh Hardi Effendi YaacobCetakEmel Kawan
Kuala Lumpur: Tidak sampai 24 jam selepas seorang rakan jenayahnya ditembak mati, seorang remaja berusia 17 tahun menyerah diri bagi membantu siasatan berhubung kejadian dua anggota polis ditembak penjenayah di Jalan Kuchai Lama, Rabu lalu.

Remaja beralamat di Taman Wahyu, Jinjang, di sini datang berseorangan dan menyerah diri di Balai Polis Kepong, kira-kira jam 11 pagi semalam selepas gambarnya bersama seorang lagi suspek, Wan Fadrulzaman Wan Mohd Fadhil, 30, dari Mentakab, Pahang disiarkan media.

Suspek kini direman

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Ku Chin Wah memaklumkan suspek kini direman dan polis percaya dia mempunyai maklumat bagi membantu siasatan kes dua anggota polis ditembak, termasuk mengenalpasti lokasi persembunyian seorang lagi suspek.

Dalam kejadian jam 3 pagi kelmarin di tempat letak kereta Taman Desa Water Park, polis menembak mati seorang daripada tiga suspek utama kes tembakan yang mencederakan dua anggota polis di Jalan Kuchai Lama, di sini 26 September lalu.

Dia sebelum itu dikejar polis dari Lingkaran Tengah Syed Putra, berhampiran pusat beli-belah Mid-Valley selepas enggan memberhentikan kenderaan untuk diperiksa. Polis kemudian menemui sepucuk pistol semi-auto mengandungi sebutir peluru, satu kelopak mengandungi sebutir peluru hidup 9mm jenis Luger serta sebilah kapak dalam kereta suspek.

Ku berkata, polis sedang memburu seorang lagi suspek yang turut dianggap penjenayah berbahaya kerana memiliki senjata api, selain sanggup bertindak ganas jika berasa terancam.
Berdasarkan maklumat, suspek itu dipercayai masih berada di ibu negara dan sedang bersembunyi berikutan gambarnya yang disiarkan media hari ini (semalam). Orang ramai yang pernah melihat atau mempunyai maklumat mengenai lelaki itu diminta segera memaklumkan mana-mana balai polis, katanya.