Samun, pukul pelajar – Sinar Harian


Samun, pukul pelajar

WARTAWAN SINAR HARIAN
9 Mac 2013

BATU GAJAH – Bukan sekadar menyamun seorang pelajar lelaki tingkatan satu, malah dua lelaki sanggup memukul pelajar Sekolah Menengah Batu Gajah itu menggunakan topi keledar sebelum melarikan diri dalam satu kejadian, di sini, Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Shahanon Anuar Abdul Latif memaklumkan, kejadian berlaku pada jam 11 pagi dan ketika itu, remaja berkenaan yang bercadang membeli barang.

Menurutnya, remaja berkenaan telah berhenti di hadapan satu deretan kedai di Perumahan Awam Bemban, di sini, dan mendapati kedai berkenaan tutup.

“Kedua-dua suspek yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 kemudiannya menghampiri mangsa dan menyamun dompetnya yang mengandungi wang tunai sebanyak RM44.

“Ekoran kejadian, remaja berkenaan bertindak mengejar suspek sehingga ke kawasan tangki air di Taman Pelangi dan suspek bertindak memukul remaja itu dipercayai menggunakan topi keledar sebelum merampas telefon bimbitnya,” katanya kepada Sinar Haria, semalam.

Tambah beliau, kejadian itu telah menyebabkan remaja berkenaan mengalami kerugian dianggarkan RM1,000 dan remaja itu selaku pengadu terus ke Balai Polis Batu Gajah untuk membuat laporan polis.

Shahanon berkata, kedua-dua suspek berusia 33 tahun berjaya diberkas kira-kira 45 minit selepas kejadian.

“Anggota polis berjaya mengesan seorang daripada suspek, iaitu pembonceng motosikal dan menemui telefon bimbit remaja berkenaan. Tangkapan itu membolehkan kita berjaya menjejak rakannya di Taman Pelangi.

“Sebuah topi keledar milik suspek yang dipercayai digunakan untuk memukul remaja berkenaan turut dirampas dan kedua-dua suspek ditahan reman sehingga 13 Mac ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya.

Budak hilang ditemui selamat – Kosmo


Budak hilang ditemui selamat

 

Oleh NOR SHAFAWATI YUP
shafawati.yup@kosmo.com.my

 

KUALA LUMPUR – Setelah hampir seminggu dilaporkan hilang, seorang budak perempuan, Teratai Kamilia Mohd. Hafiz, 11, ditemui berlegar-legar bersama kekasihnya di pasar raya Giant Leisure Mall, Jalan Serampang, Taman Pelangi, Johor Bahru semalam.

Jarak Teratai dilaporkan hilang dengan tempat dia ditemui semula ialah kira-kira 389 kilometer.

Satu sumber berkata, Teratai dijumpai oleh seorang lelaki yang juga rakan bapa saudaranya pada pukul 12 tengah hari selepas lelaki itu melihat gambar kanak-kanak terbabit di dalam akhbar.

“Ketika ditemui, Teratai berada di sebuah restoran makanan segera di pusat beli-belah itu bersama dengan seorang lelaki disyaki teman lelakinya.

“Melihatkan kelibat budak perempuan itu seakan-akan wajah Teratai, rakan kepada bapa saudaranya itu terus mengekori pasangan itu sehingga ke kawasan tempat letak kereta di pusat beli-belah tersebut,” kata sumber itu ketika dihubungi.

Ikuti berita selanjutnya di KOSMO! hari ini.

Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0119&pub=Kosmo&sec=Negara&pg=ne_08.htm#ixzz2IO9lp1gC
Hakcipta terpelihara