Remaja Dilaporkan Hilang Sebenarnya Lari Dari Rumah – Polis – mStar


Remaja Dilaporkan Hilang Sebenarnya Lari Dari Rumah – Polis

Oleh AUSTIN CAMOENS

KUALA LUMPUR: Remaja lelaki yang dilaporkan hilang baru-baru ini selepas memberitahu ibu bapanya bahawa dia pergi ke gimnasium dipercayai lari dari rumah.

Difahamkan M. Jethendran, 16, bertindak lari dari rumah kerana dia mahukan kebebasan memandangkan bapanya seorang yang tegas.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Muhammad Azlee Abdullah berkata, polis telah mengambil keterangan dan menghubungi ahli keluarga remaja lelaki terbabit tetapi lokasinya masih belum diketahui.

“Kita telah bercakap dengan ahli keluarganya dan setakat ini tidak menjumpai sesuatu yang luar biasa.

“Mereka hanya mahu remaja lelaki itu menghubungi mereka dan pulang ke rumah secepat mungkin,” katanya.

Muhammad Azlee berkata, polis masih belum mengenal pasti wanita yang dilihat berbual dengan Jethendran selepas keluar dari gim tersebut.

“Kami tidak dapat memastikan sama ada wanita tersebut mempunyai kaitan dalam kes kehilangan remaja terbabit,” katanya yang menggesa wanita tersebut supaya tampil ke balai polis berdekatan untuk diambil keterangan.

Terdahulu, Jethendran dilaporkan telah menghubungi ibunya kira-kira pukul 3.45 petang pada 25 Januari dengan memberitahu dia akan menggunakan teksi untuk balik ke rumah mereka di Sri Petaling selepas selesai kelas gim di Taman Desa yang terletak kira-kira 10km.

Apabila dia tidak muncul-muncul dan panggilan ke telefon bimbitnya tidak berjawab, ibunya membuat dua laporan polis.

Sebuah kamera litar tertutup (CCTV) di kedai berhampiran gim itu merakamkan imej seorang remaja lelaki keluar dari kelasnya.

Bapa remaja lelaki itu, R. Mahadheven, 49, seorang mekanik dipetik sebagai berkata, Jethendran akan pulang ke rumah mereka menggunakan teksi dari gim sejak beberapa bulan lalu.

“Saya selalu menghantarnya ke sana tetapi mahu dia belajar berdikari, oleh itu saya memintanya untuk menggunakan teksi balik ke rumah,” kata Mahadheven kepada pemberita baru-baru ini.

Sekolah Kebangsaan Danau Perdana dikosongkan atas faktor keselamatan – Bernama


Sekolah Kebangsaan Danau Perdana dikosongkan atas faktor keselamatan

11 Oktober 2012

KUALA LUMPUR – Sekolah Kebangsaan Danau Perdana, Taman Desa, Jalan Klang Lama di sini dikosongkan pada 2005 berikutan struktur bangunan yang terjejas akibat mendapan tanah, kata Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata proses penilaian tahap keselamatan bangunan itu telah dilakukan perunding geoteknikal yang dilantik Jabatan Kerja Raya.

“Laporan penilaian tahap keselamatan mengesahkan bahawa struktur bangunan tersebut tidak selamat untuk diduduki.

“Sehingga kini, bangunan sekolah itu masih tidak boleh digunakan kerana kes ini sedang dalam proses timbang tara oleh Jabatan Peguam Negara.

“Sebarang keputusan berkaitan pembinaan bangunan sekolah itu hanya akan diputuskan setelah proses timbang tara selesai,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Teresa Kok (DAP-Seputeh) mengenai perkara itu di Dewan Rakyat hari ini. – Bernama

Budak tujuh tahun sempat panggil bapa sedang nazak – Utusan


Budak tujuh tahun sempat panggil bapa sedang nazak

KUALA LUMPUR 24 Ogos – Walaupun dalam kesakitan, seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun menguatkan diri memanggil bapanya yang sedang nazak setelah mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 14.1 Lebuh Raya Baru Pantai (NPE) di sini malam tadi.

Kanak-kanak malang itu, Nurul Ain, membonceng motosikal bersama bapanya, Mohd. Rozlee Ghazali, 33, untuk pulang ke rumah di Perumahan Pantai Permai di sini, apabila kenderaan dinaiki bergesel dengan sebuah motosikal lain pada pukul 9.30 malam.

Akibatnya, Nurul Ain bersama Mohd. Rozlee dan penunggang sebuah lagi motosikal, Sazali Md. Rashid, 51, seorang anggota polis bantuan tercampak dari kenderaan dan mengalami cedera parah.

Murid tahun satu Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Desa itu mengalami patah kaki kiri tetapi masih berupaya memanggil bapanya yang sedang nazak sebelum Mohd. Rozlee meninggal dunia di tempat kejadian tidak lama selepas itu.

Jiran jadi hero – Sinar Harian


Jiran jadi hero

WARTAWAN SINAR HARIAN
16 Mei 2012
Jiran jadi hero
Keadaan dapur rumah Azizan yang musnah dalam kejadian berkenaan.

KUALA PILAH – Tindakan pantas jiran menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Pilah berjaya menyelamatkan sebuah rumah milik seorang guru daripada terbakar di Taman Desa Anggerik di sini, semalam.

Malah sebelum pihak bomba dan penyelamat tiba, jiran terdekat bertungkus lumus memadamkan kebakaran dengan menggunakan air paip.

Kejadian yang berlaku sekitar jam 9.15 pagi itu memusnahkan seluruh bahagian dapur rumah mangsa, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jiran terbabit, Mariah Ahmad berkata, kejadian tersebut disedari anaknya, Noraiza Abd Malek, 30, yang ketika itu sedang menyidai kain di belakang rumah dan terlihat bumbung rumah mangsa sudah hitam dan mengeluarkan asap tebal.

“Ketika kejadian, saya tiada di rumah kerana bekerja dan mengetahuinya selepas dihubungi anak. Selepas itu, saya terus menghubungi tuan rumah dan suami, Abd Malek Abdullah pula menghubungi pihak bomba.

“Saya memang ada simpan kunci rumah jiran kerana jika berlaku perkara yang tidak diingini, saya dapat membantu. Alhamdulillah, kereta mangsa dapat diselamatkan,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, mangsa, Azizan Abd Aziz, 55, berkata, ketika kejadian, dia berada di Sekolah Kebangsaan Serting Hilir.

Menurutnya, kebakaran itu disedari apabila dimaklumkan jiran tetangganya melalui panggilan telefon jam 9.50 pagi.

“Masa kejadian, saya berada di sekolah sedang berbincang bersama guru besar, manakala Isteri, Hayati Md Jais, 49, bekerja di Hospital Tuanku Ampuan Najihah dan anak-anak juga tiada di rumah kerana belajar.

“Ketika menerima panggilan daripada jiran, saya sangat terkejut kerana saya baru beberapa jam meninggalkan rumah,” katanya.

Katanya, terima kasih diucapkan kepada jiran dan pihak bomba yang mengawal dan memadamkan kebakaran di rumahnya.

“Mungkin jika jiran tidak perasan ada kebakaran di rumah saya, saya tidak tahulah bagaimana nasib kami nanti. Alhamdulillah, kebakaran tidak melibatkan sebuah rumah, hanya sebahagian dapur sahaja,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Bomba Kanan II, Adnan Awaluddin berkata, pihak bomba menerima panggilan jam 9.29 dan sebuah jentera bersama tujuh anggota bergegas ke tempat kejadian.

Menurutnya, setibanya di tempat kejadian, api sudah marak di bahagian dapur rumah tersebut.

“Api dapat dikawal kira-kira dua minit dan berjaya dipadamkan sepenuhnya 22 minit kemudian. Mangsa memberitahu, anggaran kerugian bernilai RM50,000 dan punca kebakaran masih lagi dalam siasatan,” katanya.

Katanya, tindakan pantas jiran terdekat menghubungi pihak bomba lebih awal dapat mengawal kemaraan api daripada merebak ke bahagian ruang tamu dan bilik.